Saturday, March 5, 2011

Istiqamah

Golongan Yang Istiqamah (Teguh Pendirian)

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Ayat 13 Surah al-Ahqaf

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (13)

Latar Belakang Ayat

Ayat ini menerangkan keadaan golongan yang benar-benar beriman kepada Allah SWT, iaitu orang-orang yang mengakui dan mengatakan, "Tuhan kami adalah Allah", kemudian mereka beristiqamah. Di dalam kitab Ahkam al-Quran, Ibnu al-Arabi menyatakan bahawa istiqamah adalah sentiasa dan berterusan berdiri di atas prinsip kalimah La ilaha illallah sehinggalah mati masih di atas kalimah itu tidak sekali-kali berubah dan bertukar serta tetap teguh dalam melaksanakan segala kewajipan yang difardhukan.[1]

Pengakuan dan pendirian mereka tidak dicampuri sedikit pun dengan perbuatan-perbuatan syirik. Mereka menetapi dan mengikuti garis-garis yang telah ditentukan agama, mengikuti perintah-perintah Allah dengan sebenar-benarnya dan menghentikan larangan-larangan-Nya. Maka golongan ini tidak ada suatu ketakutan pun terhadap nasib mereka di hari Kiamat nanti kerana Allah menjamin keselamatan mereka. Mereka tidak rasa bersedih hati terhadap apa yang mereka tinggalkan di dunia setelah mereka mati kelak, begitu juga terhadap sesuatu yang luput dan hilang selama hidup di dunia itu serta tidak ada penyesalan sedikitpun pada diri mereka.

Apa Erti Pengakuan “Tuhan Kami Ialah Allah”

Dr. Hamka telah mentafsirkan bahawa orang-orang yang telah mengatakan “Tuhan kami ialah Allah” bererti yang berkata itu adalah mulutnya, hatinya, seluruh gerak gerinya juga ‘sepak terajangnya’. Walaupun mungkin lidahnya tidak terbuka namun sikap hidupnya telah menyatakan.

“Tuhan kami ialah Allah” terbukti dalam ibadahnya, tujuan hidupnya, pandangan hidupnya, tempat dia menaruh harapan, tempat dia merasa takut dan dalam ia menjelaskan tujuan hidupnya. “Tuhan kami ialah Allah” bererti tidak ada tempat tunduk yang lain dan tidak ada rasa takut menghadapi yang lain. Dengan pengakuan “Tuhan Kami Ialah Allah”, maka segala kegiatan segala aktiviti, segala jalan fikiran, segala pertimbangan tertuju kepada Allah dan memandangnya dari segi keredhaan Allah.

“Tuhan kami ialah Allah”, maka yang berlaku ialah hukumNya Yang Maha Kuasa Sejati. “Tuhan kami ialah Allah” bermakna tidak ada undang-undang yang tahan uji melainkan undang-undang syariatNya dan tidak ada pimpinan melainkan pimpinanNya, tidak ada petunjuk melainkan petunjukNya.

“Tuhan kami ialah Allah”! Maka segala yang ada dan segala apa jua pun yang berhubung dan bersangkut paut dengan yang ada, semuanya bergantung kepadaNya. “Tuhan kami ialah Allah”!, Terbukti dapat dilihat, dapat dirasakan dalam segala gerak walaupun mulut tidak berkata-kata, walaupun kaki dan tangan terbelenggu. [2]

Kemudian mereka teguh pada pendiriannya tidak berganjak, tidak ragu-ragu dan tidak berpaling lagi. Itulah istiqamah!.

Istiqamah

Apakah istiqamah itu? Para ulama al-amilin dalam mendefinasikan istiqamah ini ada berbagai-bagai pengertian nama ia tetap menjurus kepada petunjuk yang satu. Di dalam kitab Madarij al-Salikin, Ibnu al-Jauzi telah menukilkan pendapat-pendapat mereka sebagaimana berikut :[3]

Saidina Abu Bakar RA ketika ditanya tentang istiqamah beliau mengatakan , “Janganlah engkau mempersekutukan Allah dengan sesuatu apa pun”.

Berkata Kata Saidina ‘Umar bin al-Khattab: “Istiqamah itu kamu berdiri terus mematuhi suruhan dan larangan Allah tanpa berubah-ubah seperti musang”

Saidina Uthman RA pula mengatakan istiqamah ialah ikhlas beramal kerana Allah semata-mata.

Saidina Ali RA dan Ibnu Abbas berkata : “Berterusan dalam menunaikan kewajipan yang difardhukan”.

