Thursday, October 15, 2009

Kenapa Blog ini Bernama Suara hati


Kerana saya ingin mengingatkan diri saya dan mengajak kalian saudara sedunia agar mengenali suara hati sendiri dan sentiasa mendengar suara hati itu, kerana hati adalah RAJA bagi susuk tubuh saya dan kalian samada dalaman mahupun luaran Namun tidak ramai yang tahu apa sebenarnya suara hati itu, sehingga kita sering mengabaikan suara itu, malah bila datang hidayah dan kebenaran suara hati itu sering dihasut untuk mencari-cari hujjah dan dalil bagi menolak kebenaran tersebut. Sudahkah kita mengenali suara hati kita yang sebenarnya. Kenapa ungkapan Melayu sering mengatakan ’jangan ikut kata hati’. Sedangkan hati adalah penentu segalanya. Kenapa begitu negatifnya pandangan bangsa ini pada suara hati ...... Kenapa tidak memandang bahawa hati itulah yang akan kita bawa apabila menemui Pencipta kita nanti Allah RabulJalil. Bukankah Allah mengatakan pada hari kita dibangkitkan semula nanti iaitu hari


يَوۡمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ۬ وَلَا بَنُون إِلَّا مَنۡ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلۡبٍ۬ سَلِيمٍ۬


Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik) (Al-Syuaraa’ 87-88)


Suara hati adalah tiupan sifat-sifat mulia ke dalam jiwa manusia. Sifat-sifat mulia tersebut amat secocok dengan sifat-sifat Allah yang terdapat di dalam Al-Quran iaitulah Asmaul Husna seperti Maha Pengasih, Maha Penolong, Maha Berilmu, Maha Memelihara, Maha Melindungi dan lain-lain sifatNya Mulia. Merujuk pada surah al-Sajadah, Allah SWT. berfirman :


ثُمَّ سَوَّٮٰهُ وَنَفَخَ فِيهِ مِن رُّوحِهِۦ‌ۖ وَجَعَلَ لَكُمُ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡأَبۡصَـٰرَ وَٱلۡأَفۡـِٔدَةَ‌ۚ قَلِيلاً۬ مَّا تَشۡڪُرُونَ


Kemudian ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. dan ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.(Al-Sajadah : 9)


فَإِذَا سَوَّيۡتُهُ ۥ وَنَفَخۡتُ فِيهِ مِن رُّوحِى فَقَعُواْ لَهُ ۥ سَـٰجِدِينَ


"Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya ".(Al-Shaad :72)


Difahami dari ayat-ayat di atas bahawa Allah meniupkan ruh ciptaanNya kepada manusia, maka bererti sifat-sifat muliaNya juga ditiupkan ke dalam jiwa manusia. Oleh yang demikian semua manusia mesti menyedari bahawa mereka sebenarnya memiliki suara hati. Malah suara hati itu sama dan bersifat universal. Itulah yang terdapat dalam God Spot. Inilah yang disebut sebagai kesedaran spiritual. Penemuan God Spot pada otak manusia lebih meyakinkan bahawa manusia sentiasa mencari nilai-nilai mulia atau spiritualiti tersebut, atau sentiasa mencari tuhannya.


Menurut kajian sains, suara hati terdapat dalam lingkaran God Spot (Lobus Temporal). Ia adalah penemuan ilmiah Wolf Singer, Micheal Persinger dan V.S. Ramachandran apabila mereka telah menemukan fungsi God Spot pada otak manusia dan ia sudah ada semenjak manusia itu lahir ke bumi. Fungsi God Spot inilah yang mendorong dan menuntun manusia untuk terus mencari `makna hidupnya’. Dan terbukti seseorang manusia itu akan merasa spiritual ketika ia berlaku jujur, mengasihi, menolong, adil, sabar dan lain-lain sifat mulia. Bahkan mereka merasakan kebahagiaan dan kedamaian apabila berdekatan dengan sifat-sifat mulia ini. Mari kita perhatikan orang yang paling berpengaruh di muka bumi ini. Umumnya mereka adalah pembela keadilan,kejujuran dan kedamaian. Seperti Nabi Muhammad SAW, Nabi Isa AS juga para nabi dan rasul lainnya adalah merupakan fenomena spiritual yang sangat dahsyat dan luar biasa bagi kaum yang berfikir.


