Tuesday, December 22, 2009

"Perjuangan PAS adalah penerusan perjuangan yang dibawa oleh nabi Muhammad SAW"- Yusuf Qardawi


Itulah antara kata-kata yang diucapkan oleh Sheikh Dr Yusof Qaradhawi kepada pimpinan PAS sewaktu Tokoh Maal Hijrah 1431H itu mengunjungi pejabat PAS Pusat untuk pertemuan tertutup dengan pimpinan PAS Pusat.

Banyak lagi pandangan beliau tentang perjuangan Islam di Malaysia, ikuti tulisan sahabat saya Exco Pemuda PAS Pusat, Sdra Abdullah Hj Karim yang turut sama dalam pertemuan tersebut.

"Assalamualaikum,Alhamdulillah, saya berkesempatan hadir dlm pertemuan tertutup pimpinan PAS dengan tokoh ulamak terkemuka Dr Yusuf Qaradhawi (DYQ) di pejabat PAS Jalan Raja Laut, pada hari ahad 20-12-2009 yg lalu. Antara pimpinan yang hadir ialah Presiden Pas, Timbalan Presiden, Setiausaha Agung, AJK-AJK PAS Pusat dan juga wakil dewan-dewan.

Didalam pertemuan lebih sejam itu, DYQ telah memberikan pandangan dan amanat yang cukup berharga yang menyentuh pelbagai perkara. Di bawah saya kemukakan beberapa isi penting ucapan beliau yang sempat saya catitkan :

1) DYQ menegaskan perjuangan gerakan-gerakan Islam seperti PAS adalah penerusan kepada perjuangan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Dalam konteks moden, perjuangan ini adalah mewarisi aliran tajdid yang dipelopori oleh tokoh2 seperti Jamaludin Afghani, Syeikh Muhammad Abdul Wahab, Syeikh Muhammad Abduh dan Syeikh Rashid Ridha. Ianya kemudian dilanjutkan dalam bentuk tanzimi yg lebih tersusun oleh Hassan Al Banna yg mengasaskan gerakan Ikhwan Muslimin.

2) Asas penting kepada gerakan islam ialah sikap wasathiah (wasotho - pertengahan). Dalam soal feqah, sikap wasathiah ini penting untuk menangkis kejumudan dan ketaksuban. Kejumudan dan ketaksuban inilah yg menyebabkan lahirnya taklid. DYQ menyelar golongan muqallidin ini dan menyatakan bahawa sebenarnya taklid ini tidak ada tmpat dlm syariat. Beliau seterusnya berkata bahawa tidak perlu seseorang itu mencapai tahap mujtahid untuk membolehkannya memakai pendapat yg diluar dari mazhabnya. Cukuplah seseorang itu mengetahui dalil atau hujah yg lebih kuat dari pendapat mazhabnya dalam sesuatu perkara bagi membolehkannya memilih yg lain dari mazhabnya.

3) Dalam soal hubungan dengan non muslim, DYQ berfatwa bahawa kita dibolehkan menjawab salam dari non muslim. Meskipun ada khilaf dalam hal menjawab ucapan salam dari non muslim, namun beliau mentarjihkan pandangan yg membolehkan non muslim memberi salam dan menjawab salam mereka. Syeikh mengatakn tidak ada salahnya menjawab salam non muslim yg mana kita mngharapkan dengan jawapn tersebut ianya akan menjadi doa supaya mereka terpaut dgn Islam.

4) Berkaitan soal wahabi pula, DYQ mengatakan golongan wahabi adalah sebahagian dari umat Islam. Dalam banyak hal, DYQ menyatakan bahawa banyak pandangan mereka yg lebih dekat dengan dirinya meskipun ada di kalangan mereka yg taksub dan melemparkan bermacam2 tohmahan terhadap dirinya. DYQ juga menyanjung tokoh2 ulamak yg dilabel wahabi seperti Syeikh Salman Audah dan Syeikh Aidh Abdullah Al Qarni yg dianggap sebagai tokoh yg sederhana.Inilah antara butiran-butiran yg dapat saya catatkan di sini".

Gambar pertemuan itu juga saya lampirkan di sini - Abdullah Karim

Sumber, Mohamad Taufek

Monday, December 21, 2009

Sibuk

Rijalku merangkak dewasa.


Alhamdulilah, dapat juga aku menulis selepas hampir 2 bulan tak buat entry baru. Maklumlah cuti sekolah. Sibuk sangat dengan anak-anak. Tambahan pula baru masuk rumah selepas dibaikpulih walaupun pagar rumah tak siap lagi. Hu Hu. Sebulan lebih menumpang rumah diana. Syukran diana. Akak terseksa sebenarnya duduk rumah ko lama-lama. habis barang-barang rumah ko rosak, dinding-dinding di art attack oleh anak-anak akak tu. Semoga Allah membina rumah nyang indah untuk ko di syurga kelak.


Al-Fateh, alWajdiy, Hamzah dan al-Miqdad

Lagi sibuk bila empat orang puteraku selamat dikhatan minggu lepas secara serentak di majlis khatan beramai-ramai anjuran pemuda PAS Gombak. macam jaga orang bersalin. Makanan pun kena pantang.Alhamdulilah sudah seminggu berlalu, mereka pun dah memakai seluar kembali. Puas juga seminggu aku bersabar dengan mereka yang susah untuk memakai kain pelekat.Semua aktif berlari dan melompat. Macam tak bersunat. Last-last mereka tak berkain. Jumpa kain melonggok-longgok di merata rumah, dan umi menjerit2 baru sibuk dia orang cari kain masing-masing.


Junudullah Sedikit Masa Lagi Insyaallah

Kini berbaki 2 orang lagi puteraku yang akan menyusul. Belum cukup umur lagi. Puteriku Wajeehah sudah selamat.

Thursday, October 15, 2009

Kenapa Blog ini Bernama Suara hati


Kerana saya ingin mengingatkan diri saya dan mengajak kalian saudara sedunia agar mengenali suara hati sendiri dan sentiasa mendengar suara hati itu, kerana hati adalah RAJA bagi susuk tubuh saya dan kalian samada dalaman mahupun luaran Namun tidak ramai yang tahu apa sebenarnya suara hati itu, sehingga kita sering mengabaikan suara itu, malah bila datang hidayah dan kebenaran suara hati itu sering dihasut untuk mencari-cari hujjah dan dalil bagi menolak kebenaran tersebut. Sudahkah kita mengenali suara hati kita yang sebenarnya. Kenapa ungkapan Melayu sering mengatakan ’jangan ikut kata hati’. Sedangkan hati adalah penentu segalanya. Kenapa begitu negatifnya pandangan bangsa ini pada suara hati ...... Kenapa tidak memandang bahawa hati itulah yang akan kita bawa apabila menemui Pencipta kita nanti Allah RabulJalil. Bukankah Allah mengatakan pada hari kita dibangkitkan semula nanti iaitu hari


يَوۡمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ۬ وَلَا بَنُون إِلَّا مَنۡ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلۡبٍ۬ سَلِيمٍ۬


Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik) (Al-Syuaraa’ 87-88)


Suara hati adalah tiupan sifat-sifat mulia ke dalam jiwa manusia. Sifat-sifat mulia tersebut amat secocok dengan sifat-sifat Allah yang terdapat di dalam Al-Quran iaitulah Asmaul Husna seperti Maha Pengasih, Maha Penolong, Maha Berilmu, Maha Memelihara, Maha Melindungi dan lain-lain sifatNya Mulia. Merujuk pada surah al-Sajadah, Allah SWT. berfirman :


ثُمَّ سَوَّٮٰهُ وَنَفَخَ فِيهِ مِن رُّوحِهِۦ‌ۖ وَجَعَلَ لَكُمُ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡأَبۡصَـٰرَ وَٱلۡأَفۡـِٔدَةَ‌ۚ قَلِيلاً۬ مَّا تَشۡڪُرُونَ


Kemudian ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. dan ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.(Al-Sajadah : 9)


فَإِذَا سَوَّيۡتُهُ ۥ وَنَفَخۡتُ فِيهِ مِن رُّوحِى فَقَعُواْ لَهُ ۥ سَـٰجِدِينَ


"Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya ".(Al-Shaad :72)


Difahami dari ayat-ayat di atas bahawa Allah meniupkan ruh ciptaanNya kepada manusia, maka bererti sifat-sifat muliaNya juga ditiupkan ke dalam jiwa manusia. Oleh yang demikian semua manusia mesti menyedari bahawa mereka sebenarnya memiliki suara hati. Malah suara hati itu sama dan bersifat universal. Itulah yang terdapat dalam God Spot. Inilah yang disebut sebagai kesedaran spiritual. Penemuan God Spot pada otak manusia lebih meyakinkan bahawa manusia sentiasa mencari nilai-nilai mulia atau spiritualiti tersebut, atau sentiasa mencari tuhannya.


Menurut kajian sains, suara hati terdapat dalam lingkaran God Spot (Lobus Temporal). Ia adalah penemuan ilmiah Wolf Singer, Micheal Persinger dan V.S. Ramachandran apabila mereka telah menemukan fungsi God Spot pada otak manusia dan ia sudah ada semenjak manusia itu lahir ke bumi. Fungsi God Spot inilah yang mendorong dan menuntun manusia untuk terus mencari `makna hidupnya’. Dan terbukti seseorang manusia itu akan merasa spiritual ketika ia berlaku jujur, mengasihi, menolong, adil, sabar dan lain-lain sifat mulia. Bahkan mereka merasakan kebahagiaan dan kedamaian apabila berdekatan dengan sifat-sifat mulia ini. Mari kita perhatikan orang yang paling berpengaruh di muka bumi ini. Umumnya mereka adalah pembela keadilan,kejujuran dan kedamaian. Seperti Nabi Muhammad SAW, Nabi Isa AS juga para nabi dan rasul lainnya adalah merupakan fenomena spiritual yang sangat dahsyat dan luar biasa bagi kaum yang berfikir.


