Tuesday, December 22, 2009

"Perjuangan PAS adalah penerusan perjuangan yang dibawa oleh nabi Muhammad SAW"- Yusuf Qardawi


Itulah antara kata-kata yang diucapkan oleh Sheikh Dr Yusof Qaradhawi kepada pimpinan PAS sewaktu Tokoh Maal Hijrah 1431H itu mengunjungi pejabat PAS Pusat untuk pertemuan tertutup dengan pimpinan PAS Pusat.

Banyak lagi pandangan beliau tentang perjuangan Islam di Malaysia, ikuti tulisan sahabat saya Exco Pemuda PAS Pusat, Sdra Abdullah Hj Karim yang turut sama dalam pertemuan tersebut.

"Assalamualaikum,Alhamdulillah, saya berkesempatan hadir dlm pertemuan tertutup pimpinan PAS dengan tokoh ulamak terkemuka Dr Yusuf Qaradhawi (DYQ) di pejabat PAS Jalan Raja Laut, pada hari ahad 20-12-2009 yg lalu. Antara pimpinan yang hadir ialah Presiden Pas, Timbalan Presiden, Setiausaha Agung, AJK-AJK PAS Pusat dan juga wakil dewan-dewan.

Didalam pertemuan lebih sejam itu, DYQ telah memberikan pandangan dan amanat yang cukup berharga yang menyentuh pelbagai perkara. Di bawah saya kemukakan beberapa isi penting ucapan beliau yang sempat saya catitkan :

1) DYQ menegaskan perjuangan gerakan-gerakan Islam seperti PAS adalah penerusan kepada perjuangan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Dalam konteks moden, perjuangan ini adalah mewarisi aliran tajdid yang dipelopori oleh tokoh2 seperti Jamaludin Afghani, Syeikh Muhammad Abdul Wahab, Syeikh Muhammad Abduh dan Syeikh Rashid Ridha. Ianya kemudian dilanjutkan dalam bentuk tanzimi yg lebih tersusun oleh Hassan Al Banna yg mengasaskan gerakan Ikhwan Muslimin.

2) Asas penting kepada gerakan islam ialah sikap wasathiah (wasotho - pertengahan). Dalam soal feqah, sikap wasathiah ini penting untuk menangkis kejumudan dan ketaksuban. Kejumudan dan ketaksuban inilah yg menyebabkan lahirnya taklid. DYQ menyelar golongan muqallidin ini dan menyatakan bahawa sebenarnya taklid ini tidak ada tmpat dlm syariat. Beliau seterusnya berkata bahawa tidak perlu seseorang itu mencapai tahap mujtahid untuk membolehkannya memakai pendapat yg diluar dari mazhabnya. Cukuplah seseorang itu mengetahui dalil atau hujah yg lebih kuat dari pendapat mazhabnya dalam sesuatu perkara bagi membolehkannya memilih yg lain dari mazhabnya.

3) Dalam soal hubungan dengan non muslim, DYQ berfatwa bahawa kita dibolehkan menjawab salam dari non muslim. Meskipun ada khilaf dalam hal menjawab ucapan salam dari non muslim, namun beliau mentarjihkan pandangan yg membolehkan non muslim memberi salam dan menjawab salam mereka. Syeikh mengatakn tidak ada salahnya menjawab salam non muslim yg mana kita mngharapkan dengan jawapn tersebut ianya akan menjadi doa supaya mereka terpaut dgn Islam.

4) Berkaitan soal wahabi pula, DYQ mengatakan golongan wahabi adalah sebahagian dari umat Islam. Dalam banyak hal, DYQ menyatakan bahawa banyak pandangan mereka yg lebih dekat dengan dirinya meskipun ada di kalangan mereka yg taksub dan melemparkan bermacam2 tohmahan terhadap dirinya. DYQ juga menyanjung tokoh2 ulamak yg dilabel wahabi seperti Syeikh Salman Audah dan Syeikh Aidh Abdullah Al Qarni yg dianggap sebagai tokoh yg sederhana.Inilah antara butiran-butiran yg dapat saya catatkan di sini".

