Friday, May 22, 2009

Jangan Melanggar Suara hati



Hampir seminggu aku meneliti dan menyemak buku Esq karangan pak Ari. Aku bagai menemukan sebuah kekuatan. Dadaku berombak, sarat dengan penyesalan namun ada keazaman yang maha kuat mendesak-desak. Meneliti buku Pak ari memaksaku terus terusan membuka helaian-helaian tafsir dan karangan ulama tentang suatu Yang Maha Hebat iaitulah Allah SWT. Pak Ari memberikan pengertian yang mendalam kepadaku tentang SUARA HATI. Itulah rupa-rupanya fitrah yang Allah berikan kepada makhluknya. Dari suara hatilah aku dapat mengenal fitrah kemanusiaan ini. Dan ketika mana aku mula mengenali fitrahku yang sebenarnya mesti tunduk kepada tuhannya, aku semacam mahu rebah, menangis, sujud di hadapannya kerana sudah berapa lama dan sering kali aku melanggar suara hati ini..... Betapa selama ini kerasnya dan sombongnya aku, jauh sekali untukku mendengar suara hatiku yang sering berbisik tentang kelembutan NYA Allah al-Latif. Betapa selama ini goyahnya aku, tidak istiqamah dalam sabarku, sedangkan suarahatiku sering memujuk-mujukku membayangkan kesabaranNya Allah al-Sabur. Betapa selama aku ini sering melanggar suara hatiku untuk ikhlas menyintai tanpa syarat kerana aku pernah rasakan suara hati ini pernah berbicara kembalilah kepada al-Wadud Yang Maha Menyintai, tapi aku melanggarnya sehingga aku menderita sekian lama dan menangis sendirian apabila ada insan yang mengecewakan.

Benar kata Pak Ari, sememangnya otak mampu mencipta alasan yang logik atau diterima akal tetapi suara hati tidak akan pernah menipu.Ia sangat jujur untuk mengatakan kebenaran kerana ia adalah cerminan sifat Allah Yang Maha Benar.Dan Allah juga telah memberikan isyarat kebenaranNya melalui perintah solat iaitu doa ketika sujud yang bermaksud ”Maha Suci Allah Yang Maha Tinggu” ertinya untuk mencapai suatu ketinggian ia perlu dimulakan dengan hati yang suci dan jernih terlebih dahulu.

Lantas aku menjerit melalui suara hatiku, aku mesti dengar suara itu. KUN MA’ALLAH LAA TUBAALI. Aku mesti kembali kepada Allah, menyintaiNya sepenuhnya, dan menyayangi siapa pun tanpa syarat. Biarlah insan-insan itu menyakitiku, tidak adil denganku, menyiksa jiwa dan perasaanku, mematahkan semangatku, mengecewakanku, memusnahkan harapan tinggiku namun aku tetap teguh pasrah dan menyerahkanya semuanya dalam urusan Allah. Aku akan cuba mendengar suara hati ini yang sering membisikkan ”kembalilah kepada Allah al-Afuww (Yang Maha Pemaaf) namun Dia adalah al-Muntaqim (Maha Membalas Dendam). Aku serahkan kepadaMu Ya Allah. Engkau Maha Melihat apa yang telah menimpaku, Engkai Maha Mendengar segala doa dan rintihanku. Aku berazam Ya Allah untuk menyanyangi mereka tanpa syarat biarpun aku tak mendapat kasih sayang dan perhatian mereka kerana aku yakin hanya kasih sayangMu sahaja Yang Maha Indah. Dan sempurna” Tsabbit Qalbi Ya Rab, Tetapkan hatiku, pancarkan suara hatiku dengan nurMu Ya Nuur.