Menurut kaca mata Islam, penemuan God Spot oleh para saintis abad ini boleh menguatkan lagi dan menyokong kebenaran Al-Quran yang telah diturunkan lebih 1400 tahun yang lalu. Al-Quran menyebut bahawa Allah SWT telah mencipta manusia menurut fitrahNya. Kehendak dan keperluan manusia kepada ketuhanan adalah fitrah, ia telah wujud dan sedia ada dalam diri manusia samada dibuktikan dengan kewujudan saraf God Spot atau tidak, berdasarkan firman Allah SWT :


فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Ertinya : Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui ( Ar-Rum : 30)

Nabi Muhammad SAW juga ada menyebut bahawa setiap yang lahir itu, dilahirkan dengan keadaan Fitrah. Fitrah itu sendiri mempunyai makna - asal kejadian, keadaan yang suci dan kembali ke asal. Menurut ulama tafsir ia membawa maksud karakteristik penciptaan makhluk dan potensinya yang disediakan oleh Allah kepada makhluknya yang sentiasa bersedia untuk menerima kebenaran, agama dan mengenaliNya( Tuhannya). Syed Qutb menjelaskan bahawa Fitrah itu bersifat teguh dan kukuh dan agama juga bersifat teguh dan kukuh. ”tidak ada perubahan bagi ciptaan Allah”, Oleh itu apabila manusia menyeleweng dari fitrah, maka tiada yang dapat membetulkannya melainkan agama Islam yang sesuai dengan fitrah manusia dan fitrah alam wujud. Manusia atau insan disifatkan oleh Allah SWT, sebagai makhluk yang paling baik penciptaannya ( Ahsani Taqwim ). Boleh berubah dari buruk kepada baik, dan baik kepada buruk. Sementara kesempurnaan itu, dilengkapi dengan jasad yang disaluti dengan hati, nafsu dan akal. Manusia juga dapat menggunakan segala pancainderanya untuk menjalankan tanggungjawab,fungsi dan tugasnya. Oleh yang demikian, untuk merealisasikan kejadiannya sebagai sebaik-baik ciptaan Allah, ia memerlukan gabungan ketiga-tiga unsur kecerdasan tersebut dalam pembentukan peribadi yang sejati.


Di dalam Al-Quran ada mengatakan, sebelum manusia diciptakan, ruh manusia telah mengadakan perjanjian dengan Allah SWT, apabila Allah bertanya kepada jiwa manusia : Bukankah Aku Tuhanmu?. Lalu ruh manusia menjawab : Ya, kami bersaksi!. Perkara ini termaktub di dalam surah Al-A’raaf sebagaimana firman Allah SWT :


وَإِذۡ أَخَذَ رَبُّكَ مِنۢ بَنِىٓ ءَادَمَ مِن ظُهُورِهِمۡ ذُرِّيَّتَہُمۡ وَأَشۡہَدَهُمۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِمۡ أَلَسۡتُ بِرَبِّكُمۡ‌ۖ قَالُواْ بَلَىٰ‌ۛ شَهِدۡنَآ‌ۛ أَن تَقُولُواْ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ إِنَّا ڪُنَّا عَنۡ هَـٰذَا غَـٰفِلِينَ


Dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil ia bertanya Dengan firmanNya): "Bukankah Aku Tuhan kamu?" mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), Kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya Kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini". (Al-A’Raaf : 172)


Bukti adanya perjanjian ini menurut Muhammad Abduh ialah adanya fitrah iman dalam jiwa manusia atau suara hati manusia, suara hati tuhan yang terakam dalam jiwa manusia. Sebab itulah apabila manusia hendak melakukan keburukan, pasti akan dilarang oleh suara hati nuraninya sendiri, kerana Allah SWT tidak menghendaki manusia berbuat kemungkaran. Jikalau manusia itu tetap juga melakukan kemungkaran tersebut, maka suara hatunya akan berkata-kata seolah-olah menasihatinya. Sebaik sahaja ia melakukan perbuatan tersebut ia akan rasa menyesal. Penyesalan ini adalah tanda kembalinya seseorang pada tuhan. Itulah pengakuan bahawa manusia adalah makhluk spiritual.


Islam menjelaskan secara nyata bahawa hati adalah pembentuk kehidupan seseorang. Ia adalah sumber di mana segala kebaikan dan kejahatan itu muncul. Menurut laporan daripada Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad SAW berkata, ” Ketahuilah ! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekeliannya, Ketahuilah ! Itulah yang dikatakan hati. Hati juga boleh menjadi pedoman atau pengukur bagi menentukan suatu perkara samada ia betul atau salah, baik atau buruk. Ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh al-Nawwas bahawa Nabi Muhammad SAW berkata, ” Kebaikan itu ialah elok budi pekerti dan dosa itu ialah apa yang tergetar dalam dadamu dan engkau benci bahawa dilihat oleh manusia kepadanya”. Malahan di dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Wabisah, Nabi Muhammad SAW menyarankan dengan berkata, ” Mintalah fatwa dari hatimu”. Demikianlah kedudukan hati dalam diri seseorang ketika mahu memutuskan sesuatu perkara. Namun perlu ditekankan disini, bahawa perkara yang sudah terang diketahui hukumnya berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah serta dalil-dalil syara’ yang lain maka tidaklah lagi dikehendaki meminta fatwa hati, malah hati itu sendiri mestilah patuh kepada hukum itu samada hatinya merasa senang atau tidak.


Hati nurani akan menjadi pembimbing kepada kepada apa yang harus ditempuh dan apa yang harus dilakukan. Ertinya, setiap manusia sebenarnya telah mempunyai radar hati sebagai pembimbing. Suara hati manusia sentiasa menuju kepada kebenaran Islam. Jadi agama Islam adalah agama fitrah yang sesuai dengan keperluan manusia dan amat diperlukan oleh manusia. Seluruh ajaran Islam merupakan tuntutan suara hati manusia. Namun memegang teguh kata hati nurani ini merupakan cabaran hidup yang perlu dipertimbangkan serta dikembangkan agar mampu menghadapi perubahan kehidupan yang pantas dan dinamik dewasa ini.


Berdasarkan kenyataan-kenyataan di atas, saya membuat kesimpulan bahawa agama Islam pada hakikatnya mampu menjadi landasan untuk membangunkan kecerdasan emosi dan spiritual serta memandu suara hati manusia agar sentiasa kembali kepada fitrahnya kerana suara hati yang fitrah adalah tunjang kepada segala kebaikan.


Bersambung.......... Apakahkah dia sumber suara hati itu? Insya Allah


Friday, October 9, 2009

Isfihi Ya Rabb

Muhammad al-Fateh demam lagi. Dia selalu demam. Ya Allah berilah kekuatan dan kesabaran kepadaku untuk merawatinya. Pagi ini kucuba menekuninya untuk makan ubat. Perkara yang paling dia tidak suka. Selalu timbul juga rasa baranku kerana liat sungguh dia nak makan ubat. Kalau tidak kena cara pasti dia muntahkan semula ubat itu. Tapi pagi ini kenapa ada satu perasaan yang halus lahir dari hatiku melihatnya. Dengan penuh kasih sayang aku menyuapinya dengan lembut sedikit demi sedikit ubat itu. Aku menyudunya sesudu demi sesudu 'talbinah' (kupanggil susu nabi pada anak-anakku) ke mulutnya sambil memandang mata kecilnya yang sayu. Aku memandikannya setelah sekian lama tidak kumandikan semenjak dia sudah bersekolah. Kasihan Muhammad. Terasa kurangnya aku membelainya lantaran adik-adiknya yang terlalu rapat, tahun demi tahun dia melihat kesibukannya umi menyambut kelahiran adik-adik barunya.

Muhammad Al-Fateh, anak sulungku, lahir sembilan tahun yang lalu. Tanda pertama cinta sejatiku. Yang sangat lembut hatinya.... Yang sangat mudah menjaganya sewaktu bayi sehingga membesar. Yang sering bersama sang umi ini ketika suka dan duka. Yang sayang dengan adik-adiknya. Yang sangat mempertahankan adik-adiknya dari di 'ambil orang'. Paling risau kalau tetamu datang. Takut adik kena ambil. Lucu sungguh. Yang rapat dengan abahnya. Tapi hari ini abah tiada, nun jauh di Kedah dan akan terus ke Bagan Pinang. Kalau abah ada abah la yang tidak tidur malam menjerlum kepala dan badan Muhammad dengan air sejuk. Umi sibuk melayani baby dan adik-adik yang lain.

Ya Allah sembuhkan Muhammad. Kecintaanku. Kehadirannya pada ketika cintaku memuncak terhadap suamiku. Allah mengqabulkan doaku. Sebenarnya terlalu banyak Allah al-Mujib menjawab doaku.

Ya Allah sembuhkan Muhammad agar dia dapat meneruskan pengajiannya setelah 2 hari off. Agar dia kuat kembali menuturkan ayat-ayatMU. Maqbulkan impianku untuk melihat Muhammad al-Fateh al-Hafiz.

Saturday, September 19, 2009

Eid Mubarak


Allahu Akbar....
Dengan perginya tetamu agung ini, semoga kita semua mendapat pengampunan Allah SWT dan kita kembali fitrah. Ya Allah berilah kekuatan kepada kami untuk mengisi fitrah ini dengan ketaqwaan.