Menurut kaca mata Islam, penemuan God Spot oleh para saintis abad ini boleh menguatkan lagi dan menyokong kebenaran Al-Quran yang telah diturunkan lebih 1400 tahun yang lalu. Al-Quran menyebut bahawa Allah SWT telah mencipta manusia menurut fitrahNya. Kehendak dan keperluan manusia kepada ketuhanan adalah fitrah, ia telah wujud dan sedia ada dalam diri manusia samada dibuktikan dengan kewujudan saraf God Spot atau tidak, berdasarkan firman Allah SWT :


فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Ertinya : Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui ( Ar-Rum : 30)

Nabi Muhammad SAW juga ada menyebut bahawa setiap yang lahir itu, dilahirkan dengan keadaan Fitrah. Fitrah itu sendiri mempunyai makna - asal kejadian, keadaan yang suci dan kembali ke asal. Menurut ulama tafsir ia membawa maksud karakteristik penciptaan makhluk dan potensinya yang disediakan oleh Allah kepada makhluknya yang sentiasa bersedia untuk menerima kebenaran, agama dan mengenaliNya( Tuhannya). Syed Qutb menjelaskan bahawa Fitrah itu bersifat teguh dan kukuh dan agama juga bersifat teguh dan kukuh. ”tidak ada perubahan bagi ciptaan Allah”, Oleh itu apabila manusia menyeleweng dari fitrah, maka tiada yang dapat membetulkannya melainkan agama Islam yang sesuai dengan fitrah manusia dan fitrah alam wujud. Manusia atau insan disifatkan oleh Allah SWT, sebagai makhluk yang paling baik penciptaannya ( Ahsani Taqwim ). Boleh berubah dari buruk kepada baik, dan baik kepada buruk. Sementara kesempurnaan itu, dilengkapi dengan jasad yang disaluti dengan hati, nafsu dan akal. Manusia juga dapat menggunakan segala pancainderanya untuk menjalankan tanggungjawab,fungsi dan tugasnya. Oleh yang demikian, untuk merealisasikan kejadiannya sebagai sebaik-baik ciptaan Allah, ia memerlukan gabungan ketiga-tiga unsur kecerdasan tersebut dalam pembentukan peribadi yang sejati.


Di dalam Al-Quran ada mengatakan, sebelum manusia diciptakan, ruh manusia telah mengadakan perjanjian dengan Allah SWT, apabila Allah bertanya kepada jiwa manusia : Bukankah Aku Tuhanmu?. Lalu ruh manusia menjawab : Ya, kami bersaksi!. Perkara ini termaktub di dalam surah Al-A’raaf sebagaimana firman Allah SWT :


وَإِذۡ أَخَذَ رَبُّكَ مِنۢ بَنِىٓ ءَادَمَ مِن ظُهُورِهِمۡ ذُرِّيَّتَہُمۡ وَأَشۡہَدَهُمۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِمۡ أَلَسۡتُ بِرَبِّكُمۡ‌ۖ قَالُواْ بَلَىٰ‌ۛ شَهِدۡنَآ‌ۛ أَن تَقُولُواْ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ إِنَّا ڪُنَّا عَنۡ هَـٰذَا غَـٰفِلِينَ


Dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil ia bertanya Dengan firmanNya): "Bukankah Aku Tuhan kamu?" mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), Kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya Kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini". (Al-A’Raaf : 172)


Bukti adanya perjanjian ini menurut Muhammad Abduh ialah adanya fitrah iman dalam jiwa manusia atau suara hati manusia, suara hati tuhan yang terakam dalam jiwa manusia. Sebab itulah apabila manusia hendak melakukan keburukan, pasti akan dilarang oleh suara hati nuraninya sendiri, kerana Allah SWT tidak menghendaki manusia berbuat kemungkaran. Jikalau manusia itu tetap juga melakukan kemungkaran tersebut, maka suara hatunya akan berkata-kata seolah-olah menasihatinya. Sebaik sahaja ia melakukan perbuatan tersebut ia akan rasa menyesal. Penyesalan ini adalah tanda kembalinya seseorang pada tuhan. Itulah pengakuan bahawa manusia adalah makhluk spiritual.


