Thursday, July 15, 2010

Tidak Mungkin Engkau Miliki Dua Hati

Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam jiwanya. Ungkapan ini saya ambil dari firman Allah SWT ayat 4 dari Surah al-Ahzab :

مَّا جَعَلَ ٱللَّهُ لِرَجُلٍۢ مِّن قَلْبَيْنِ فِى جَوْفِهِ

Pada ayat ini Allah SWT menerangkan bahawa Dia tidak menjadikan dua buah hati dalam satu tubuh; tidak mungkin pada diri seseorang berkumpul iman dan kafir. Jika seseorang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, tentulah di dalam hatinya tidak ada kekafiran atau kemunafikan, walaupun sedikit, dan tentulah ia mengikuti Al-Quran dan sunah Rasulullah, menyeru manusia mengikuti jalan Allah, mengikuti hukum-hukumnya dan tentulah ia hanya kepada Allah saja berserah diri. Sebaliknya jika seseorang itu kafir atau munafik, tentulah di dalam hatinya tidak ada iman kepada Allah dun Rasul-Nya dan dia tidak akan bertawakkal kepada Allah. Dengan perkataan yang lain; mustahil berkumpul pada diri seseorang dua buah keyakinan yang berlawanan, sebagaimana tidak mungkin ada dua buah hati di dalam tubuh manusia.

Bila diteliti ayat ini, kita juga akan dapat menyaksikan keajaiban al-Quran, yang disebut sebagai mukjizat Al-Quran. Kenapa? Kerana ia menyatakan tentang sebuah fakta yang diperakui oleh sains perubatan iaitu manusia tidak boleh membawa lebih dari satu hati dalam jiwanya. Yang uniknya Allah SWT menyebut kalimah rajul bermakna orang lelaki. Kenapa Allah khususkan dengan lelaki sahaja. Allah tidak sebut bersamanya mar’ah iaitu perempuan. Jadi bagaimana dengan perempuan?

Persoalan ini menarik perhatian saya bila analisis ini saya temui dalam satu laman web Arab. Mengapa Allah memilih lelaki sahaja tidak perempuan? Apakah mungkin bagi seorang wanita untuk menanggung dan menggabungkan dua hati? Menurut istilah arab qalbun bermakna jantunghati. Jantung dan hati adalah sama.

Kita telah melihat dalam sejarah beberapa kelahiran yang luarbiasa seperti kanak-kanak yang memiliki dua kepala atau dua alat kelamin atau beberapa kaki dan sebagainya, tetapi kita tidak pernah menyaksikan seorang lelaki yang hidup dengan dua hati, kerana jantung hati bertanggung jawab untuk mengatur pergerakan darah, dan tidak mungkin ia boleh hidup dengan dua jantung hati. Tetapi bagaimana dengan wanita? Dari sinilah kita baru kita nampak keindahan ayat Allah ini, kenapa Dia hanya menyebut rajul atau lelaki sahaja!

Seorang wanita jika dia hamil, ia sedang membawa dua hati, iaitu hatinya dan hati anaknya, malah boleh jadi lebih lagi! Jika dia mengandung anak kembar sehingga dia membawa beberapa hati dalam tubuhnya , tapi orang lelaki tidak , bukan!

Jantunghati adalah anggota terpenting dalam tubuh manusia. Dia yang mengatur sirkulasi darah dan memindahkan darah dalam sistem yang kompleks, dan hati diciptakan dalam tahap yang paling awal pada minggu-minggu pertama kehamilan, dan terus memulakan tugasnya. Beberapa pengkajian telah mendapati bahawa jantunghati berperanan dalam proses berfikir, berkreativiti dan beriman .

Mungkin ada bayi yang lahir dengan dua hati dalam kes-kes yang terpencil, tetapi iatidak akan mencapai tahap menjadi seorang manusia lelaki dan dia akan mati sebagai seorang bayi sahaja .

Maka ayat ini adalah salah satu keajaiban medical, kerana tidak ada seorang saintis pun yang mampu memutuskan bahawa ia ia tidak dapat hidup dengan dua hati! Tetapi seorang manusia yang ummi yang lahir lebih 1400 yang lalu telah menyatakan fakta ini melalui wahyu ilahi. Subhanallah!! Allahumma solli ala Muhammad.