Minal A'ideen wal Faiizeen.
Maaf Zahir dan Bathin

Dari kami sekeluarga :

Hajjah Nafisah & Ust Hj Kamal
Muhammad al-Fateh
Muhammad Farid Al-Wajdiy
Muhammad Hamzah
Muhammad al-Miqdad
Muhammad Yahya Ayyash
Wajeehah
Muhammad Ibrahim Adham

Friday, September 11, 2009

Malam Sejuta Pesona



Malam yang mengujakan dan penuh misteri. Malam yang lebih hebat dari malam pertama pengantin. Mampukah kita berperasaan seperti itu dalam menanti kehadirannya dan merebutkannya. Bayangkan perasaan kita dan debaran ketika mahu menghadapi malam pertama seorang pengantin. Tentu bersemarak sejuta perasaan. Rasa bahagia, rasa cinta, rasa kasih, rasa rindu dan seribu lagi perasaan sehingga tidak mahu detik itu berlalu bukan... Namun ada satu malam yang sangat indah, Malah penuh berkat, penuh rahmat, penuh meriah, penuh keampunan dan lain-lain yang tidak terungkapkan.

Hanya mampu di katakan itulah dia Malam Sejuta Pesona.

Malam yang pasti mengintai kita dan orang-orang yang sedang fana dalam cinta bersama ramadhannya tentu ternanti-nanti dan tercari-cari bilakah akan muncul malam ini dan sudikah bertamu di taman hatinya ketika ia sedang tenggelam keasyikan sujudnya mendambakan cinta Ilahi.

Malam yang dijanjikan sebagai suatu malam yang dimuliakan oleh Allah melebihi malam-malam lainnya. Di antara kemuliaan malam tersebut adalah Allah mensifatinya dengn malam yang penuh keberkahan. Allah SWT berfirman :

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ (3) فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ (4)
“Sesungguhnya Kami menurunkannya (Al Qur’an) pada suatu malam yang diberkahi. dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.” (QS. Ad Dukhan [44] : 3-4).

Malam yang diberkahi, kerana turunnya al-Quran pada malam ini iaitulah lailatul Qadr. Allah Ta’ala berfirman,

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ 1
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan.” (QS. Al Qadar [97] : 1)

Malam yang dinamakan Allah dengan Lailatul Qadr. Makna Al Qadr ialah kemuliaan dan keagungan. Al-Qadr menurut keterangan Tafsir al-Qurthuby terhadap surat al-Qadr ialah :

Pertama: malam keputusan; atau malam penetapan. Dinamakan demikian kerana pada malam itu Allah Ta'ala menetapkan perintah-Nya yang Dia kehendaki, yang berupa kematian, ajal, rezki dan lainnya sampai malam al-qadr tahun berikutnya.
Kedua: maknanya adalah malam kemuliaan kerana keagungannya dan kemuliaannya, karena pada malam itu Allah Ta'ala menurunkan Kitab (al-Quran) yang memiliki kemuliaan, kepada Rasulullah SAW yang memiliki kemuliaan, kerana perbuatan-perbuatan ketaatan pada malam itu memiliki nilai yang agung dan pahala yang banyak, kerana pada malam itu para malaikat yang memiliki kemuliaan dan kepentingan turun ke bumi dan kerana pada malam itu Allah Ta'ala menurunkan kebaikan, berkah dan ampunan.
Ketiga: maknanya adalah malam yang sempit kerana pada malam itu bumi sesak dan sempit dengan para malaikat.

Malam yang diungkap Allah tentang keagungannya melalui pertanyaanNya pada ayat kedua dari surah al Qadr - "wama adraaka ma lailatul qadr".( Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu). Kata "wama adraaka" - litafkhimi sya'niha wa ta'dzimi qadriha" maksudnya adalah pertanyaan dalam bentuk pengagungan. Pemakaian kata ma daraaka dalam al Qur'an berkaitan dengan pertanyaan suatu objek yang menunjukkan perkara-perkara yang sangat hebat dan mempesonakan yang sulit dijangkau hakikatnya secara sempurna oleh alam fikir manusia.

Malam itu lebih baik dari seribu bulan (khairun min alfisyahrin). Firman Allah :

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ
“Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan

Maksudnya adalah apabila kita beribadah di malam itu dengan ketaatan, solat, membaca al Qur'an, zikir, do'a dan lainnya sama ganjarannya dengan beribadah selama seribu bulan. Dan dapat di bezakan dengan bulan-bulan yang di dalamnya tidak ada lailatul Qadr. Ada sebuah Hadith Rasulullah SAW, beliau bersabda:"Barangsiapa yang melaksanakan lailatul Qadr dengan keimanan dan mengharap pahala Allah Swt, niscaya diampuni dosa-dosa yang telah lalu".

Malam yang penuh meriah kerana para malaikat yang selalu beribadah kepada Allah SWT siang dan malam akan turun bersama malaikat Jibril dengan membawa kebaikan, keberkahan, kemulian dan rahmat. Mereka turun dengan membawa semua perkara yang merupakan ketentuan dan takdir dari Allah SWT. Keberkahan dan kemuliaan yang dimaksud disebutkan dalam firmanNya :

تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ ((4
Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan.

Yang dimaksud dengan urusan-urusan disini ialah segala perkara yang berhubungan dengan kehidupan makhluk seperti: hidup, mati, rezeki, untung baik, untung buruk dan sebagainya.

Malam yang turun para malaikat untuk melihat para hamba Allah SWT dalam menjalani segala bentuk ketaatan dan mendengar segala permintaan hamba yang ditujukan kepada Rabbnya.

Malam yang penuh kebajikan, rahmat sejak terbenam matahari sampai datangnya waktu fajar. Dalam kata lain, malam itu adalah malam kebaikan dan keselamatan seluruhnya, tak ada kejelekan didalamnya sampai terbit fajar. Di malam itu para malaikat termasuk malaikat Jibril mengucapkan salam kepada orang-orang beriman. Firman Allah :

سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ (5(
Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.” (QS. Al Qadar : 5)

Malam yang menumpahkan curahan kepemurahan Allah kepada hamba-hambaNya yang taat beribadat kepada-Nya dengan menganugerahkan kepadanya pahala-pahala yang banyak, dibukanya seluruh pintu kebaikan, didekatkannya para kekasih Allah, didengarkannya permohonan dan dijawabnya segala doa dan pengampunan supaya dengannya dia akan dapat masuk syurga.

Malam yang menggambarkan dan menghamparkan kasih sayang Allah dan rahmatNya yang menyeluruh kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. ketika mana Rasulullah diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka Baginda berasa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya panjang. Lalu baginda bermohon kepada Allah memberikan peluang di mana umatnya supaya dapat beramal dengan yang nilainya sama dengan amalan umat sebelum mereka. Maka Allah pun menawarkan malam ini yang mempunyai nilaian pahala seribu bulan kepada Rasulullah, para sahabat malah kepada seluruh umat baginda s.a.w. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama seribu bulan atau 83 tahun empat bulan. Subhanallah.

Malam yang dirahsiakan kehadirannya tetapi pasti ada dalam celahan Ramadhan agar kita sentiasa berusaha beribadah pada setiap malam Ramadan tanpa menumpukan pada satu malam saja. Ini kerana setiap malam pada Ramadan memiliki hikmah dan rahsia tersendiri. Namun dalil yang paling kuat mengenai malam ini iaitu Lailatul Qadar adalah hadis daripada Aishah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِى الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ
"Carilah sedaya-upaya kamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan."

Malam yang penuh misteri namun Allah perlihatkan tanda-tandanya. Di antara tanda yang sempat terlihat pada masa Nabi s.a.w ialah ketika baginda bersujud di waktu Subuh di atas tanah, tanah itu dibasahi dengan air, ertinya bahawa pada malam itu turun hujan sehingga baginda sujud di atas tanah yang berair.

Malam yang tenang dan hening. Malaikat menurunkan ketenangan sehingga manusia merasakan ketenangan tersebut dan merasakan kelazatan dalam beribadah, yang tidak didapatkan pada hari-hari yang lain. pada malam itu juga malaikat Jibril akan menyelami orang yang beribadat pada malam itu dan secara tiba-tiba sang abid akan rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak.

Malam yang keadaannya tidak dingin dan tidak panas. Udara dan angin sekitar terasa damai. Siangnya pula memancarkan cahaya matahari yang warnanya pucat. Sebagaimana dari Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda :

لَيْلَةُ القَدَرِ لَيْلَةٌ سَمْحَةٌ طَلَقَةٌ لَا حَارَةً وَلَا بَارِدَةً تُصْبِحُ الشَمْسُ صَبِيْحَتُهَا ضَعِيْفَةٌ حَمْرَاء
“Lailatul qadar adalah malam yang penuh kelembutan, cerah, tidak begitu panas, juga tidak begitu dingin, pada pagi hari matahari bersinar lemah dan nampak kemerah-merahan.” (HR. Ath Thoyalisi. Haytsami mengatakan periwayatnya adalah tsiqoh /terpercaya;

Malam yang ditemui oleh seseorang dengan izin Allah, ia akan melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita.

Malam yang didengari oleh seseorang dengan izin Allah ucapan salam dan kata-kata yang lain daripada malaikat.

Malam yang terlihat oleh seseorang dengan izin Allah segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.

Malam yang doa permohonannya makbul.

Malam yang mesti kita gapai sejuta pesonanya !!!

Malam yang pada setiap saatnya hendaklah kita memperbanyak berbagai amalan ketaatan samada solat tarawih, membaca al-Quran, sedeqah, zikir berdoa dan lain-lain.