Hasan al-Basri Rahimahullah berkata : “Berpegang teguhlah dengan perintah Allah, lakukan dengan ketaatan padaNya dan jauhilah maksiat dan kedurhakaan kepadaNya”.

Mujahid Rahimahullah berkata : “Berpegang teguhlah dengan syahadah La Ilaha Illallah sehingga kalian bertemu dengan Allah kelak”.

Ibnu Taimiyah Rahimahullah mengatakan bahawa istiqamah itu ialah menyintai Allah dan mengabdi kepadaNya tanpa berpaling kiri dan kanan (tidak goyah).

Memburu Kejayaan dan Kebahagiaan Abadi dengan Istiqamah

Istiqamah adalah antara sifat unggul Islam yang akan menjamin kejayaan di dunia dan akhirat. Walau amat sukar dalam hidup ini untuk istiqamah atas kebenaran, berdiri teguh sepanjang masa, berada di atas kebenaran dan petunjuk, tanpa berpaling ke kiri atau ke kanan namun ia adalah asas untuk hidup beragama dan jalan keselamatan kerana dia merupakan sebesar-besar karamah (kemuliaan) di dunia dalam menuju karamah yang abadi iaitu syurga.

Rasulullah SAW pernah bersabda : ‘Surah Hud menyebabkan rambut saya beruban’.[4] Sabda baginda ini merujuk kepada ayat berkaitan dengan istiqamah dalam surah Hud . Ia menggambarkan betapa penting dan sukarnya untuk Istiqamah.

Ibnu Qayyim al-Jauziyyah pernah mendengar Ibnu Taimiyah menyatakan : “Sehebat-hebat karamah ialah melazimi istiqamah”.[5] Justeru itu jika seseorang boleh berjalan di atas air atau boleh terbang di udara, ia bukanlah bukti bahawa Allah memuliakannya dengan karamah melainkan setelah dapat berpegang teguh dengan kebenaran yang berupa segala perintah mahupun larangan Allah SWT kerana istiqamah adalah satu-satunya syarat untuk mendapatkan karamah.

Dalam hadis Muslim, Sufyan bin Abdillah RA pernah bertanya Rasulullah SAW : “Wahai Rasulullah, beritahuku dalam Islam ini satu perkataan yang aku tidak perlu bertanya sesiapa lagi selepas ini”. Jawab Nabi s.a.w: “Katakan: aku beriman dengan Allah, kemudian kamu beristiqamahlah”.[6]

Perjalanan hidup para nabi dan rasul adalah contoh terbaik dalam menterjemahkan makna istiqamah. Mereka sangat terkemuka di tengah-tengah masyarakat manusia malah di depan Allah SWT, bukan kerana mereka beriman dan beramal saleh semata-mata, lebih dari itu para nabi dan rasul ini adalah orang-orang pilihan yang memiliki “keteguhan” dalam iman dan amal saleh mereka.

Betapa istiqamah dan teguhnya prinsip dakwah Rasulullah SAW ketika dipujuk oleh bapa saudaranya Abu Talib supaya berhenti berdakwah, baginda telah berkata: “Sekalipun jika diletakkan bulan di tangan kiri ku dan matahari di tangan kanan ku, namun untuk aku memberhentikan usaha dakwah ini tidak sama sekali. Aku akan teruskan sama ada aku berjaya atau mati dalam usaha ku ini.”[7]

Itulah keteguhan yang yang bernyala-nyala yang ada dalam diri Rasulullah SAW hingga merealisasikan impiannya untuk mengislamkan manusia. Istiqamah tidak mengenal jemu, payah, ugutan dan bujukan dalam perjuangannya.

Lihatlah bagaimana dimulakan perjuangannya di Makkah tetapi terhalang. Tidak putus asa, baginda bergerak mencari sinar di Taif, masih ditolak. Kemudian hijrah sebilangan sahabatnya memohon “suaka politik” di Habsyah. Dan akhirnya menemui cahaya kemenangan di kota Madinah dan kembali semula “membuka” kota Makkah. Baginda tidak mengenal undur, kerana hanya dengan istiqamah ia boleh membawa kejayaan.

Kejayaan Rasulullah SAW terpaksa “mengorbankan” deretan sahabat-sahabat yang sangat disayanginya – bermula dengan syahidnya Sumayyah, Yassir, Sayidina Hamzah, Saad bin Muaz, Hanzalah, Mus’ab dan lain-lain. Mereka juga golongan yang sangat istiqamah. Bahkan sekian lama baginda sendiri telah mengorbankan segala kesenangan, kerehatan, keselesaan dan kecintaannya demi sebuah kalimah La Ilaha Illallah.