Gambar pertemuan itu juga saya lampirkan di sini - Abdullah Karim

Sumber, Mohamad Taufek

Monday, December 21, 2009

Sibuk

Rijalku merangkak dewasa.


Alhamdulilah, dapat juga aku menulis selepas hampir 2 bulan tak buat entry baru. Maklumlah cuti sekolah. Sibuk sangat dengan anak-anak. Tambahan pula baru masuk rumah selepas dibaikpulih walaupun pagar rumah tak siap lagi. Hu Hu. Sebulan lebih menumpang rumah diana. Syukran diana. Akak terseksa sebenarnya duduk rumah ko lama-lama. habis barang-barang rumah ko rosak, dinding-dinding di art attack oleh anak-anak akak tu. Semoga Allah membina rumah nyang indah untuk ko di syurga kelak.


Al-Fateh, alWajdiy, Hamzah dan al-Miqdad

Lagi sibuk bila empat orang puteraku selamat dikhatan minggu lepas secara serentak di majlis khatan beramai-ramai anjuran pemuda PAS Gombak. macam jaga orang bersalin. Makanan pun kena pantang.Alhamdulilah sudah seminggu berlalu, mereka pun dah memakai seluar kembali. Puas juga seminggu aku bersabar dengan mereka yang susah untuk memakai kain pelekat.Semua aktif berlari dan melompat. Macam tak bersunat. Last-last mereka tak berkain. Jumpa kain melonggok-longgok di merata rumah, dan umi menjerit2 baru sibuk dia orang cari kain masing-masing.


Junudullah Sedikit Masa Lagi Insyaallah

Kini berbaki 2 orang lagi puteraku yang akan menyusul. Belum cukup umur lagi. Puteriku Wajeehah sudah selamat.

Thursday, October 15, 2009

Kenapa Blog ini Bernama Suara hati


Kerana saya ingin mengingatkan diri saya dan mengajak kalian saudara sedunia agar mengenali suara hati sendiri dan sentiasa mendengar suara hati itu, kerana hati adalah RAJA bagi susuk tubuh saya dan kalian samada dalaman mahupun luaran Namun tidak ramai yang tahu apa sebenarnya suara hati itu, sehingga kita sering mengabaikan suara itu, malah bila datang hidayah dan kebenaran suara hati itu sering dihasut untuk mencari-cari hujjah dan dalil bagi menolak kebenaran tersebut. Sudahkah kita mengenali suara hati kita yang sebenarnya. Kenapa ungkapan Melayu sering mengatakan ’jangan ikut kata hati’. Sedangkan hati adalah penentu segalanya. Kenapa begitu negatifnya pandangan bangsa ini pada suara hati ...... Kenapa tidak memandang bahawa hati itulah yang akan kita bawa apabila menemui Pencipta kita nanti Allah RabulJalil. Bukankah Allah mengatakan pada hari kita dibangkitkan semula nanti iaitu hari


يَوۡمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ۬ وَلَا بَنُون إِلَّا مَنۡ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلۡبٍ۬ سَلِيمٍ۬


Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik) (Al-Syuaraa’ 87-88)


Suara hati adalah tiupan sifat-sifat mulia ke dalam jiwa manusia. Sifat-sifat mulia tersebut amat secocok dengan sifat-sifat Allah yang terdapat di dalam Al-Quran iaitulah Asmaul Husna seperti Maha Pengasih, Maha Penolong, Maha Berilmu, Maha Memelihara, Maha Melindungi dan lain-lain sifatNya Mulia. Merujuk pada surah al-Sajadah, Allah SWT. berfirman :


ثُمَّ سَوَّٮٰهُ وَنَفَخَ فِيهِ مِن رُّوحِهِۦ‌ۖ وَجَعَلَ لَكُمُ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡأَبۡصَـٰرَ وَٱلۡأَفۡـِٔدَةَ‌ۚ قَلِيلاً۬ مَّا تَشۡڪُرُونَ