Malam yang 'Aisyah RA mengatakan mengenainya : "Kebiasaan Rasulullah SAW jika telah masuk sepuluh akhir Ramadhan, beliau menghidupkan malamnya, membangunkan isterinya, bersungguh-sungguh (beribadah) dan mengencangkan sarungnya (tidak menggauli isterinya)." (HR. Bukhari dan Muslim 1174).

Malam yang 'Aisyah juga pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentangnya : "Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat anda jika aku mengetahui waktu lailatul qadr, apa yang aku ucapkan di malam itu?" Beliau menjawab: "Ucapkanlah: Allaahumma innaka 'afuwwun tuhibbul 'afwa fa'fu 'annii (wahai Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, Engkau suka memaafkan, maka maafkanlah daku)." (HR. Ibnu Majah dan at-Tirmidzi dengan sanad yang shahih)

Malam yang menyebabkan Rasulullah SAW senantiasa bersungguh-sungguh dalam ibadah pada sepuluh malam terakhir, tidak seperti dua puluh malam pertama. Sebagaimana yang dikatakan oleh ‘Aisyah RA:

كَانَ رَسُولُ اللهِ يَجْتـَهِدُ فِي الْعَشْرِ اْلأَوَاخِرِ مَا لاَ يَجْتـَهِدُ فِي غَيْرِهِ رواه مسلم
“Adalah Rasulullah SAW bersungguh-sungguh dalam beribadah pada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan hal yang tidak beliau lakukan pada malam yang lainnya.” (HR. Muslim).

Malam yang menyebabkan sahabat Rasulullah dan para salafus saleh juga memuliakan sepuluh malam terakhir ini serta bersungguh-sungguh di dalamnya dengan memperbanyak amal kebaikan.

Malam yang dianjurkan secara syar’i kepada seluruh kaum muslimin untuk mencontoh Rasulullah SAW dan para sahabatnya dalam menghidupkan malam-malam ini dengan beri’tikaf di masjid-masjid, solat, istighfar, membaca Al-Qur’an serta berbagai ibadah lainnya, agar mendapatkan kemenangan berupa ampunan dan pembebasan dari api Neraka.

Malam disunnahkan bagi seorang muslim untuk memperbanyak do’a pada detik-detik itu kerana do’a di waktu-waktu tersebut mustajab dan do’a yang diulang-ulang pada waktu tersebut adalah do’a yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah RA bahawasanya dia berkata: “Wahai Rasulullah, bagaimana jika saya mendapatkan lailatul qadr maka apa yang aku katakan?” Baginda bersabda: “Katakanlah:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
(Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampum, mencintai ampunan (maaf) maka ampunilah aku).” (HSR. Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Malam yang mesti kita rebut dengan bersungguh-sungguh dalam beribadah padanya kerana itu adalah kesempatan seumur hidup dan kesempatan itu tidak selalu ada. Seandainya seseorang beribadah kepada Allah selama lapan puluh tiga tahun lebih, maka lailatul qadr lebih baik dari itu, dan perkara tersebut merupakan keutamaan dan kurnia yang sangat besar. Kurnia apakah yang lebih besar dari itu. Sangatlah merugi orang yang tidak sempat mendapatkan pahala di waktu-waktu mulia dan musim-musim maghfirah disebabkan kelalaiannya dan ketidak seriusannya dalam beribadah.

Itulah Malam Sejuta Pesona yang mempesonakan orang-orang yang merindukannya lantas dia beribadah dan bertaqarrub kepada Allah SWT dengan penuh ketaatan dan khusyu', dengan penuh takut dan pengharapan lalu terpancar air mata taubat dan penyesalan, bangkit keazaman membersihkan hati demi ketakwaan. Ditegakkannya qiyam lail, dipanjangkan rantaian doa tulus, didendangkan zikrullah penuh kerinduan, dirayukan istighfar penuh ketundukan, ditinggalkan kesenangan dunia untuk I'tikaf di masjid. Sebolah-bolehnya dilakukan dengan penuh penyerahan jiwa bagai itulah persembahan dan bekalan terakhirnya untuk menuju malam pertama pertemuan hakiki yang Haqqul Yaqin dengan Penciptanya dan sebelum terpesonanya dia pada malam pertama di atas mahligai syurga. Allahu Akbar !

Mengenang Ramadhan Di Jordan

Banyak sudah yang dilupai pada hari-hari yang berlalu. Namun aku cuba recall balik setelah 10 tahun aku meninggalkan dataran Syam yang penuh kenangan. Aku ingin mengenang hari-hari tersebut, mudah-mudahan ada perkara yang perlu ku muhasabah dalam diri. Hari-hari itu adalah kurniaan Allah pada kita sang hamba. Hari-hari yang perlu diperingati sehingga memunculkan jiwa hamba yang nampak dengan mata kepala dan mata hatinya tanda-tanda kebesaran Sang Pencipta lantas sang hamba tunduk syukur dan akur dengan ketentuanNya lalu bersabar.


وَذَڪِّرۡهُم بِأَيَّٮٰمِ ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّ فِى ذَٲلِكَ لَأَيَـٰتٍ۬ لِّكُلِّ صَبَّارٍ۬ شَكُورٍ۬

Ingatkanlah mereka dengan Hari-hari Allah. Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur. (Ibrahim :5)


Kenanglah hari-hari itu. Hari, waktu, jam, saat, detik, pergiliran siang dan malam. Bukankah semua itu tanda-tanda kebesaran Allah. Kenanglah selagi ada hari untuk kita. Hanya ada di dunia ini sahaja. Di dunia sahaja ada hari, waktu dan ruang. Allah bebas dari masa dan ruang. Di akhirat nanti abadan abada. Kita di seru menghayati hari, bulan, tahun, detik saat kerana di sana terdapat tanda-tanda kebesaran Allah, malah mengingati hari-hari Allah adalah tanda hamba yang berakal dan bijak .


إِنَّ فِى خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَـٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّہَارِ لَأَيَـٰتٍ۬ لِّأُوْلِى ٱلۡأَلۡبَـٰبِ

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (190) Ali Imran

Sepanjang hampir empat tahun di Jordan. Namun secebis kenangan amat manis untuk dicatat ialah ketika berlabuhnya ramadhan dan aku melayani tetamu ini di bumi anbiya, Urdun….Kam Asytaqqu… 3 kali ramadhan di kejauhan 3 kali itu juga musim syita’ menyelubungi, sejuk yang amat menggigit. Dan yang paling mengujakan salji turun. Kalau kat Irbid tahanlah... tapi kat Mafraq (gurun)....seperti kapas-kapas yang berterbangan.



Salji memutih di lihat di celah-celah bangunan sakan (asrama) di jamiahku Al al-Bayt, Mafraq.

Terawikh di pelbagai masjid. di masjid jamiah, Irbid berimamkan Ma’mun al-Hafiz yang begitu gemersik suaranya, ramai sangat orang, bising pulak tu, sehingga imam memberi amaran, hudu’, hudu’, jangan bising, kalau bising lagi aku akan panggil polis. Berderailah ketawa sidang jemaah sekalian. Pernah sesuatu ketika al-Hafiz Ma’mun membacakan ayat-ayat Allah dalam solat, kami sekalian makmum merasa sangat tersentuh, terdengar sedu sedan dan rintihan yang tulus ikhlas dari rasa kehambaan. Mataku turut mengalirkan manik-manik jernih yang hangat ke pipi. Solat bersambung dengan doa-doa yang sarat dengan pengharapan oleh sang imam, tangisan kedengaran bergemuruh di kiri kananku, depan dan belakangku dan aku juga tenggelam dalam kefanaan dan kekerdilan seorang hamba yang bersalut dosa yang tak terhitungkan, tiba-tiba kami terdengar suara jeritan dari bawah ( jemaah wanita di tingkat atas, lelaki di bawah) satu tangisan yang diselubungi ketakutan yang amat sangat.... syuftun nnaarr !!!!!, syuftun nnaarrr!!!!!. Aku rasa sang lelaki ini meluru dari sof belakang menuju ke imam. Subhanallah.... bagai Allah menyingkap hijab dari mata pandangan mata kepalanya... mungkin menzahirkan gambaran neraka pada sehingga secara sepontan dia menjerit, Aku nampak api (neraka), aku nampak api. Dia sangat ketakutan kedengarannya. Wallahu a’alam.

Sepuluh malam terakhir qiam di masjid ini dengan mak cik-makcik Arab yang hebat-hebat, ada kalangan mereka yang tidak tidur langsung, mereka solat dan tilawah dam tak kurang juga mengobrol, malah menyelimuti kami banat Malizie (anak2 Melayu)yang berkerikot tidur kesejukan. Kemudian kami sahur bersama-sama mereka. Dapat seorang sebungkus makanan yang berisi khubuz( roti), tamar dll yang diberikan oleh pihak masjid.

Terawikh di kg badwi yang mengkalutkan, surau tu kecil je, atas bukit sikit, kami naik tangga di lorong yang sempit. Dalamnya usang dan buruk, jemaah boleh dikira, tak ramai. Bayangkan satu rakaat hanya satu ayat(ketika imam membaca surah selepas Fatihah), seingat aku imam baca surah alam nasyrah sahaja sudah dapat menghabiskan 8 rakaat terawikh. Bismillahirrahmanirrahim, Alam masyrah laka sodrak, allahu akbar ---- terus ruku, kelam kabut kami habiskan fatihah, nak tergelak pun ada. Astaghfirullah. Itu lah kali pertama dan terakhir kami solat di situ. Kami hanya pergi bertiga. Aku, adikku yati dan Mim ( adik ipar yati). Cadangan Mim la ni. Kak Ica, nak ikut kami solat kat surau tu tak, orng kata imam baca surah pendek-pendek sangat. Ye ke, jom kita cuba tengok... Kami pun pergilah.