Nabi Ibrahim AS dengan jiwanya yang sangat istiqamah itu telah berkali-kali diuji oleh Allah SWT . Ibrahim rela dengan bapanya (Azar) kerana Allah demi menzahirkan prinsip keimanannya. Dia juga tetap teguh ketika dicampakkan ke dalam api besar yang membara oleh Raja Namrud kerana kejituan imannya terhadapa allah SWT. Baginda juga dengan tulus ikhlas sanggup mengorbankan puteranya Ismail. Sebagai orangtua, Ibrahim sangat sayang kepada puteranya. Tapi walau bagaimana sayang pun kepada anaknya baginda terus menggengam dengan penuh keteguhan bahawa Allah SWT tetap nombor satu. Inilah istiqamah. Dengan terbuktinya keteguhan baginda, Allah SWT mengambil Ibrahim sebagai hamba kesayanganNya sehingga digelar khalilullah sebagaimana firman Allah SWT :

وَمَنۡ أَحۡسَنُ دِينً۬ا مِّمَّنۡ أَسۡلَمَ وَجۡهَهُ ۥ لِلَّهِ وَهُوَ مُحۡسِنٌ۬ وَٱتَّبَعَ مِلَّةَ إِبۡرَٲهِيمَ حَنِيفً۬ا‌ۗ وَٱتَّخَذَ ٱللَّهُ إِبۡرَٲهِيمَ خَلِيلاً۬ (١٢٥(


“Siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah, ia berbuat kebaikan dan mengikuti agama Ibrahim yang lurus (benar). Dan Allah telah menjadikan Ibrahim (Nabi) kesayang-Nya”). (Surah al-Nisa : 125)

Begitulah hebatnya dan besarnya pengertian istiqamah. Itulah jalan para nabi AS sepanjang zaman. Para pengikut nabi juga, wajib menyelusuri jalan ini. Di sini kita lihat, besarnya peranan istiqamah dan tidak hairanlah mengapa Allah SWT menjanjikan balasan yang besar kepada mereka yang beristiqamah. Allah SWT menjanjikan kebahagiaan kepada golongan yang berpegang teguh dan istiqamah dalam perjuangan dan kebenaran. Kebahagiaan itu adalah syurga di mana di sana tiada lagi hati-hati yang kebimbangan, ketakutan dan kesedihan, mereka kekal di dalamnya. Kenyataan ini tergambar dalam firman Allah di dalam ayat seterusnya :

أُوْلَـٰٓٮِٕكَ أَصۡحَـٰبُ ٱلۡجَنَّةِ خَـٰلِدِينَ فِيہَا جَزَآءَۢ بِمَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ (١٤(

Merekalah ahli Syurga, tetap kekallah mereka di dalamnya, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan. (Surah al-Ahqaf : 14)

Sebaliknya orang yang goyah pendiriannya seperti lalang ditiup angin, tidak konsisten dan tidak teguh prinsipnya dalam aqidah, iman, Islam dan termasuk beramal saleh tidak disebut menjadi penghuni syurga apalagi kekal di dalamnya.

Semua ini menjelaskan kepada kita bahawa istiqamah (teguh pendirian dan amalan) mesti kita dimiliki, kerana dengan istiqamah manusia akan menjadi mulia di khalayak ramai dan di depan Allah SWT. Sesiapa yang memilikinya pasti dijanjikan balasan syurga, tiada ketakutan dan dukacita. Malaikat rahmat akan turun kepada mereka ketika hampirnya ajal untuk menenangkan dan meneguhkan jiwa golongan ini. Dalam dunia yang dipenuhi kefasadan ini, untuk istiqamah bukanlah perkara mudah tapi sewajibnya melalui tarbiah jiwa yang sarat dengan mujahadah dan tazkiah (penyucian).



[1] Ahkam al-Quran, Ibnu al-Arabi, Juzu 7, m/s. 69

[2] Tafsir al-Azhar, Hamka, Juzu 26 m/s 20-21

[3] Madarij al-Salikin, Ibnu Jauzi, Juzu 2 m/s. 104

[4] Tafsir Ibnu Katsir, Ibnu Katsir, Juzu 4, m/s. 302.

[5] Madarij al-Salikin, Ibnu al-Jauzi, Juzu 2 m/s. 106

[6] Hadith Riwayat Muslim. No. Hadith 58.

[7] Hadith riwayat al-Baihaqi. No Hadith 522.