Islam menjelaskan secara nyata bahawa hati adalah pembentuk kehidupan seseorang. Ia adalah sumber di mana segala kebaikan dan kejahatan itu muncul. Menurut laporan daripada Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad SAW berkata, ” Ketahuilah ! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekeliannya, Ketahuilah ! Itulah yang dikatakan hati. Hati juga boleh menjadi pedoman atau pengukur bagi menentukan suatu perkara samada ia betul atau salah, baik atau buruk. Ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh al-Nawwas bahawa Nabi Muhammad SAW berkata, ” Kebaikan itu ialah elok budi pekerti dan dosa itu ialah apa yang tergetar dalam dadamu dan engkau benci bahawa dilihat oleh manusia kepadanya”. Malahan di dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Wabisah, Nabi Muhammad SAW menyarankan dengan berkata, ” Mintalah fatwa dari hatimu”. Demikianlah kedudukan hati dalam diri seseorang ketika mahu memutuskan sesuatu perkara. Namun perlu ditekankan disini, bahawa perkara yang sudah terang diketahui hukumnya berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah serta dalil-dalil syara’ yang lain maka tidaklah lagi dikehendaki meminta fatwa hati, malah hati itu sendiri mestilah patuh kepada hukum itu samada hatinya merasa senang atau tidak.


Hati nurani akan menjadi pembimbing kepada kepada apa yang harus ditempuh dan apa yang harus dilakukan. Ertinya, setiap manusia sebenarnya telah mempunyai radar hati sebagai pembimbing. Suara hati manusia sentiasa menuju kepada kebenaran Islam. Jadi agama Islam adalah agama fitrah yang sesuai dengan keperluan manusia dan amat diperlukan oleh manusia. Seluruh ajaran Islam merupakan tuntutan suara hati manusia. Namun memegang teguh kata hati nurani ini merupakan cabaran hidup yang perlu dipertimbangkan serta dikembangkan agar mampu menghadapi perubahan kehidupan yang pantas dan dinamik dewasa ini.


Berdasarkan kenyataan-kenyataan di atas, saya membuat kesimpulan bahawa agama Islam pada hakikatnya mampu menjadi landasan untuk membangunkan kecerdasan emosi dan spiritual serta memandu suara hati manusia agar sentiasa kembali kepada fitrahnya kerana suara hati yang fitrah adalah tunjang kepada segala kebaikan.


Bersambung.......... Apakahkah dia sumber suara hati itu? Insya Allah


Friday, October 9, 2009

Isfihi Ya Rabb

Muhammad al-Fateh demam lagi. Dia selalu demam. Ya Allah berilah kekuatan dan kesabaran kepadaku untuk merawatinya. Pagi ini kucuba menekuninya untuk makan ubat. Perkara yang paling dia tidak suka. Selalu timbul juga rasa baranku kerana liat sungguh dia nak makan ubat. Kalau tidak kena cara pasti dia muntahkan semula ubat itu. Tapi pagi ini kenapa ada satu perasaan yang halus lahir dari hatiku melihatnya. Dengan penuh kasih sayang aku menyuapinya dengan lembut sedikit demi sedikit ubat itu. Aku menyudunya sesudu demi sesudu 'talbinah' (kupanggil susu nabi pada anak-anakku) ke mulutnya sambil memandang mata kecilnya yang sayu. Aku memandikannya setelah sekian lama tidak kumandikan semenjak dia sudah bersekolah. Kasihan Muhammad. Terasa kurangnya aku membelainya lantaran adik-adiknya yang terlalu rapat, tahun demi tahun dia melihat kesibukannya umi menyambut kelahiran adik-adik barunya.

Muhammad Al-Fateh, anak sulungku, lahir sembilan tahun yang lalu. Tanda pertama cinta sejatiku. Yang sangat lembut hatinya.... Yang sangat mudah menjaganya sewaktu bayi sehingga membesar. Yang sering bersama sang umi ini ketika suka dan duka. Yang sayang dengan adik-adiknya. Yang sangat mempertahankan adik-adiknya dari di 'ambil orang'. Paling risau kalau tetamu datang. Takut adik kena ambil. Lucu sungguh. Yang rapat dengan abahnya. Tapi hari ini abah tiada, nun jauh di Kedah dan akan terus ke Bagan Pinang. Kalau abah ada abah la yang tidak tidur malam menjerlum kepala dan badan Muhammad dengan air sejuk. Umi sibuk melayani baby dan adik-adik yang lain.

Ya Allah sembuhkan Muhammad. Kecintaanku. Kehadirannya pada ketika cintaku memuncak terhadap suamiku. Allah mengqabulkan doaku. Sebenarnya terlalu banyak Allah al-Mujib menjawab doaku.

Ya Allah sembuhkan Muhammad agar dia dapat meneruskan pengajiannya setelah 2 hari off. Agar dia kuat kembali menuturkan ayat-ayatMU. Maqbulkan impianku untuk melihat Muhammad al-Fateh al-Hafiz.