Tahun-tahun yang seterusnya aku menghabiskan ramadhan ku di kampusku sendiri Jamiah al-Bayt Mafraq. Yang memenuhkan masjid adalah anak-anak Malaysia juga. Tahun 1997, 12 hari awal Ramadhan, Allah mengkabulkan doaku untuk berintim dengan Ramadhan di Makkah dan Madinah. Aku pergi dengan adindaku Ahmad Saifuddin. Kami bermusafir dari Jordan ke dua daerah mulia ini melalui jalan darat selama 2 hari.

Dan banyak lagi peristiwa yang tak mampu ku ungkap dengan aturan huruf yang bisu ini. Semoga hari-hari yang penuh kenangan ini menjadikan aku orang yang sabar dan bersyukur juga mengambil pelajaran darinyadengan meningkatkan amalan serta memperbaikinya dalam rangka mencapai misi pengabdian ini . Biarlah kenangan-kenangan itu samada pahit, manis, bahagia dan derita itu tersimpan dalam hati. Aku ingin membenarkan kalamullah dalam bicaraNya :

وَذَڪِّرۡهُم بِأَيَّٮٰمِ ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّ فِى ذَٲلِكَ لَأَيَـٰتٍ۬ لِّكُلِّ صَبَّارٍ۬ شَكُورٍ۬

Ingatkanlah mereka dengan Hari-hari Allah. Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur. (Ibrahim :5)

Allahumma Innaka Afuwwun Kareem. Tuhibbul afwa fa’fu anna.

Ya Allah Sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, Maha Mulia. Engkau menyukai kemaafan, ampunilah kami.

Sunday, August 23, 2009

Maka Pintu Rayyan Pun Terbuka


Ucapan dan doa untuk sesiapa sahaja yang menjengok blogku. Semoga setiap tahun Ramadhan menjengah kita, semakin mendekat kita dengan Allah. Allahumma Ij'alnaa minal Muqarrabin.

Sudah 3 hari tetamu ini berlabuh dalam hidupku. Setiap tahun menjelma tanpa jemu bertasbih dengan caranya. Maka terbukalah saat ini pintu Rayyan di syurga khusus untuk mukminin yang berpuasa. Petang semalam dapat SMS dari kak Ibah. Hati berbunga-bunga bila membaca ayat-ayat Allah yang tertera di skrin hpku -

Orang-orang bertaqwa bersantai-santai dalam taman syurga dan pancuran air terjun pancuran. Surah al-Dzariyyat:15.

Hebat sungguh Ramadhan ni, ia adalah madrasah bagi orang-orang yang berpuasa untuk meraih ijazah taqwa. Semoga dengan puasa kali aku dapat ilmu "self controlling" agar boleh lagi aku bertahan dalam menjalani kehidupan yang fana ini.

Wednesday, August 12, 2009

Dhaifunaa al-Kareem

Rasa berbesar hati yang amat sangat hendak menyambut kedatangan tetamu mulia ini (dhaifunaa al-Kareem) Berkembang kuncup dada ini. Bagaimana ya untuk ku sambut kehadirannya. Aku inginkan kelainan tahun ini dalam melayaninya dan memenuhi kehadirannya di lamanku. Di samping perkara-perkara yang semestinya aku lakukan sepanjang hidup ini semasa bertamunya dia dalam hidup, kali ini aku rasa mesti buat kelainan sikit agar kehadirannya menyatu dalam jiwaku dan mencambahkan rasa cintaku pada Pemilik sejati tetamu agung ini. RAMADHAN YA RAMADHAN. Ya Allah berkatilah kami sepanjang bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan.

Ya, ingin sangat aku bersama pemikiran ulama terkenal Syeikh Kabir Muhammad Mutawalli al-Sya'rawi dan berguru dengannya sepanjang bulan Ramadhan ini. Dah banyak kali aku mengintai-intai pancarannya tapi masa yang terlalu menghambat dan kesibukan duniawi yang terlalu kuat membeliti diri ini seringkali itu aku tewas. Sehinggalah semalam aku melewati sebuah toko buku, Allah telah mengalihkan pandanganku kepada deretan Tafsir syeikh ini. Masya Allah sudah ada terjemahahanke dalam bahasa Indonesia yang mudah. Ada sebanyak 7 jilid. Tapi mahalnya.... rm500. Nak beli sangat-sangat. Nak korek manalah duit ni. Namun aku aku terus memasang angan-angan bahawa satu hari nanti ia (insya Allah) ia akan jadi milikku. Ya Allah qabulkan doaku. Aku ingin memilikinya agar dapat aku menjadikannya temanku sepanjang bersama Ramadhan tahun ini. Aku ingin berguru dengan Syeikh Sya'rawi sepanjang Ramadhan ini. Kabulkan niat suciku ini. Aku ingin terus mengenali dan mencari cintaMu melalui susunan indah pemikiran Syeikh Sya'rawi dalam tafsiran tentang ayat-ayatMu yang telah Kau hadiahkan buat umat ini. Ameen Ya Mujieeb.

Syeikh Kabir Muhammad Mutawalli al-Syarawi

diambil dari - http://buluh.iluvislam.com/?p=8

Saya menulis kisah hidup Syeikh Kabir Muhammad Mutawalli al-Syarawi kerana saya amatlah mengkagumi beliau sebagai salah seorang ulama zaman ini yang begitu memberi kesan kepada jiwa saya. Jadi di sini saya nukilkan sejarah dan kisah hidup ulama kesayangan saya ini untuk tatapan semua. Semoga kita semua dapat mengambil iktibar dari kisah hidup ini.


Perjalanan Hidup Beliau

- Nama penuh beliau ialah Muhammad bin Mutawalli al-Syarawi al-Husaini yang nasab keturunan bapanya sampai kepada Imam Husain bin Ali R.A.

- Dilahirkan pada 15 April 1911 di Kampung Duqdos, Daerah Mit Ghamr, Negeri Daqhiliah, Mesir.

- Sejak kecil lagi di gelar sebagai ‘al-Syeikh al-Amin’.

- Beliau tamat menghafaz al-Quran ketika berusia 11 tahun.

- Pada tahun 1916, beliau telah memasuki Sekolah Rendah Zaqaziq dan berjaya memperolehi Sijil Sekolah Rendah pada tahun 1923 dan kemudiannya memasuki sekolah peringkat menengah.

- Beliau terkenal dengan seorang yang sukakan syair dan kesusasteraan Arab sehingga rakan-rakannya melantik beliau menjadi Ketua Persatuan Pelajar dan Ketua Persatuan Kesusasteraan di daerah Zaqaziq.

- Beliau mengambarkan kampungnya yang begitu indah dengan pemandangan, subur dengan tanaman hijau-hijauan di perlembahan Sungai Nil.

Satu peristiwa yang terpenting dalam hidupnya yang berubah segala-galanya apabila keinginan bapanya untuk meminta beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar di Kaherah sedangkan beliau hanya ingin tinggal bersama-sama saudaranya di kampung dan menjadi petani. Menurut beliau, tidak ada bagi seorang kanak-kanak cita-cita atau keinginan tertentu. Tetapi keinginan ayahnya yang inginkan beliau belajar di Kolej al-Azhar apabila beliau telah tamat menghafaz al-Quran. Namun keinginan beliau untuk menjadi petani menjadikannya membuat pelbagai helah agar tidak masuk ke Kolej al-Azhar. Beliau telah memasukkan habuk tanah ke dalam matanya agar menjadi rabun dan ditolak semasa peperiksaan kesihatan. Namun helah ini juga tidak berjaya kerana kolej itu menerima orang buta. Helah kedua ialah gagap dan berbuat lupa ketika ujian hafalan al-Quran. Namun guru tersebut tetap menerimanya sebagai pelajar. Helah ketiga ialah meminta ayahnya membeli kitab-kitab yang besar dan mahal harganya di kedai dengan mengatakan ini adalah silibus kolej. Lalu dibeli oleh ayahnya. Apabila pulang ayahnya berkata: “Wahai Amin (gelaran yang diberikan oleh ayahnya), janganlah kamu menyangka aku lupa bahawa semua buku-buku tersebut bukanlah silibus untuk kamu. Harga buku silibus kamu tidak sampai 37 Qurus sahaja. Tetapi, wahai anakku, semoga Allah memanfaatkan kamu dengan buku-buku ini.”

Inilah peristiwa yang merubah hidupnya untuk mendalami ilmu dan membaca buku-buku yang muktabar. Beliau telah memasuki Kolej Agama Zaqaziq pada tahun 1930an dan mendapat sijil agama pada tahun 1936.

- Pernah dipenjara semasa belajar di Maahad Zaqaziq sebab menggalakkan sambutan memperingati Saad Zaglul seorang ulama al-Azhar yang kuat menentang kerajaan pada ketika itu.

- Beliau telah memasuki Kuliah Bahasa Arab pada tahun 1937 dan beliau aktif dalam persatuan pelajar di Universiti al-Azhar.

- Pada tahun 1941, beliau menjadi graduan dan mendapat syahadah terbaik dari Kuliah Bahasa Arab di Universiti al-Azhar.

- Pada tahun 1943, beliau mendapat Syahadah Alimiah atau kebenaran mengajar dari kerajaan Mesir.

- Pernah menjadi tenaga pengajar di beberapa buah maahad: Maahad Tanta, Maahad Iskandariah dan Maahad Zaqaziq.