Oleh kerana itu, Allah SWT berfirman di hujung ayat ini :

( وَاللَّهُ يَقُولُ الْحَقَّ وَهُوَ يَهْدِي السَّبِيلَ )

Dan Allah mengatakan yang sebenar-benarnya dan Dia menunjukkan jalan (yang benar)

Inilah kebenaran, satu kenyataan bahawa manusia tidak mungkin mempunyai dua hati atau lebih di dalam tubuh dan jiwanya sebagai bukti dan dalil kebenaran al-Quran.

Monday, July 12, 2010

Rintihan Imam Shafei Saat Ajalnya

إلـيــك إلـــه الـخـلـق أرفــــع رغـبـتــي
وإن كـنـتُ يــا ذا الـمــن والـجــود مـجـرمـا

ولـمــا قـســا قـلـبـي وضـاقــت مـذاهـبــي
جـعـلـت الـرجــا مـنــي لـعـفـوك سـلـمــا

فـمـا زلــتَ ذا عـفـو عــن الـذنـب لــم تـزل
تــجــود و تـعــفــو مــنـــة وتـكــرمــا

-----------------------------------

ألــســت الــــذي غـذيـتـنـي وهـديـتـنــي
ولا زلــــت مـنـانــا عــلـــيّ ومـنـعـمــا

عـسـى مــن لــه الإحـســان يـغـفـر زلـتــي
ويـسـتــر أوزاري ومــــا قــــد تـقــدمــا

فــإن تـعـف عـنــي تـعــف عـــن مـتـمـرد
ظــلــوم غــشــوم لا يــزايـــل مـأتــمــا

و إن تنـتـقـم مــنــي فـلـســت بــآيــس
ولـــو أدخـلــوا نـفـسـي بـجــرم جـهـنـمـا

------------------------------------

فصيـحـا إذا مــا كــان فـــي ذكـــر ربـــه
وفيما سواه في الورى كان أعجما

يـقــول: حبـيـبـي أنـــت سـؤلــي وبغـيـتـي
كـفــى بـــك للـراجـيـن ســـؤلا ومـغـنـمـا

أصـــــون ودادي أن يـدنــســه الـــهـــوى
وأحــفــظ عــهــد الــحـــب أن يـتـثـلـمـا

فـفـي يقظـتـي شــوق وفــي غـفـوتـي مـنــى
تــلاحــق خــطــوي نــشــوة وتـرنــمــا

فـجـرمـي عـظـيـم مـــن قـديــم وحــــادث
وعـفــوك يـأتــي الـعـبـد أعـلــى وأجـسـمـا

Wednesday, June 2, 2010

La khaufun alahim wa laa hum yahzanoon

Sudah berapa kali kita sebagai hamba yang diciptakan Allah ini telah menkhatamkan al-Quran di sepanjang hidup ini. Jikalau sudah banyak kali kita mengulang-ulang keseluruhan ayat-ayat Allah yang terkandung dalam al-Quran itu, adakah kita menyedari bahawa ada ayat-ayat yang sering Allah ulang-ulangkan. Ayat demi ayat yang sama, kalimah demi kalimah yang sama, malah huruf demi huruf yang sama. Mengapa? Subhanallah. Tentunya ada hamba-hambaNya yang telah tersentuh dengan bacaan yang berulang-ulang ini.

Allah seringkali berbicara tentang golongan yang tidak takut dan sedih. Ya, Berulang kali

Ada satu perasaan yang terpenting dalam kekuatan peribadi seseorang insan iaitu tidak takut atau percaya diri. Tapi bagaimanakah caranya untuk memiliki peribadi yang tidak takut. Ada yang mengatakan jalan yang terbaik untuk menghapuskan rasa ketakutan ialah hendaklah ia menghadapi pap yang ditakutkan. Tidak mungkin ia akan kuat selagi ia tidak mengubati gejalan ketakutan dalam dirinya. Permasalahan ialah “berhadapan” itu menuntut sesuatu kekuatan iaitulah tindakan yang bertentangan/belrlawanan dengan diri itu. Inilah yang dipercayai oleh para pakar jiwa..
Begitu juga tentang perasaan sedih. Kesedihan boleh mempengaruhi kehidupan seseorang.
Namun sebagai orang-orang yang beriman kita sentiasa berpegang pada al-Quran. Maka banyak ayat-ayat yang membicarakan tentang perasaan “takut” dan “sedih” ini, dan kita dapati penegasan dari Allah bahawa orang yang beriman tidak akan ada perasaan takut selama-lamanya melainkan pada Penciptanya iaitu Azza wa Jalla dan tidak akan merasa sedih selama-lamanya. Allah menyebut di dalam al-Quran.
فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ
Yang Bermaksud :tidak ada ketakutan ke atas mereka dan mereka tidak bersedih.
Yang menariknya Allah SWT telah menyebutnya berulang-ulang kali dalam di dalam al-Quran. Ayat dan ungkapan yang sama secara berulang-ulang, ayat yang banyak dan dalam pelbagai surah. Bila telusuri ungkapan yang berulang2 ini di dalam al-Quran, maka didalam surah al-Baqarah sahaja terdapat 6 kali pengulangan. Al-A’raf sebanyak 2 kali. Sementara beberapa surah yang lain masing-masing menyebut sekali, iaitu surah Ali Imran, al-Maidah, al-An’am, Yunus, al-Zukhruf dan al-Ahqaf. Maka jumlahnya mencapai 14 kali pengulangan.
Persoalannya, apakah pesan disebalik pengulangan ini dan apakah yang hendaklah Allah bicarakan melalui ungkapan ini. Siapakah sebenarnya yang tergolong dalam jaminan Allah Apakah ciri-ciri istimewa yang Allah sifatkan terhadap golongan ini, golongan yang tiada ketakutan dan kesedihan dalam diri mereka.