Kemudian ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. dan ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.(Al-Sajadah : 9)


فَإِذَا سَوَّيۡتُهُ ۥ وَنَفَخۡتُ فِيهِ مِن رُّوحِى فَقَعُواْ لَهُ ۥ سَـٰجِدِينَ


"Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya ".(Al-Shaad :72)


Difahami dari ayat-ayat di atas bahawa Allah meniupkan ruh ciptaanNya kepada manusia, maka bererti sifat-sifat muliaNya juga ditiupkan ke dalam jiwa manusia. Oleh yang demikian semua manusia mesti menyedari bahawa mereka sebenarnya memiliki suara hati. Malah suara hati itu sama dan bersifat universal. Itulah yang terdapat dalam God Spot. Inilah yang disebut sebagai kesedaran spiritual. Penemuan God Spot pada otak manusia lebih meyakinkan bahawa manusia sentiasa mencari nilai-nilai mulia atau spiritualiti tersebut, atau sentiasa mencari tuhannya.


Menurut kajian sains, suara hati terdapat dalam lingkaran God Spot (Lobus Temporal). Ia adalah penemuan ilmiah Wolf Singer, Micheal Persinger dan V.S. Ramachandran apabila mereka telah menemukan fungsi God Spot pada otak manusia dan ia sudah ada semenjak manusia itu lahir ke bumi. Fungsi God Spot inilah yang mendorong dan menuntun manusia untuk terus mencari `makna hidupnya’. Dan terbukti seseorang manusia itu akan merasa spiritual ketika ia berlaku jujur, mengasihi, menolong, adil, sabar dan lain-lain sifat mulia. Bahkan mereka merasakan kebahagiaan dan kedamaian apabila berdekatan dengan sifat-sifat mulia ini. Mari kita perhatikan orang yang paling berpengaruh di muka bumi ini. Umumnya mereka adalah pembela keadilan,kejujuran dan kedamaian. Seperti Nabi Muhammad SAW, Nabi Isa AS juga para nabi dan rasul lainnya adalah merupakan fenomena spiritual yang sangat dahsyat dan luar biasa bagi kaum yang berfikir.


Menurut kaca mata Islam, penemuan God Spot oleh para saintis abad ini boleh menguatkan lagi dan menyokong kebenaran Al-Quran yang telah diturunkan lebih 1400 tahun yang lalu. Al-Quran menyebut bahawa Allah SWT telah mencipta manusia menurut fitrahNya. Kehendak dan keperluan manusia kepada ketuhanan adalah fitrah, ia telah wujud dan sedia ada dalam diri manusia samada dibuktikan dengan kewujudan saraf God Spot atau tidak, berdasarkan firman Allah SWT :


فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Ertinya : Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui ( Ar-Rum : 30)

Nabi Muhammad SAW juga ada menyebut bahawa setiap yang lahir itu, dilahirkan dengan keadaan Fitrah. Fitrah itu sendiri mempunyai makna - asal kejadian, keadaan yang suci dan kembali ke asal. Menurut ulama tafsir ia membawa maksud karakteristik penciptaan makhluk dan potensinya yang disediakan oleh Allah kepada makhluknya yang sentiasa bersedia untuk menerima kebenaran, agama dan mengenaliNya( Tuhannya). Syed Qutb menjelaskan bahawa Fitrah itu bersifat teguh dan kukuh dan agama juga bersifat teguh dan kukuh. ”tidak ada perubahan bagi ciptaan Allah”, Oleh itu apabila manusia menyeleweng dari fitrah, maka tiada yang dapat membetulkannya melainkan agama Islam yang sesuai dengan fitrah manusia dan fitrah alam wujud. Manusia atau insan disifatkan oleh Allah SWT, sebagai makhluk yang paling baik penciptaannya ( Ahsani Taqwim ). Boleh berubah dari buruk kepada baik, dan baik kepada buruk. Sementara kesempurnaan itu, dilengkapi dengan jasad yang disaluti dengan hati, nafsu dan akal. Manusia juga dapat menggunakan segala pancainderanya untuk menjalankan tanggungjawab,fungsi dan tugasnya. Oleh yang demikian, untuk merealisasikan kejadiannya sebagai sebaik-baik ciptaan Allah, ia memerlukan gabungan ketiga-tiga unsur kecerdasan tersebut dalam pembentukan peribadi yang sejati.