Pada tahun 1950, beliau menjadi guru di Kolej al-Anjal di Arab Saudi dan kemudian menjadi pensyarah syariah di Universiti Ummul Qura di Mekkah sehingga tahun 1963. Beliau mengambarkan bahawa kuliah syariah ini terletak berhampiran dengan Masjidil Haram. Ketika mengajar, beliau dapat melihat dengan jelas Kaabah dan ini memberi kesan yang besar terhadap jiwa beliau, jiwa para guru dan pelajar-pelajar di situ. Pada waktu itu, beliau tidak terlepas seditikpun dari mengingati Allah Taala dan rasulNya.

Pada tahun 1963, apabila berlaku krisis antara Jamal Abdul Naser iaitu Presiden Mesir dengan Raja Saud, maka Jamal Abdul Naser melarang beliau untuk ke Arab Saudi dan melantik beliau menjadi Pengarah di Pejabat Syeikh al-Azhar Syeikh Hassan Makmun. Kemudian beliau bertugas di Algeria sebagai Wakil al-Azhar dan menetap di sana selama tujuh tahun. Apabila beliau pulang ke Mesir, beliau dilantik menjadi Pengarah Kementerian Wakaf, Negeri Gharbiyyah kemudian menjadi wakil bahagian Dakwah dan Pemikiran dan kemudian menjadi wakil al-Azhar. Selepas itu, beliau pergi ke Arab Saudi untuk mengajar di Universiti Raja Abdul Aziz.

Pada November 1976, Mamduh Salim menjadi Perdana Menteri Mesir dan melantik beliau menjadi Menteri Wakaf dan Pentadbiran al-Azhar. Beliau menjadi menteri sehingga tahun 1978 selama dua tahun. Beliau memegang jawatan ini bukan kerana kepentingan dunia dan dikenali sebagai seorang menteri yang mudah berinteraksi dan bertanggungjawab. Pintu pejabatnya sentiasa untuk para ulama, kawan-kawan dan pelajar-pelajar untuk berbincang dengannya. Walaupun menjawat jawatan menteri, jawatan tersebut tidak mengubah pendiriannya sedikitpun. Beliau merupakan seorang yang amat pemurah dan menafkahkan gajinya kepada para pelajar dan orang miskin.


Dalam satu temuramah oleh Fatimah al-Sahrawi mengenai kenapa beliau menerima jawatan Menteri Wakaf dan kemudian meninggalkannya. Beliau menjawab: “Saya menerima kerana saya berpendapat saya telah lama meninggalkan Mesir sejak tahun 1950 dan berada di luar negara. Saya tidak mempunyai hubungan dengan pemerintah dan pegawai-pegawainya. Dan apabila saya berdakwah saya dapati diri saya jauh dari mereka. Saya berfikir kenapa mereka meminta saya untuk memegang jawatan tersebut sedangkan saya berjauhan dengan mereka. Ini menandakan bahawa mereka memilih untuk melakukan sesuatu tugas yang mulia. Sekiranya saya tidak menerimanya, maka mereka akan mengatakan saya tamakkan harta kerana saya dibayar gaji di Arab Saudi sebanyak 2000 ribu sebulan sementara menjadi Menteri di Mesir sebanyak 250 Junaih tetapi saya perlu berkorban.”

Dalam satu pertemuan yang lain mengenai isu ini juga, beliau mengatakan syukur kepada Allah Taala kerana jawatan menteri itu bukan sesuatu yang diminta-minta tetapi ditawar kemudian beliau menerimanya.

Pada tahun 1980, beliau dilantik menjadi anggota Majma al-Buhuth al-Islamiah (Badan Penyelidikan Islam) di Universiti al-Azhar. Setelah itu, beliau bergiat dalam aktiviti dakwah dan menyebarkan ilmu dan menolak jawatan yang ditawarkan kepadanya.

Beliau telah dianugerah pingat darjat pertama pada tahun 1976 sebelum dilantik menjadi Menteri Wakaf dan menerima Pingat Kebangsaan pada tahun 1983 dan 1988. Beliau juga mendapat Doktor Kehormat Kesusasteraan dari Universiti Mansurah dan Universiti Manufia. Beliau juga dipilih sebagai pemenang tokoh oleh Negeri Daqaliah pada tahun 1989. Beliau juga pernah mendapat Anugerah Dubai dan Pingat Amir Zaid Ali Nahyan. Duit yang beliau dapat dari pingat itu disedekahkan kepada al-Azhar dan para pelajar di Bu’us Islamiah (Asrama Pelajar al-Azhar).

Beliau juga terkenal sebagai seorang dermawan dan membuat kebajikan. Beliau mendirikan di kampungnya Daqadus Maahad Al-Azhar, Sekolah Tahfiz, Masjid dan Pusat Kesihatan untuk orang Miskin. Royalti buku-buku beliau didermakan untuk kebajikan.

Beliau wafat pada pagi Rabu 22 Safar tahun 1419H bersamaan 17 Jun 1998. Jenazahnya telah dimandikan oleh Syeikh Dr. Omar Hashim dan diimamkan oleh Syeikh Dr. Sayyid al-Tantawi. Sebelum wafat, beliau berwasiat kepada anak-anaknya agar jangan bergaduh kerana harta dan berwasiat agar disiapkan satu juzuk terakhir tafsir al-Quran yang belum disiapkan lagi dengan melihat rakaman yang dirakamkan di TV dan Radio. Malah dua hari sebelum meninggal dunia, beliau berwasiat agar mempersiapkan kuburan untuknya di kampung.

Menurut anaknya Ahmad, bahawa bapanya telah mengkhaskan daripada gajinya kepada beberapa orang penduduk yang tinggal di Kaherah, Tanta dan kampungnya. Malahan wang yang diperolehi dari ceramah-ceramah, royalti buku dan majalah disedekahkan untuk orang ramai. Beliau pernah menafkahkan wang berjuta dolar yang dihadiahkan oleh Raja Dubai untuk aktiviti dakwah.

Mengenai kenapa beliau tidak memakai pakaian rasmi al-Azhar (iaitu berjubah dan serban putih berkopiah merah), beliau menjawab sememangnya beliau menyukai pakaian rasmi al-Azhar namun setelah beliau dituduh ingin merebut jawatan syeikh al-Azhar maka beliau menanggalkan pakaian tersebut untuk selamanya. Hal ini terjadi kerana beliau memberikan ciri-ciri dan syarat-syarat kelayakan untuk menjawat jawatan Syeikh al-Azhar kepada Anwar Sadat iaitu Presiden Mesir ketika itu. Setelah itu orang beranggapan bahawa beliau menginginkan jawatan tersebut. Oleh kerana itu, untuk membuktikan keikhlasannya beliau menanggalkan pakaian yang amat disukainya.

Ahmad Bahjat menyifatkan Syeikh Kabir Muhammad Mutawalli al-Syarawi seorang ahli tafsir semasa yang dapat menafsirkan ayat-ayat al-Quran dengan uslub yang mudah difahami oleh orang umum. Sementara Syeikh Dr. Omar Hashim iaitu bekas Rektor al-Azhar menyifatkannya sebagai seorang mujadid abad ini. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi menyifatkan Syeikh Kabir Muhammad Mutawalli al-Syarawi seorang ahli al-Quran. Beliau merupakan seorang yang dikurniakan Allah Taala kefahaman al-Quran dan rahsia-rahsianya serta pandangan-pandangannya mempunyai kesan kepada masyarakat umum sama ada golongan terpelajar mahupun tidak. Tidak semua orang yang membaca al-Quran dapat menyelami makna-makna kecuali diberikan Allah kefahaman tersebut. Beliau adalah orang yang diberikan Allah Taala kurniaan tersebut.

Menurut Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi lagi, keseluruhan hidupnya adalah untuk berkhidmat kepada agama Islam dan menyebarkan ilmu dan kematian ulama merupakan satu kehilangan besar dan musibah kepada umat kerana apabila Allah Taala menarik ilmu adalah dengan kematian ulama. Apatah lagi dalam masa terdekat beberapa ulama lainpun telah meninggal dunia sebelumnya seperti Syeikh Muhammad al-Ghazali, Syeikh Khalid Muhammad Khalid, Syeikh Jad al-Haq Ali Jad al-Haq (Syeikh al-azhar), Syeikh Abdullah bin Zayd Ali Mahmud, Syeikh Abdul Fatah Abu Ghadah. Menurutnya lagi, sememang ada yang bersepakat dengan beliau dan ada yang berbeza pendapat dengannya seperti pandangannya mengenai pemindahan organ. Beliau tidak bersetuju pemindahan organ. Beliau juga tidak bersetuju untuk mengambil pendekatan menentang kerajaan dan mengambil pendekatan tadaruj (beransur-ansur) sedangkan ada sesetengah golongan inginkan pendekatan kekuatan dan menentang pemerintah. Perkara ini sudah tentu berbeza dengan beliau. Namun kesemuanya bersetuju atas sumbangan dan khidmatnya dalam khidmat kepada agama Islam keseluruhannya, meninggikan kalimatnya dan berdakwah kepada masyarakat dengan bahasa yang mudah dan semasa. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi menyebutkan lagi, beliau merupakan gurunya dalam subjek Balaghah semasa beliau menuntut di Kolej Al-Azhar Tanta. Menurutnya lagi, pada tahun 1417H, apabila beliau dianugerah Pingat Antarabangsa Syahsiyat Islam Dubai, saya telah diminta oleh pihak penganjur untuk menghadiri bagi menghormati beliau. Saya telah hadir dan apabila beliau mengetahui kehadiran saya beliau merasa sungguh seronok dan bergembira. Saya menghadiri majlis tersebut sebagai tanda menghormatinya dan sepatutnya kita sebagai seorang muslimin juga menghormati para ulama kita seperti Syeikh Kabir Muhammad Mutawalli al-Syarawi dan Syeikh Muhammad al-Ghazali.