Insya Allah jika ada kelapangan saya akan sambung lagi.

Saturday, May 29, 2010

Abang..... OUR ANNIVVERSARY TODAY!!!!



Wahai Dunia berhenti sebentar, dengarkan !!!!!. Buat suamiku yang jauh di rantau orang, ummi menangis ketika mendengar lagu ini, sendirian mengenangkan ulangtahun perkahwinan kita tanpa abang di sisi, hanya doa qudus semoga Allah memberi keberkatan di atas ikatan ini. Semoga mawaddah dan rahmah antara kita terus mekar ...dan segar sehingga kita bertemu kembali di syurga. Ameeeennnn. Rabbana Hablana min azwajina wazurriyyatina qurata ainin waj'alnaa lil muttaqina imamaa.. Jazakallah bang, di atas segala kasih sayang yang diberikan.

Thursday, February 18, 2010

Kebangkitan dan Kewafatanmu adalah kehidupan Buat Kami

Bulan ini ada beberapa jemputan ceramah sempena maulid nabi yang harus ku penuhi. Ketika mahu mencari idea-idea buat hidangan pendengar, dengan izin Allah terjumpa video ini. Subhannallah.... Hati mana yang tidak bergetar mendengar perkhabaran ini. Mata mana yang tidak bergenang membayangkan peristiwa ini. Ya Rasulullah, daku ingin bersamamu......








اللهم صلى على محمد وعلى آل محمد كما صليت على إبراهيم وعلى آل إبراهيم
وبارك على محمد وعلى آل محمد كما باركت على إبراهيم وعلى آل إبراهيم فى العالمين إنك حميد مجيد
Ya Allah berikanlah limpah rahmatMu kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana dikau limpahkan rahmatMu kepada Ibrahim dan kepada keluarga Ibrahim
Dan berikanlah limpah keberkatanMu kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Dikau limpahkan berkatMu kepada Ibrahim dan kepada keluarga Ibrahim, Di dalam alam semesta ini, sesungguhnya dikau Maha Terpuji Lagi Maha Mulia

Monday, February 8, 2010

Motivasi Usrah


Daku mendapatkan ketenangan bersama-sama jamaah di hujung minggu. Ada dua usrah yang kena daku kendalikan hujung minggu ini. Doaku sebelum ke usrah-usrah tersebut semalam. Ya Allah bantulah daku, Daku hanya ingin menyampaikan ayat-ayatMu, bantulah hambaMu yang banyak kekurangan ini. Tuntuni bicaraku, pimpini tuturkataku yang bakal dilafazkan.....Selepas usrah di Batu Caves, malamnya usrah di Kerdas pula. Anak-anak kecil menangis mahu mengikut, selepas ditinggalkan seharian. Letihnya Ya Allah... beginilah malah lebih hebat lagi jalan yang dilalui oleh para nabi. Siang dan malam terus-terusan berdakwah dijalanNYA. Diri ini cukup tersentuh ketika tadabbur surah Nuh, keletihan yang tiada tara dalam perjalanan dakwah Nabi Nuh AS sehingga baginda merintih Rabbii.... inni da'auti qaumi lalilan wa naharan... falam yazidhum duaa'i illah firara.... Wahai Tuhanku.... aku seru kaumku siang malam, tapi seruanku sedikitpun tidak menambah keimanan mereka malah mereka lari... Besarnya mehnah yang baginda lalui... jauh sangat untuk dibandingkan dengan amalku. Ya Daku hanya berharap dengan kerja-kerjaku Engkau memberi ketenangan dan kebahagiaan untukku juga Engkau menjadikan ia sebagai penghapus dosa-dosaku.