Di dalam Al-Quran ada mengatakan, sebelum manusia diciptakan, ruh manusia telah mengadakan perjanjian dengan Allah SWT, apabila Allah bertanya kepada jiwa manusia : Bukankah Aku Tuhanmu?. Lalu ruh manusia menjawab : Ya, kami bersaksi!. Perkara ini termaktub di dalam surah Al-A’raaf sebagaimana firman Allah SWT :


وَإِذۡ أَخَذَ رَبُّكَ مِنۢ بَنِىٓ ءَادَمَ مِن ظُهُورِهِمۡ ذُرِّيَّتَہُمۡ وَأَشۡہَدَهُمۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِمۡ أَلَسۡتُ بِرَبِّكُمۡ‌ۖ قَالُواْ بَلَىٰ‌ۛ شَهِدۡنَآ‌ۛ أَن تَقُولُواْ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ إِنَّا ڪُنَّا عَنۡ هَـٰذَا غَـٰفِلِينَ


Dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil ia bertanya Dengan firmanNya): "Bukankah Aku Tuhan kamu?" mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), Kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya Kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini". (Al-A’Raaf : 172)


Bukti adanya perjanjian ini menurut Muhammad Abduh ialah adanya fitrah iman dalam jiwa manusia atau suara hati manusia, suara hati tuhan yang terakam dalam jiwa manusia. Sebab itulah apabila manusia hendak melakukan keburukan, pasti akan dilarang oleh suara hati nuraninya sendiri, kerana Allah SWT tidak menghendaki manusia berbuat kemungkaran. Jikalau manusia itu tetap juga melakukan kemungkaran tersebut, maka suara hatunya akan berkata-kata seolah-olah menasihatinya. Sebaik sahaja ia melakukan perbuatan tersebut ia akan rasa menyesal. Penyesalan ini adalah tanda kembalinya seseorang pada tuhan. Itulah pengakuan bahawa manusia adalah makhluk spiritual.


Islam menjelaskan secara nyata bahawa hati adalah pembentuk kehidupan seseorang. Ia adalah sumber di mana segala kebaikan dan kejahatan itu muncul. Menurut laporan daripada Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad SAW berkata, ” Ketahuilah ! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekeliannya, Ketahuilah ! Itulah yang dikatakan hati. Hati juga boleh menjadi pedoman atau pengukur bagi menentukan suatu perkara samada ia betul atau salah, baik atau buruk. Ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh al-Nawwas bahawa Nabi Muhammad SAW berkata, ” Kebaikan itu ialah elok budi pekerti dan dosa itu ialah apa yang tergetar dalam dadamu dan engkau benci bahawa dilihat oleh manusia kepadanya”. Malahan di dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Wabisah, Nabi Muhammad SAW menyarankan dengan berkata, ” Mintalah fatwa dari hatimu”. Demikianlah kedudukan hati dalam diri seseorang ketika mahu memutuskan sesuatu perkara. Namun perlu ditekankan disini, bahawa perkara yang sudah terang diketahui hukumnya berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah serta dalil-dalil syara’ yang lain maka tidaklah lagi dikehendaki meminta fatwa hati, malah hati itu sendiri mestilah patuh kepada hukum itu samada hatinya merasa senang atau tidak.