Syeikh Kabir Muhammad Mutawalli al-Syarawi telah berkahwin dalam usianya yang masih muda atas permintaan bapanya yang inginkan beliau berkahwin awal dan isterinya adalah pilihan keluarga. Mereka dikurniakan 5 orang anak. Mengenai pendidikan anak-anak, beliau menyebut bahawa perkara yang penting ialah memberi contoh teladan dan sekiranya kita menunjukkan akhlak yang mulia sudah tentu mereka akan mengikutinya. Adalah menjadi kewajipan kita mendidik mereka dengan akhlak dan perangai yang mulia dan memelihara telinga dari mendengar perkara yang buruk, memelihara matanya dari melihat yang mungkar. Kita hendaklah mendidik anak-anak dengan pendidikan Islam dalam menunaikan amalan dan kewajipan agama, tekun dalam membuat kerja dan menunaikan solat pada waktunya

Ibadat Beliau

Syeikh Dr. Omar Hashim menyebutkan bahawa beliau seorang yang banyak beribadat dan bersolat. Beliau menjadikan rumahnya sebagai masjid apabila beliau dalam keadaan uzur dan tidak mampu untuk pergi ke masjid untuk solat berjamaah. Syeikh Dr. Omar Hashim berkata: “Pada suatu hari saya pergi ke rumahnya dan beliau masih lagi bersolat sedangkan jamaah lain telah habis menunaikan solat Isyak, solat sunat badiah dan witir. Sedangkan beliau terus menunaikan solat-solat sunat”.

Beliau menyebutkan bahawa beliau mempelajari dari ayahnya dua perkara :

i. Pertama bahawa ayahnya pernah menyebutkan kepada beliau: “Jagalah dan peliharalah tawaduk kerana rahsia-rahsia ilmu tidak akan diperolehi oleh orang-orang yang sombong.”
ii. Ayahnya pernah mengatakan: “ Ikatkanlah diri kamu dengan Allah selalu dan tidak takut selain Allah.”

Kedua-dua aspek ini jelas dipratikkan oleh beliau sebagai seorang yang tawaduk dengan ilmunya dan sentiasa beribadat dan berzikir mengingati Allah.

Hikmah Anugerah Allah Taala Kepada Beliau

- Ilmu pengetahuan yang luas dan tinggi.

- Ingatan yang kuat.

- Keperibadian yang sempurna.

- Beliau menjawat jawatan Menteri Wakaf selama 2 tahun. Namun jawatan tersebut sedikitpun tidak mengubah pendirian beliau.

- Seorang doktor pernah berkata: “Aku bimbang apabila kamu menjawat jawatan ini ianya akan menyibukkan kamu dengan banyak perkara”. Lalu beliau berkata: “Bertenang, sesungguhnya kesibukan tidak dapat menewaskan aku.”

- Beliau adalah seorang yang cukup pemurah - menafkahkan hartanya kepada pelajar.

- Beliau sangat mencintai keluarga Rasulallah S.A.W.

- Beliau gemar tinggal berhampiran dengan Masjid Hussien.

- Beliau sentiasa menziarahi makan Saidatina Nafisah.

- Beliau sentiasa menghadiri majlis sambutan maulidur rasul yang berlansung di perkarangan Masjid Hussien.

Antara Buku-Buku Karangan Beliau:

01. Tafsir al-Syarawi.
02. al-Isra Wa al-Miraj.
03. al-Islam Wa al-Fikr al-Muasir.
04. al-Islam Wa al-Marah.
05. al-Tariq Ila Allah.
06. al-Fatawa.
07. Mujizat al-Quran.
08. Min Fayd al-Rahman.
09. al-Qada Wa Qadar.
10. al-Salat wa Arkan al-Islam.
11. Nazarat Fi al-Quran.
12. Hadha Huwa al-Islam.
13. al-Hayat wa al-Maut.
14. al-Taubat.
15. al-Zalim Wa al-Zalimun.
16. Sirah al-Nabawiyyah.

Dan masih lagi banyak lagi buku-buku beliau yang tidak diletakkan di sini.

Antara Fatwa Beliau:

01. Adakah mayat mendapat manfaat dari sedekah dan mempunyai perasaan terhadap orang hidup dan adab ziarah kubur?

Dalam menjawab persoalan perkara ini, beliau menyebutkan bahawa mayat akan mendapat manfaat dari sedekah-sedekah yang dilakukan kepadanya. Disebutkan oleh Syeikh al-Adawi dalam kitabnya “Masyariq al-Anwar” bahawa telah bersepakat para ulamak bahawa pahala sedekah akan sampai kepada mayat sama ada kubur itu dekat atau jauh. Begitu juga istighfar dan berdoa kepadanya. Berkata Imam al-Qurtubi lagi bahawa ulamak telah bersepakat bahawa pahala sedekah akan sampai kepada si mayat. Begitu juga kata-kata dalam membaca al-Quran dan berdoa dan beristighfar kepadanya. Ini berdasarkan kepada hadith yang menyebutkan bahawa mayat itu sentiasa menanti-nanti doa dari saudaranya atau bersedekah untuknya, sekiranya ia memperolehi perkara tersebut, itu adalah yang terlebih baik dari dunia dan segala isinya. Berkata Imam al-Syarani bahawa dalil sampai pahala tersebut adalah sabda Rasulullah S.A.W. yang menyebutkan apabila kamu melalui kubur hendaklah membaca surah al-Ikhlas sebanyak 11 kali dan kemudian bersedekah kepada ahli kubur tersebut maka mayat-mayat tersebut akan mendapat pahala darinya. Disebutkan juga oleh Imam Ahmad bahawa apabila kamu berada di kubur maka bacalah al-Fatihah dan dua surah mauzatain (surah al-Nas dan surah al-Falaq) dan surah al-Ikhlas dan jadikanlah ia sebagai sedekah kepada ahli kubur kerana ia akan sampai kepada mereka.

Saat Kewafatan Beliau

- Beliau wafat pada pagi Rabu 22 Safar tahun 1419H bersamaan 17 Jun 1998.

- Anak saudaranya Hajjah Suad berkata: “Semasa hampir saat kematian, beliau cuba untuk bangun dan berteriak dengan suara yang jelas sehingga didengari oleh orang yang berada di sekelilingnya.” Katanya: “Selamat datang wahai Hussien, kamu telah datang sendiri berjumpa dengan aku, aku gembira dengan kedatangan Mu.”

- Beliau disemadikan di tempat kelahirannya juga. Saya telah beberapa kali menziarahi makam beliau.

Kewafatannya ditangisi. Lebih sejuta orang datang untuk memberikan penghormatan terakhir dan mengiringi jenazah beliau ke tanah perkuburan. al-Fatihah.

Cacatan:

Hampir majoriti penduduk Mesir yang biasa saya ajukan soalan mengenai Syeikh Kabir Muhammad Mutawalli Syarawi mengatakan bahawa tiada ulama pada zaman kini yang paling mereka sayangi dan sanjungi melainkan beliau. Mereka sanggup bergaduh sekiranya ada orang lain yang mengatakan sesuatu yang buruk kepada beliau. Sehingga sekarang ini masih terdapat banyak kedai-kedai dan rumah-rumah yang menggantung gambar beliau.

Semoga saya juga menjadi seperti beliau. Amin.

‘Memberi dan Berbakti’

Sekian. Wallahualam.

Sunday, August 9, 2009

Nikmat Tuhan Manakah Yang Kamu Dustakan?

Alhamdullilah, walaupun kesempitan dan masih teringat-ingat lagi lap top yang meletop hari tu... hu hu.. pelik kan laptop boleh hangus (sekarang kat wad icu, entah bila nak sembuh), tiba-tiba abang cakap, "ummi suruhlah sape-sape belikan pcu baru". Hai bagai pucuk di cita ulam mendatang, pcu yang lama tu pun kena virus, bukak je terus ada virus mengilai-ngilai. Kesian pula kat anak-anak dah lama tak surf internet dan selalu mengecek nak guna lap top ummi. Terus call diana, kalau nak gi lowyat, belikan akak pcu baru yang power dan murah. Inilah yang baru tu.



Tapi monitor masih gunakan yang lama. Masih baik lagi. Ummi hanya memohon agar anak-anak menggunakan komputer ini dengan sebaik-baiknya serta pada perkara yang yang boleh memberi dan menambah ilmu. Nak main game boleh tapi jangan melampaui batas sehingga lupa solat dan mengaji serta membuatkan ummi tinggi suara.

Apa-apa pun alat ini adalah sebahagian dari kemudahan yang Allah beri kepada hamba-hambaNya, terpulanglah kepada kita bagaimana untuk memanfaatkannya. Yang lebih bagus gunakanlah ia sebagai salah satu cara untuk kita empower dakwah kita dengan menggunakan multi media. So, ummi akan mengikuti satu kursus berkenaannya dengannya. Ni nak tolong Puan Diyanah (adik ummi la ni) iklankan kursus yang dia handle pada hujung minggu ni. Sape-sape yang berminat harap ambil lah peluang ini. Sebelum tu tengok dulu clip video ni. Moga satu hari nanti umi mampu buat macam ni.




------------------------------------------------------------------

Salam Semua,

Anda juga boleh menghasilkan sendiri clip video seperti diatas. Dengan perisian yang mudah dan mesra pengguna Sony Vegas Pro 8, anda boleh menghasilkan clip video seperti seorang profesional!

Jika anda lihat perkembangan media massa di TV dan juga internet, media yang berunsur da'wah atau islami amat ketinggalan berbanding hiburan dan sebagainya.