Dibawah ini kusertakan nukilan anak usrahku dalam blognya.

http://youmusthink.blogspot.com/2010/02/motivasi-usrah.html

Motivasi Usrah.

Petang ini sangat menarik dalam banyak-banyak petang sepanjang minggu ini. Masa terisi dengan aktiviti yang paling saya rindui setiap masa. Meskipun hampir setiap minggu saya mengikuti aktiviti tersebut, namun kali ini berbeza momentumnya.


Saya baru pulang dari mengikuti satu usrah di Batu Caves, Gombak. Sudah berbulan-bulan lamanya usrah itu tidak dihidupkan. Ramai yang ternanti-nanti jemputan usrah tetapi tidak ramai yang mampu membinanya semula. Sebagai tamsilan, ramai yang suka menerima, tetapi tidak ramai yang mahu dan mampu memberi.


Saya begitu kagum dengan kesungguhan muslimat Taman Jasa untuk menghidupkan usrah ini kembali. Setahu saya, muslimat yang berpangkat ‘makcik-makcik’ dan ‘nenek-nenek’ agak lemah dalam kerja-kerja teknikal. Namun berlaku sebaliknya dalam perlaksanaan usrah ini. Kerja menaip surat, menghantar surat, jemputan nakibah, persiapan tempat, segalanya diurus oleh mereka. Saya datang dengan hati yang lapang. Kehadiran hampir 50 orang.


Saya telah mencadangkan agar Ustazah Nafisah selaku nakibah usrah, membawa tajuk ‘Motivasi di jalan dakwah’. Biarlah usrah ini kembali hidup dengan asas dan tapak yang kukuh terlebih dahulu. Mereka perlukan suntikan yang mempunyai vitamin motivasi untuk menyegarkan tubuh dakwah yang semakin hari semakin tua, jauh dan lemah.


Sebagai AJK Lajnah Tarbiyah, amanah saya semakin bertambah. Adalah suatu cabaran untuk memastikan program ini berterusan secara konsisten. Namun begitu, selesai mendapat suntikan tadi, saya memperoleh iltizam baru yang lebih luar biasa.


Amanah ini akan digalas sebaik mungkin sebagai bukti pada diri sendiri bahawa saya adalah seorang agen perubahan masyarakat dan jamaah. Kata Ustazah Nafisah, setiap orang mahu mencapai kemuncak yang paling tinggi dalam memenuhi impian hidup. Seharusnya hal yang sama digarap dalam ibadah. Kemuncak ibadah ialah dakwah atau jihad di jalan Allah.


Rabu ini, saya akan mengendalikan usrah Nisa’ pula. Seperti yang dirancang, usrah pada 2 minggu yang lepas berobjektifkan pembinaan fikrah. Manakala Rabu ini pengisiannya menjurus kepada modul pengurusan dan latihan kepimpinan. Pembinaan fikrah dan pembentukan pengurus dan pemimpin adalah objektif yang akan diselang selikan pada usrah Nisa’ Gombak 2010.


Semoga Allah memudahkan urusan saya. Allah pemilik semua perkara dan penentu segalanya!


Sekiranya seruan ini dapat menjelma menjadi angin,
Biarlah ia menembus ke setiap hati para pejuang,
Menelusup ke dalam bahagian yang paling putih,
Menjaganya supaya tetap bersih dan suci.


Agar sentiasa hadir keperkasaan,
Yang sentiasa mampu menentang kelemahan,
Supaya sentiasa mampu menentang kebatilan,
Supaya sentiasa tertorehkan catatan emas,
Hingga sentiasa jaya,
Islam dan kaum Muslimin Seluruhnya.

Thursday, January 7, 2010

Hijrah Menuju Allah

Salam Hijrah, walaupun sudah hampir ke penghujung muharram, tidak terlambat rasanya memanaskan lagi semangat hijrah dalam nadi kehidupan buat yang bergelar pejuang-pejuang Islam. Tengahari tadi baru balik dari program Dewan Muslimas PAS Kawasan Gombak yang telah mengadakan usrah gabungan dengan tema Hijrah, Jihad dan Pengorbanan. Kami menjemput 3 orang naqib memberi taujihat tarbawiyah berkisar tentang tema diatas. Iaitulah al-Fadhil Ustaz Ridhuan Md Nor, YB Ustaz Muhammad Nor Hamzah dan al-Fadhil Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz. Ketiga-tiga mereka merupakan AJK Dewan Pemuda PAS Pusat. Aku hanya sebagai pengerusi majlis keseluruhan sahaja.Siapalah daku untuk membicarakan tentang hijrah, apalagi tentang jihad dan pengorbanan. Apa-apa pun biarlah pengertian hijrah itu kita hayati sebagai pemangkin perjuangan kita, perjuangan yang telah dirintis oleh Rasul tercinta nabi Muhammad SAW, perjuangan hidup untuk menjadi hamba yang sebenar-benar hamba kepada Sang Pencipta Allah Al-Khaliq, Allah Al-Samad, Allah al-Hakim, Satu-satunya zat yang memiliki Al Asma al-Husna. KepadaNya kita kembali dan kepadaNyalah kita menuju....

Ya... Kita sedang menuju Allah. Maka marilah kita murnikan semangat hijrah kita, bahawa apa sahaja perubahan dan azam yang tercipta biarlah semuanya membawa kepada HIJRAH MENUJU ALLAH.

Daku titip buat pejuang-pejuang Islam semua, karangan dari sentuhan jari jemariku yang sudah agak keras ini sebuah video nasyid mengenai hijrah ini. Semoga dapat kita hayati dan melunakkan jiwa untuk terus berhijrah menuju Allah. Start buat video ni 2hari lepas, tengah malam hari baru siap. Itu pun hanya ambik picture yang simple-simple sahaja. Tak sempat nak search yang lebih menepati senikata nasyidnya. Maklumlah disekelilingku ramai sangat "pembantu-pembantu" yang setia .... terutama Ibrahim Adham, 1 tahun, Wajeehah 3 tahun, Yahya Ayyash 4 tahun, al-Miqdad 6 tahun. Mereka yang terlalu cemburu apabila melihat umi terlalu intim dengan laptop ini.Pembuatan video ini menggunakan software Sony Vegas. Oleh kerana baru lepas training, pulak tu tak habis kerana demam, inilah yang seadanya..... Harap 'sifu'ku (diyanah) dapat beri markah.







Hijrah Menuju Allah
Munsyid : Kumpulan Devotees

Bulat nian tekadmu
Dalam hijrahmu itu
Allah nanti kan bersama
Tempuh jalan yang diredhai

Andai rasa diri lemah
Di perjalanan hijrahmu
Sendirian tanpa mampu
Mohonlah pada Tuhanmu

Hijrahmu menuju Allah
Ia sunnah para nabi
Para salihin dan muttaqin
Kembara hati menuju Ilahi


Hijrah ini memang susah
Hijrah ini memang payah
Hijrah ini menuju Allah
Di hujungnya hasanah

Sunday, January 3, 2010

Renungan Hari Ini


Sedikit renungan untuk diriku yang terlalu sederhana dalam AMAL tapi untuk mencapai duniawi ingin yang paling tertinggi. Inginkan darjah yang tinggi, kalau larat nak ambil Phd, nak bergelar doctor macam sahabat-sahabat yang lain. Inginkan anak yang ramai, yang cantik-cantik dan comel, yang pandai dan cerdik. Inginkan suami dan keluarga yang sentiasa di sisi, menyanyangi dan membelai sentiasa dan mendapat layanan first class dari mereka. Inginkan rumah yang indah dan besar. Inginkan bibik yang ramai. Inginkan kereta yang terbaik. Semuanya runtutan perasaan duniawi yang berhendak pada yang yang hebat-hebat. Tapi malangnya AMAL yang membawa kebahagiaan abadi tidak pernah diangan-angankan untuk mencapainya ke peringkat yang paling tertinggi.

Pernah suatu ketika dahulu daku berkesempatan mengedit buku Arab terjemahan ayahandaku berjudul al-Munthalaq karangan Muhammad Ahmad al-Rasyid. Buku tersebut diterjemahkan kepada jodol Langkah Bermula. Dan pagi ini terlintas untuk mencari sesuatu yang tidak kena pada diriku. Dua tiga hari ini aku semakin giat berbisik dan berdoa... Ya Allah ilhamkan daku ketaqwaan. Ya Allah Ilhamkan daku ketakqwaan.... daku perlu muhasabah diri yang semakin jauh dari Allah, amalan biasa-biasa sahaja. Solat, tilawah, zikir sikit-sikit, mengajar anak-anak mengaji, mengurus rumahtangga, melayan suami, menulis sikit-sikit, usrah sekali-sekala. Rasanya dah cukuplah tu kan.... Orang perempuan kalau buat tiga perkara ini pun sudah membolehkannya masuk ke syurga. Taat Allah, puasa solat tutup aurat dan taat suami. Cukuplah. Rasanya inilah yang telah, sedang dan akan ku lakukan. Zahirnya kalau ikut hadith tu memang ahli syurga lah. Insya Allah, mereka semuanya akan memasuki syurga.

Namun aku malu sendiri, sesimple inikah hidup. Sudah yakinkah dengan amalan-amalan ini yang boleh membawa daku kesyurga. Aku terketuk dengan kata-kata ini :Samakah golongan yang menjadi barisan pertama memasukinya dengan golongan yang dapat memasukinya hanya setelah bertahun-tahun menunggu di padang mahsyar?

Kenapa terlalu sederhana yang hendak dicapai, sedangkan Allah memberi kemampuan berfikir dan bercakap, memberi ilmu dan rehlah ilmiyyah yang jauh-jauh ke negeri orang juga rezeqi yang tidak pernah terputus-putus. Semoga beberapa helaian dari buku al-Munthalaq ini menjadi tazkirah buatku juga sahabat-sahabat yang ingin berkongsi.... Renungan bagi kita, mudah-mudahan tergolong dalam ulul albab... Amin... ana lampirkan sebahagian dari bab 6, semuanya ada 17 bab. Buku ini terbitan Pustaka Usrah. Selamat merenung dan iqra’ dengan sabar.

BAB 6 : Pelukan Cendekiawan

Orang yang beriman sentiasa berharap semoga Allah mengampuni segala dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga. Keampunan Allah dan syurga itu adalah kejayaan yang besar yang hanya tercapai setelah dia dapat melintasi pintu syurga beberapa langkah sahaja.

Tetapi, rasa ketamakan terhadap apa yang ada di sisi AlIah itu adalah satu keinginan yang manis dan lazat. Apabila harapan itu ada bersama kita, kita tidak merasa cukup hanya setakat melintasi pintu syurga, tidak cukup rasanya kalau sekadar tinggal di tingkat syurga yang rendah darjatnya, bahkan kita bercita-cita untuk masuk ke syurga‘illiyyin (yang tertinggi) dan syurga Firdaus yang yang tertinggi.

Di sinilah lojiknya kata-kata:

“Sesiapa yang inginkan darjat yang tertinggi di syurga, dia hendaklah berada dimartabat yang tertinggi di dalam kehidupan dunia.

Satu dengan satu

Setiap barang ada harganya

Tidak ada martabat yang tertinggi di dunia ini kecuali martabat dakwah denganmelakukan kerja-kerja dakwah kepada Allah. Demikianlah tulisan Syeikh AbdulQadir al-Kailani Rahimahullah di dalam bukunya yang bertajuk “Futuh ul-Ghaib”.


Beliau adalah seorang da’I dan reformis. Oleh itu, kita dapati setiap bukunya tertumpu kepada pengertian dakwah dan kewajipan dakwah. Menurut pandanganAbdul Qadir al-Kailani, ‘orang yang berjaya’ ialah orang yang dipilih oleh Allah:

“…dan Allah menjadikannya seorang cendekiawan yang menyeru manusia kepada

Allah, memberi peringatan dan ancaman kepada mereka, menjadi hujah (dia telah

menyampaikan Islam), pembawa hidayah dan menyampaikannya.” Kemudian beliau

berkata: “Itulah matlamat tertinggi di kalangan bani Adam. Tiada darjat lain mengatasai

mereka kecuali darjat kenabian.”

Mukmin Bisu adalah Ketinggalan

Syeikh Abdul Qadir Kailani menganggap golongan bukan da’i berada dimartabat lain. Golongan itu merupakan orang mukmin yang mempunyai hati tetapi tiada lidah untuk menyampaikan dakwah. Mereka adalah di antara makhluk Allahyang terlindung daripada makhluk dan terdinding di sebalik tirai. Kekurangan mereka menutup mata dan hati mereka dari menerima hidayah.