Tuesday, May 12, 2009

Wahnan 'Ala Wahnin




Semalam mak telepon, ko kat mana ni cah. Kat umah, mane lagi mak kalau tak kat rumah? Inilah sejadahku....aku jawab sebegitu. Mak sebagaimana biasa akan memncarkan auranya dengan penuh semangat kepadaku, nasihat, tazkirah dan yel ESQnya. Mak menyambung lagi ”Semalam mak dapat anugerah Ibu Mithali di Muktamar DMPN Johor. Subhannallah. Hebatnya mak aku. Mak sambung lagi.. kat dewan semalam ramai muslimat ucap selamat hari ibu pada mak. Anak-anak aku tak de pun ucap. Aku terkelu namun sempat membalas, mak, bagi icah hari ibu adalah hari-hari. Pun begitu masih terkilan juga kerana tak ambil kisah perkara ni, walaupun aku sendiri mendapat banyak sms dari sahabat-sahabat ucap selamat hari ibu. Begitulah selalunya apabila bulan Mei menjelma.

Mak.... syukran, mak.... Jazakillahu khairan, mak... terima kasih, mak..... icah sayang mak. Terima kasih mak, melindungiku sepanjang di dalam kegelapan rahimmu, menangung wahnan ala wahnin semenjak kejadianku sehingga aku mampu berdikari dan sepanjang hidup memberi kehidupan buatku.

Ibu... sudah 10 tahun aku bergelar seorang ibu, sudah 7 nyawa yang ku kandung dan kulahirkan. Sesungguhnya detik-detik yang kulalui sebagai ibu mengajarkanku untuk melihat kebesaran Allah dalam diri. Wa fi anfusikum afala tubsiruun. Syukran Ya Allah kerana sudi menunjukkan kebesaranMu pada ciptaanMu melalui diri dan anak-anakku. Ya Alllah alangkah luasnya rahmatMu ketika aku melalui detik-detik mengandung, melahirkan dan membesarkannya, dalam keadaan sering ditinggalkan oleh suami tercinta. Suka, duka, bahagia dan derita sudah menjadi rencah kehidupanku. Kini apa yang sedang sarat di dadaku ialah muhasabah diriku sepanjang tempoh menjadi ibu yang Allah beri peluang padaku. Di manakah Allah akan meletakkan aku apabila semua yang dipertanggujawabkan sebagai seorang ibu samada aku lunaskan atau tidak. Apakah aku ibu sejati yang layak disyukuri pengorbanannya sebagai yang di iktiraf oleh al-Quran dalam surah Luqman ayat 31.

وَوَصَّيۡنَا ٱلۡإِنسَـٰنَ بِوَٲلِدَيۡهِ حَمَلَتۡهُ أُمُّهُ ۥ وَهۡنًا عَلَىٰ وَهۡنٍ۬ وَفِصَـٰلُهُ ۥ فِى عَامَيۡنِ أَنِ ٱشۡڪُرۡ لِى وَلِوَٲلِدَيۡكَ إِلَىَّ ٱلۡمَصِيرُ


Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).


Anak-anakku, maafkan umi di atas kelemahan ini. Namun dengan kelemahan ini lihatlah di sebalik nama-nama kalian, ia menterjemahkan harapan besar umi, impian dan cita-cita umi agar kalian menjadi tokoh-tokoh dan serikandi di rumahku. Di rumah inilah umi menghamparkan sejadah kehidupan ini sebagai ibu bagi melahirkan hamba-hamba yang mengabdikan secara total kepada Allah Rabbul Jalil.

1. Muhammad al-Fateh Sang Penakluk Kota Konstantinople
2. Muhammad Farid al-Wajdiy Sang Professor Cendikiawan Ilmu Tafsir
3. Muhammad Hamzah Sang Penghulu Para Syahid
4. Muhammad al-Miqdad Tentera Berkuda Perang Badar
5. Muhammad Yahya Ayyash Sang Engineer Pemburu Syahid
6. Wajeehah Serikandi Sehebat Maryam Ibu Isa AS.
Al-Quran menceritakan bahawa Mariam akan melahirkan seorang anak yang hebat sifatnya (Nabi Isa yang wajeeh di dunia dan akhirat)
إِذْ قَالَتِ الْمَلآئِكَةُ يَا مَرْيَمُ إِنَّ اللّهَ يُبَشِّرُكِ بِكَلِمَةٍ مِّنْهُ اسْمُهُ الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ وَجِيهًا فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَمِنَ الْمُقَرَّبِينَ (آل عمران) 45
7. Ibrahim Adham Sang Abid Pemburu Cinta Ilahi


Satukan nama-nama kalian bersama pemilik sebenar nama-nama itu. Sematkan dalam jiwa ragamu..... Jadilah seperti mereka. Umi ingin sekali di samping Allah, dekat dengan Allah, di belakang Allah apabila hamba-hambanya diminta mensyukuri, agar umi layak disyukuri pada hari pertemuan dengan tuhan kita nanti. Allah berfirman :

أَنِ ٱشۡڪُرۡ لِى وَلِوَٲلِدَيۡكَ إِلَىَّ ٱلۡمَصِيرُ
bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu.


Ya Allah a’inni ‘ala zikrika wa syukrika.

Bantu daku Ya Allah sentiasa mengenangMU dan mensyukuriMU.

Syukur di kurnia ibu yang hebat, solehah dan mujahidah

Syukur menjadi seorang ibu malah boleh menjadi lebih hebat dari Khansa’. Muslimat zaman nabi yang menangis kerana tiada anak lelaki yang keempat untuk diwakafkan menjadi syahid di perbatasan jihad. Aku ada 6 orang mujahid. Subhanallah. Seorang puteri. Subhanaalah

فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan

Allah Musta’aan.

Friday, May 8, 2009

Bila Kurindu Ku Sebut NamaMU

وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا يَعْمَلُون


Allah mempunyai asmaa-ul husna, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asmaa-ul husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.(QS. 7:180)Surah al-A'raf

Sejak mengikuti Training ESQ dua tahun yang lepas, aku semakin berminat nak mengenalNYA, lewat nama-namaNYA. Apa sahaja buku mengenai nama-namaNYA pasti aku beli. Aku sudah benar-benar jatuh cinta, aku semakin intim dengan nama-namaNYA,aku semakin tak mahu berpisah, sehari tak kusebut namaNya rindu bagai mengocak dan perasaan serba salah menruntun-runtun dalam jiwa. Namun kesibukan dengan alam rumahtanggaku kadang-kadang aku hanya menyentuh dan menyelak-nyelak sahaja helaian buku-buku itu sebagai melepas gianku.

Pesta buku baru-bari ini aku terjumpa tentangNYA lagi, hasil jambangan ustaz yang kukagumi sangat iaitulah Ibnul Qayyim al-Jauziyyah. Aku mula mengenali ustaz ini ketika aku menyambung pelajaranku untuk second degree di Jordan. Saban hari aku terjumpa jambangan-jambangannya di maktabah (perpustakaan) dalam pelbagai bentuk dan isu. Ilmunya bak lautan. Apa sahaja jambangannya pasti ku beli dan kupinjam dari maktabah. Walaupun aku akui aku tidak pernah membacanya sampai tamat. La Hawla wala quwwata illah billah. Ustaz yang sangat ku minati ini menegaskan bahawa "Ilmu tentang nama-nama Allah dan menghafalnya adalah sumber segala ilmu. Barangsiapa yang mampu menguasai nama-namaNya sebagaimana semestinya, bererti dia telah menguasai semua ilmu."

So, pagi-pagi lagi aku baca tentang ayat ini....ayat 180 dari surah al-A'raf. Apa kata Allah sendiri tentang nama-namaNYA sebelum aku tenggelam dengan penjelasan ustaz seterusnya. Allah menyatakan bahawa Dia mempunyai "asmaul husna" dan menyerukan agar hamba-hamba-Nya berdoa dan memuji-Nya dengan menyebut Asmul Husna itu, mudah-mudahan mereka terhindar jauh dari sifat-sifat yang buruk dan lepas dari neraka Jahanam.