Oleh itu, saya bersama rakan2 melihat perlunya kita semampu yang boleh membuat media alternatif sekecil mana pun hasil kita, sebagai sumbangan kita kepada penyebaran nilai2 islam.

Namun, ramai diantara kita yang tidak mempunyai kepakaran atau kemahiran dalam menghasilkan media atau video clip. Dengan itu saya bersama rakan2 ingin menjemput sahabat alumni menambah ilmu untuk menghasilkan multimedia anda sendiri sebagai menambah nilai (enhance) method da'wah masa kini.

Pada 15-16 August (Sabtu -Ahad) ini, saya akan membuat satu workshop yang bertajuk "Empower Your Multimedia Presentation with a profesional Tools - Sony Vegas Pro". Saya ingin anda; sahabat alumni bersama-sama menambah ilmu yang amat bermanfaat ini.

Yuran yang dikenakan adalah RM180.00 untuk 2 hari workshop termasuk makan. Workshop ini akan di adakan di Kompleks Balai Islam, Masjid Al-Ghufran Taman Tun Dr Ismail.

Kepada yang berminat boleh hubungi saya di 016-9734633 atau email kepada saya diyanatahir@ yahoo.com.

Terima Kasih

Saturday, August 1, 2009

Janganlah Kamu Cenderung Pada Puak Yang Zalim

Tahniah rakyat Malaysia yang bencikan kezaliman kerana membakar semangat dengan ayat dari surah Hud ini. Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang selamat dari sambaran api neraka. Semoga undang-undang zalim ISA terbakar di dunia dan akhirat.
وَلا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لا تُنْصَرُونَ) هود/113

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), nescaya Neraka akan menyambarmu kepadanya, sedang kamu tidak ada sebarang Penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.












Wednesday, July 29, 2009

La Tahzan

Hari sabtu lepas kena ceramah motivasi untuk ajk halwa masjid Khairiyyah Sri Gombak. Walaupun diri ini adalah orang yang paling tak bermotivasi tapi tuntutan ummah kena lah kugagah juga. 2 hari siapkan power point (padahal simple2 je, banyak benda lagi yang kena dipelajari) agar aku dapat sebarkan Islam dengan cara yang indah dan membahagiakan. Tapi La Haula Wala quwataillah Billah, sebaik sahaja ajk masjid pasangkan LCD kat lap top aku..... Pppaaap. Satu dewan gelap. Black out. Laptop aku semacam mengeluarkan bau hangus.... lap top juga "mati" serta merta walaupun batery aku dah full kan. Ada litar pintas mungkin. Ya Allah, habislah modal ceramah aku pagi ni. Note pun aku tak buat hanya bergantung penuh note dalam laptop tu. Dah tu tak terpikir pulak nak save dalam pen drive. So , balik asal la, hanya guna air liur je la.... Namun Alhamdulillah dengan bantuan Allah dapat juga aku menyampaikan mesej suci pada hari itu pada mereka. Siap nangis-nangis lagi aku ketika menceritakan kisah Marwa al-Sharbini yang yang syahid di bunuh kerana mempertahankan hijabnya. Aku emosi betul ketika itu . Mungkin ruh jihad Marwa menyatu dengan semangatku pagi itu.

Apa-apa pun semua telah termaktub di Loh Mahfudz..... di pembukaan ceramah aku bacakan ayat 51 dari surah al-Taubah sebagai mengendurkan keteganganku.

قُل لَّن يُصِيبَنَآ إِلَّا مَا ڪَتَبَ ٱللَّهُ لَنَا هُوَ مَوۡلَٮٰنَا‌ۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلۡيَتَوَڪَّلِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ
Katakanlah: Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.

Sedih juga dengan kemalangan ini, aku ni tak bekerja, tiada pendapatan, beli lap top dulu tu pun hasil jualan buku aku tu, ni dah rosak pula. Entah berapa la pula kena bayar utk diperbaiki tu. Tulis blog hari ni pun pinjam HP mini suami. Alahai kecil sangat , pening kepala. Badan jadi mengecil. Sakit Badan ni.

Sebenarnya saja je, menulis hari ni coz mahu sharing sesesuatu buah tangan atau air tangan dari adikku Diyanah yang kreatif and brilliant tu. Tangan dia tu memang sejuk, bila dia sentuh sesuatu akan menghasilkan sesuatu yang boleh mengocak sukma. Benda ni aku ambil dari blog dia la. Mudah-mudahn ia menjadi amal jariah dan kerja dakwahnya. Tajuknya La Tahzan, Jangan Bersedih. Mudah-mudah Allah mendatangkan laptop yang terbaik untukku. Aminn

Monday, July 20, 2009

Berapa Berat Badanmu?



Berapa berat badanmu? 50 kg? 80kg? 100? Sudah timbang badan hari ini? Adakah bertambah atau berkurang? He he he .....

Bukan.... Bukan.... Bukan, bukan itu yang aku maksudkan.

Aku inginkan berat/timbangan yang hakiki, yang Allah sebut dalam firmanNya :

وَٱلۡوَزۡنُ يَوۡمَٮِٕذٍ ٱلۡحَقُّ‌ۚ فَمَن ثَقُلَتۡ مَوَٲزِينُهُ ۥ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ وَمَنۡ خَفَّتۡ مَوَٲزِينُهُ ۥ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ خَسِرُوٓاْ أَنفُسَہُم بِمَا كَانُواْ بِـَٔايَـٰتِنَا يَظۡلِمُونَ.

Dan timbangan amal pada hari itu adalah benar; maka sesiapa yang berat timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang berjaya. (8) Dan sesiapa yang ringan timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, dengan sebab mereka berlaku zalim terhadap ayat-ayat Kami (dengan meletakkannya pada bukan tempatnya). (9) Surah al-Isra” 8-9.

Inilah berat kita yang hakiki. Apakah dia kebaikan kita yang memberatkan mizan(timbangan) itu dan apakah dia keburukan kita yang meringankan mizan itu.

Hari Isnin yang penuh ketenangan ini. Aku mahu mengira dan menimbang beratku yang hakiki. Ya Rabb, aku menangis, betapa menyusutnya beratku.

Berapa berat akhlak muliamu?

قال عنه صلى الله عليه واله وسلم ما من شيء أثقل في ميزان المؤمن يوم القيامة من حسن الخلق، وإن الله يبغض الفاحش البذيء

“Tidak ada yang lebih berat pada timbangan orang mukmin pada hari kiamat melainkan akhlak yang baik dan sesungguhnya Allah benci orang yang berperi laku dan berkata jahat (caci dan cela).” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Berapa berat kerja dakwahmu mengajak orang lain kepada kebaikan dan cinta Allah?

Tidakkah kau sering alunkan nasihat nabi SAW :

من دل على خير فله مثل أجر فاعله
Siapa yang mengajak kepada kebaikan maka baginya ganjaran yang sama dengan orang yang melakukannya

Berapa berat bacaanmu, tilawah dan tadabbur al-Quran?

Sedangkan engkau tahu bahawa al-Quran akan datang memberi syafaat kepadamu pada hari kiamat nanti.Nabi bersabda :

من قرأ حرفاً من كتاب الله فله حسنة والحسنة بعشر أمثالها، لا أقول { ألم } حرف، ولكن: ألف حرف، ولام حرف، وميم حرف عشر حسنات لكل حرف والله يضاعف لمن يشاء

Sesiapa yang membca satu huruf dari kitab Allah maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan menyamai 10.. Aku tidak mengatakan (alif lam mim) satu huruf, tapi alif satu huruf, lam satu huruf, dan mim satu huruf. 10 kebaikan setiap satu huruf. Allah menggandakan kebaikan bagi sesiapa yang dikehendakinya.

Berapa berat istigfarmu?


Berat berat zikirmu dan tasbihmu?

Berapa berat zikirmu yang ini :

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم

Berapa berat zikirmu yang ini :

سبحان الله والحمد لله ولا إله إلا الله
والله أكبر ولا حول ولا قوة إلا بالله

Mengapa tidak mahu bertasbih, memuji Penciptamu, sedanglan langit sentiasa bergegar (kerana memikul kehebatan Ilahi yang paling berat sekali). Sedangkan tidak ada sejengkal tempat pun di langit dimana malaikat-malaikatnya tidak sibuk dengan bertasbih dan memuji ALLAH dalam keadaan bersujud.

Allah SWT. berfirman :
تُسَبِّحُ لَهُ ٱلسَّمَـٰوَٲتُ ٱلسَّبۡعُ وَٱلۡأَرۡضُ وَمَن فِيہِنَّ‌ۚ وَإِن مِّن شَىۡءٍ إِلَّا يُسَبِّحُ ِحَمۡدِهِۦ وَلَـٰكِن لَّا تَفۡقَهُونَ تَسۡبِيحَهُمۡ‌ۗ إِنَّهُ ۥ كَانَ حَلِيمًا غَفُورً۬ا

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (Al-Isra'- 44)

Kamu hafal tidak atau ingat tidak butir mutiara nabi SAW :

كَلِمَتَانِ خَفِيفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ ، ثَقِيلَتَانِ فِي الْمِيزَانِ ، حَبِيبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ : ( سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ) رواه البخاري (6682) ومسلم (2694

" Dua kalimah yang ringan pada lidah, berat dalam timbangan dan dicintai ALLAH swt ialah Subhanallah Wa Bihamdihi, Subhanallahil 'Azim."

Mari sayangku, Muhammad, Wajdiy, Hamzah, Miqdad. Ayyash , Wajeehah , Ibrahim kita hafaz hadith ini., kita beratkan timbangan kita.



كَلِمَتَانِ خَفِيفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ ، ثَقِيلَتَانِ فِي الْمِيزَانِ ، حَبِيبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ : ( سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ)