Thursday, February 18, 2010

Kebangkitan dan Kewafatanmu adalah kehidupan Buat Kami

Bulan ini ada beberapa jemputan ceramah sempena maulid nabi yang harus ku penuhi. Ketika mahu mencari idea-idea buat hidangan pendengar, dengan izin Allah terjumpa video ini. Subhannallah.... Hati mana yang tidak bergetar mendengar perkhabaran ini. Mata mana yang tidak bergenang membayangkan peristiwa ini. Ya Rasulullah, daku ingin bersamamu......








اللهم صلى على محمد وعلى آل محمد كما صليت على إبراهيم وعلى آل إبراهيم
وبارك على محمد وعلى آل محمد كما باركت على إبراهيم وعلى آل إبراهيم فى العالمين إنك حميد مجيد
Ya Allah berikanlah limpah rahmatMu kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana dikau limpahkan rahmatMu kepada Ibrahim dan kepada keluarga Ibrahim
Dan berikanlah limpah keberkatanMu kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Dikau limpahkan berkatMu kepada Ibrahim dan kepada keluarga Ibrahim, Di dalam alam semesta ini, sesungguhnya dikau Maha Terpuji Lagi Maha Mulia

Monday, February 8, 2010

Motivasi Usrah


Daku mendapatkan ketenangan bersama-sama jamaah di hujung minggu. Ada dua usrah yang kena daku kendalikan hujung minggu ini. Doaku sebelum ke usrah-usrah tersebut semalam. Ya Allah bantulah daku, Daku hanya ingin menyampaikan ayat-ayatMu, bantulah hambaMu yang banyak kekurangan ini. Tuntuni bicaraku, pimpini tuturkataku yang bakal dilafazkan.....Selepas usrah di Batu Caves, malamnya usrah di Kerdas pula. Anak-anak kecil menangis mahu mengikut, selepas ditinggalkan seharian. Letihnya Ya Allah... beginilah malah lebih hebat lagi jalan yang dilalui oleh para nabi. Siang dan malam terus-terusan berdakwah dijalanNYA. Diri ini cukup tersentuh ketika tadabbur surah Nuh, keletihan yang tiada tara dalam perjalanan dakwah Nabi Nuh AS sehingga baginda merintih Rabbii.... inni da'auti qaumi lalilan wa naharan... falam yazidhum duaa'i illah firara.... Wahai Tuhanku.... aku seru kaumku siang malam, tapi seruanku sedikitpun tidak menambah keimanan mereka malah mereka lari... Besarnya mehnah yang baginda lalui... jauh sangat untuk dibandingkan dengan amalku. Ya Daku hanya berharap dengan kerja-kerjaku Engkau memberi ketenangan dan kebahagiaan untukku juga Engkau menjadikan ia sebagai penghapus dosa-dosaku.

Dibawah ini kusertakan nukilan anak usrahku dalam blognya.

http://youmusthink.blogspot.com/2010/02/motivasi-usrah.html

Motivasi Usrah.

Petang ini sangat menarik dalam banyak-banyak petang sepanjang minggu ini. Masa terisi dengan aktiviti yang paling saya rindui setiap masa. Meskipun hampir setiap minggu saya mengikuti aktiviti tersebut, namun kali ini berbeza momentumnya.


Saya baru pulang dari mengikuti satu usrah di Batu Caves, Gombak. Sudah berbulan-bulan lamanya usrah itu tidak dihidupkan. Ramai yang ternanti-nanti jemputan usrah tetapi tidak ramai yang mampu membinanya semula. Sebagai tamsilan, ramai yang suka menerima, tetapi tidak ramai yang mahu dan mampu memberi.


Saya begitu kagum dengan kesungguhan muslimat Taman Jasa untuk menghidupkan usrah ini kembali. Setahu saya, muslimat yang berpangkat ‘makcik-makcik’ dan ‘nenek-nenek’ agak lemah dalam kerja-kerja teknikal. Namun berlaku sebaliknya dalam perlaksanaan usrah ini. Kerja menaip surat, menghantar surat, jemputan nakibah, persiapan tempat, segalanya diurus oleh mereka. Saya datang dengan hati yang lapang. Kehadiran hampir 50 orang.


Saya telah mencadangkan agar Ustazah Nafisah selaku nakibah usrah, membawa tajuk ‘Motivasi di jalan dakwah’. Biarlah usrah ini kembali hidup dengan asas dan tapak yang kukuh terlebih dahulu. Mereka perlukan suntikan yang mempunyai vitamin motivasi untuk menyegarkan tubuh dakwah yang semakin hari semakin tua, jauh dan lemah.


Sebagai AJK Lajnah Tarbiyah, amanah saya semakin bertambah. Adalah suatu cabaran untuk memastikan program ini berterusan secara konsisten. Namun begitu, selesai mendapat suntikan tadi, saya memperoleh iltizam baru yang lebih luar biasa.


Amanah ini akan digalas sebaik mungkin sebagai bukti pada diri sendiri bahawa saya adalah seorang agen perubahan masyarakat dan jamaah. Kata Ustazah Nafisah, setiap orang mahu mencapai kemuncak yang paling tinggi dalam memenuhi impian hidup. Seharusnya hal yang sama digarap dalam ibadah. Kemuncak ibadah ialah dakwah atau jihad di jalan Allah.


Rabu ini, saya akan mengendalikan usrah Nisa’ pula. Seperti yang dirancang, usrah pada 2 minggu yang lepas berobjektifkan pembinaan fikrah. Manakala Rabu ini pengisiannya menjurus kepada modul pengurusan dan latihan kepimpinan. Pembinaan fikrah dan pembentukan pengurus dan pemimpin adalah objektif yang akan diselang selikan pada usrah Nisa’ Gombak 2010.


Semoga Allah memudahkan urusan saya. Allah pemilik semua perkara dan penentu segalanya!


Sekiranya seruan ini dapat menjelma menjadi angin,
Biarlah ia menembus ke setiap hati para pejuang,
Menelusup ke dalam bahagian yang paling putih,
Menjaganya supaya tetap bersih dan suci.


Agar sentiasa hadir keperkasaan,
Yang sentiasa mampu menentang kelemahan,
Supaya sentiasa mampu menentang kebatilan,
Supaya sentiasa tertorehkan catatan emas,
Hingga sentiasa jaya,
Islam dan kaum Muslimin Seluruhnya.