Asma'ul Husna ertinya nama-nama Allah yang paling baik, paling luas dan paling dalam pengertiannya sebagaimana sabda Rasulullah saw.:

إن لله تسعة وتسعين إسما مائة غلا واحد من أحصاها دخل الجنة
Ertinya:
Sesungguhnya Allah swt. mempunyai sembilan puluh sembilan nama seratus kurang satu, barangsiapa menghafalnya masuklah dia ke surga.
(H.R Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)

Jumlah sembilan puluh sembilan itu tidaklah bererti batas jumlah, sesungguhnya nama Allah itu tidaklah terbatas. Dalam Al-Quran nama Allah lebih dari jumlah angka tersebut. Nama-nama itu merupakan sifat dari zat Allah Yang Maha Esa, bukan zat Tuhan yang dikira oleh orang musyrikin. Ada riwayat dari Muqatil mengatakan bahwa seorang laki-laki berdoa sesudah solat dan mengucapkan, "Wahai Ar-Rahman (Yang Maha Penyayang)." Maka berkatalah sebahagian orang musyrikin, "Sesungguhnya Muhammad dan pengikutnya mengatakan bahawa mereka menyembah Tuhan Yang Maha Esa, tetapi mengapa laki-laki itu berdoa kepada dua Tuhan (Allah dan Ar-Rahman)." Maka kemudian turunlah ayat ini.

Ya Rabb, saksikanlah pagi ini..Aku hanya ingin menyampaikan ayat-ayatMU.

Aku Hanya Ingin Menyampaikan Ayat-ayatMU


Hari ini send kepada kekanda Wahibah penulisanku :’ Seruan Ilahi’ Aku berharap ia diterima untuk dipublish. Itu adalah hasil susunanku sepanjang peninggalan suamiku ke Jeddah selama 4 bulan pada tahun 2007-2008 yang lalu. Baru hari ini kurasakan ia hampir siap tapi tidak mungkin ke tahap sempurna kerana kesempurnaan hanya milik Allah Azza Wajalla dan berkeyakinan utk dikeluarkan. Kenapaku katakan susunan, kerana aku tak layak hendak menulis berkenaan ayat-ayat Allah apalagi untuk mentafsir mengikut suara hatiku. Aku hanya banyak mencari dari kitab-kitab karangan ulama dan kususun agar sesuai dengan tajuk dan mudah untuk ditatap. Subhannallah, hebatnya ulama silam, hanya untuk mentafsir satu ayat sahaja, mereka tenggelam dalam masa sebulan, tenggelam dalam istikharah memohon petunjuk ilahi.


Semenjak terasa umur akan menjangkau ke 40, hatiku semakin cemas dan ada satu aliran suara yang halus sering membisik-bisik di hujung telinga sehingga meresap ke penjuru hati. Apa yang nak ku persembahkan padaNya, apa yang nak bawa untuk kusaksikan padaNya sepanjang kehidupan yang dipinjamkan untukku. Apa yang telah ku lakukan sepanjang hidup ini. Aku menangis dan sangat menangis. Kurasakan air mata yang mengalir di hujung hati ini sangat pahit sekali kerana aku bagai tiada jawapan. Bukan aku tak lakukan. Tapi aku sangat (khauf) takut ia tidak layak untuk dijadika saksi. Namun aku ada raja’ (sangat berharap) kepada rahmatNYA agar apa sahaja yang kulakukan walaupun sebesar zarrah dan kuniatkan keranaNya, biarlah itu yang menjadi saksi pengabdianku. Semoga buku yang bakal diterbitkan sebagai saksi, biarpun hanya saksi kecil zarrah pun kepada amanah yang telah kujalankan sebagai daie ilallah. Terimalah Ya Rabb. Aku hanya ingin menyampaikan... menyampaikan ayat-ayatMU.