Oleh kerana mukmin tersebut tidak mempunyai lidah, turunlah martabatnya dan ketinggalanlah dia. Dia tidak mendapat gelaran yang hebat dan agung. Mukmin dan golongan yang pertama (yang berdakwah) dikatakan sebagai ‘jahbaz’ iaitu paracendekiawan, ‘da’i’ dan ‘hujah’ ibarat sinaran yang terang-benderang. Mukmin yang kedua (yang tidak berdakwah) dikatakan mukmin yang ‘mastur’ atau yang terselindung. Perbezaan bunyi dan sebutan di antara dua kategori panggilan tersebut amatlah jauh sekali umpama langit dan bumi.

Jarak dan jurang antara keduanya sangat jauh dan luas. Antara martabat dakwah dengan martabat iman yang tertutup dan menjauhkan diri. Jurang luas itu tidak lain melainkan disebabkan oleh faktor lidah yang menyatakan kebenaran. Tiada sebab lain. Sesiapa yang mempunyai lidah berani menyatakan kebenaran maka dia akan berada di hadapan kumpulan yang berjalan menujuAllah. Memang setiap orang beriman berjalan menuju kepada keredhaan Allah.Cuma soalnya, samakah siapa yang berada di hadapan dengan yang ketinggalan di belakang?

Insya Allah, mereka semuanya akan memasuki syurga. Tetapi samakah golongan yang menjadi barisan pertama memasukinya dengan golongan yang dapat memasukinya hanya setelah bertahun-tahun menunggu di padang mahsyar?

Kerana itulah Syeikh Abdul Qadir Kailani Rahimahullah cuba memahamkan bahawa perasaan seorang da’i terhadap kemestian untuk mengubah perkara yang batil dan mememangkan hak merupakan satu kurniaan Allah bagi sesiapa yang ada kebaikan di dalam hatinya. Pengertian ini dibentuk dengan kata-kata yang lebih mudah, tetapi berharga. Iaitu:

“Apabila betulnya hati seorang hamba itu kepada Allah S.W.T. dan berjaya menghampirkan diri kepadaNya, Dia akan mengurniakan kepada hamba tersebut kerajaan dan kekuasaan di seluruh alam. Dia menyerahkan kepadanya kerja mengembangkan dakwah kepada makhlukNya, dikurniakan kepadanya kesabaran terhadap gangguan manusia, serta diserahkan kepadanya urusan mengubah kebatilan dan menegakkan kebenaran.”

Demikianlah tingginya bahasa bila ia terbit dari pelita kenabian, sama ada keluarga dari aspek nasab atau ilmu. Syeikh Abdul Qadir berada di kemuncak kemuliaan kerana nasabnya dari keturunan Ali r.a. Tambahan pula, beliau

menguasai ilmu hadis dan memahami kata-kata Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahullah:

Sesungguhnya peluang untuk mengembangkan dakwah itu adalah taufiq dari Allah. Allahlah yang memudahkannya bagi siapa yang didapati ada kebaikan dalam hatinya hatinya. Tugas itu adalah satu penghormatan dari Allah kepada seorang hamba, bukannya bebanan.”

Renunglah dengan teliti terhadap kata-kata al-Kailani diatas yang bermaksud:

… serta diserahkan kepadanya urusan mengubah kebatilan dan menegakkan kebenaran...”


Kebatilan wajib diubah oleh da’i. Ubah ertinya hendaklah diperangi, dihapuskan dan dikuburkan. Jika sekiranya kamu berharap agar kebatilan itu sendiri meninggalkan tempatnya dan menyerahkannya kepada kamu atau jika kamu berharap kamu akan dapat berbicara dengannya mengunakan bahasa diplomasi..... Maka sesekali ianya tidak akan berlaku. Cara ini tidak akan mendatangkan sebarang faedah. Hanya perkataan ‘mengubah’ sahaja yang disebutkan dalam undang-undang dakwah.

Kita Hubungkan Generasi Lalu Dengan Generasi Seterusnya

Sesungguhnya, Islam hari ini sangat-sangat memerlukan kepada satu kumpulan da’i yang memiliki kefahaman ‘mengubah’ ini, memahami betul-betul kewajiban membawa petunjuk kepada manusia, tahu kedudukan mereka di dalam angkatan dakwah yang berjalan dan mengerti bahawa mereka adalah mata rantai yang menghubungkan angkatan dahulu dengan angkatan yang akan datang nanti.

Mereka bersama mengumandang nasyid:

Kita ini adalah angkatan musafir di dalam hidup ini

Menjadi penghubung barisan yang mendatang dengan mereka yang telah lalu

Mereka yang terdahulu telah menunjukkan jalan ini kepada kita Wajib pula kita menunjukkan jalan kepada generasi depan.

Betul....golongan yang terdahulu telah bersusah payah menyampaikan akidah tauhid kepada kita, mendidik kita, membersihkan akidah kita, membentuk kita dan menyelamatkan kita dari bahaya yang membinasakan. Oleh itu, sepatutnya kita setia kepada mereka, menyempurnakan janji kita dalam melaksanakan tugas dakwah yang telah diserahkan kepada kita supaya kita bekerja dan beramal seperti mana yang pernah mereka lakukan.

Mereka yang menanam pohonnya, kita yang menikmati hasilnya. Seterusnya,kita pula akan menanam pohon supaya buahnya boleh dimakan oleh generasi yang datang.

Penanaman itu memerlukan kita bergaul dengan orang ramai, berbicara dengan mereka dan mengucapkan kalimah kebenaran dengan tegas dan terus terang.Tetapi, bagi sesiapa yang memilih untuk bersembunyi, mengasingkan diri dan enggan menentang pemikiran sesat dan kerosakan akhlak yang berlaku, maka orang itu samalah seperti yang dikatakan oleh Mustafa al-Rafi’ie:

“Orang itu menyangka bahawa dia telah lari dari kehinaan menuju kemuliaan, tetapi pelariaannya dari memerangi kehinaan itulah kehinaan bagi dirinya. Apa ertinya kesucian, amanah, al-sidq, kesetiaan, kebaikan, ehsan dan lain-lain kemuliaan bagi seorang yang berada keseorangan di padang pasir atau di puncak gunung?

Bolehkah dianggap al’-sidq itu satu kemuliaan pada seseorang manusia jika di sekelilingnya hanya ada ketulan-ketulan batu? Demi Allah, sesungguhnya siapa yang langsung tidak memerangi keburukan, maka dia sebenarnya langsung tidak mempunyai kebaikan dan kelebihan.”

Apakah bezanya antara orang yang mengasingkan diri di puncak gunung dengan orang yang membisu seribu bahasa di tengah-tengah orang ramai?

Masalah umat Islam hari ini sebenarnya bukanlah disebabkan kurangnya bilangan mereka. Begitu juga masalah dakwah Islam pada hari ini juga bukan disebabkan oleh kurangnya orang yang berpegang teguh dengan Islam di tengah-tengah kegawatan umat yang meninggalkan solat, mengamalkan bid’ah dan mendukung pemikiran kufur dan teori jahiliah. Tidak sekali-kali, kerana setiap tanah umat Islam di seluruh dunia ini sentiasa mempunyai ramai angkatan muda Islam yang baik.

Masalah yang berlaku ialah mereka ini tidak menzahirkan keIslaman mereka, tidak menyampaikan dakwah Islam kepada orang ramai atau mereka melakukan kerja-kerja dakwah tetapi tanpa adanya penyelarasan di kalangan mereka.Seorang mujahid dakwah dan ahli fiqh Islam, Al-Syahid Abdul Qadir Audah telah menunjukkan makna ini kepada kita lalu berkata:

“Di dunia Islam pada hari ini ada generasi terpelajar yang mempunyai ilmu Islam yang tinggi. Mereka bersungguh-sungguh mengembalikan semula kedudukan Islam yang telah hilang.Dalam menegakkan kebenaran, mereka tidak takut kepada cercaan orang ramai. Namun, kekurangan mereka yang ketara ialah mereka terpengaruh oleh pendekatan generasiterdahulu. Kebanyakan kerja-kerja mereka tertumpu kepada soal ibadah dan nasihat sahaja. Adalah lebih baik bagi mereka dan bagi agama ini sekiranya mereka tumpukan sebahagian besar usaha mereka bagi mengingatkan orang Islam terhadap perlunya menghidupkan semula syariat mereka yang telah dipinggirkan dan menghapuskan undang-undang mereka yang bertentangan dengan Islam.

Kesimpulan ana, sesungguhnya Allah sangat cintakan orang-orang yang beramal jamaie, berdakwah dengan tanzim dan mengikut tanzim, menyumbang tenaga, fikrah dan sebagainya secara berjamaah, bekerja dalam organisasi jamaah. Dalam satu soff. Itulah antara amalan yang boleh membantu kita mencapai martabat tertinggi di sisi Allah SWT. Wallahu a’lam.