Hati nurani akan menjadi pembimbing kepada kepada apa yang harus ditempuh dan apa yang harus dilakukan. Ertinya, setiap manusia sebenarnya telah mempunyai radar hati sebagai pembimbing. Suara hati manusia sentiasa menuju kepada kebenaran Islam. Jadi agama Islam adalah agama fitrah yang sesuai dengan keperluan manusia dan amat diperlukan oleh manusia. Seluruh ajaran Islam merupakan tuntutan suara hati manusia. Namun memegang teguh kata hati nurani ini merupakan cabaran hidup yang perlu dipertimbangkan serta dikembangkan agar mampu menghadapi perubahan kehidupan yang pantas dan dinamik dewasa ini.


Berdasarkan kenyataan-kenyataan di atas, saya membuat kesimpulan bahawa agama Islam pada hakikatnya mampu menjadi landasan untuk membangunkan kecerdasan emosi dan spiritual serta memandu suara hati manusia agar sentiasa kembali kepada fitrahnya kerana suara hati yang fitrah adalah tunjang kepada segala kebaikan.


Bersambung.......... Apakahkah dia sumber suara hati itu? Insya Allah


Friday, October 9, 2009

Isfihi Ya Rabb

Muhammad al-Fateh demam lagi. Dia selalu demam. Ya Allah berilah kekuatan dan kesabaran kepadaku untuk merawatinya. Pagi ini kucuba menekuninya untuk makan ubat. Perkara yang paling dia tidak suka. Selalu timbul juga rasa baranku kerana liat sungguh dia nak makan ubat. Kalau tidak kena cara pasti dia muntahkan semula ubat itu. Tapi pagi ini kenapa ada satu perasaan yang halus lahir dari hatiku melihatnya. Dengan penuh kasih sayang aku menyuapinya dengan lembut sedikit demi sedikit ubat itu. Aku menyudunya sesudu demi sesudu 'talbinah' (kupanggil susu nabi pada anak-anakku) ke mulutnya sambil memandang mata kecilnya yang sayu. Aku memandikannya setelah sekian lama tidak kumandikan semenjak dia sudah bersekolah. Kasihan Muhammad. Terasa kurangnya aku membelainya lantaran adik-adiknya yang terlalu rapat, tahun demi tahun dia melihat kesibukannya umi menyambut kelahiran adik-adik barunya.

Muhammad Al-Fateh, anak sulungku, lahir sembilan tahun yang lalu. Tanda pertama cinta sejatiku. Yang sangat lembut hatinya.... Yang sangat mudah menjaganya sewaktu bayi sehingga membesar. Yang sering bersama sang umi ini ketika suka dan duka. Yang sayang dengan adik-adiknya. Yang sangat mempertahankan adik-adiknya dari di 'ambil orang'. Paling risau kalau tetamu datang. Takut adik kena ambil. Lucu sungguh. Yang rapat dengan abahnya. Tapi hari ini abah tiada, nun jauh di Kedah dan akan terus ke Bagan Pinang. Kalau abah ada abah la yang tidak tidur malam menjerlum kepala dan badan Muhammad dengan air sejuk. Umi sibuk melayani baby dan adik-adik yang lain.

Ya Allah sembuhkan Muhammad. Kecintaanku. Kehadirannya pada ketika cintaku memuncak terhadap suamiku. Allah mengqabulkan doaku. Sebenarnya terlalu banyak Allah al-Mujib menjawab doaku.

Ya Allah sembuhkan Muhammad agar dia dapat meneruskan pengajiannya setelah 2 hari off. Agar dia kuat kembali menuturkan ayat-ayatMU. Maqbulkan impianku untuk melihat Muhammad al-Fateh al-Hafiz.

Saturday, September 19, 2009

Eid Mubarak


Allahu Akbar....
Dengan perginya tetamu agung ini, semoga kita semua mendapat pengampunan Allah SWT dan kita kembali fitrah. Ya Allah berilah kekuatan kepada kami untuk mengisi fitrah ini dengan ketaqwaan.

Minal A'ideen wal Faiizeen.
Maaf Zahir dan Bathin

Dari kami sekeluarga :

Hajjah Nafisah & Ust Hj Kamal
Muhammad al-Fateh
Muhammad Farid Al-Wajdiy
Muhammad Hamzah
Muhammad al-Miqdad
Muhammad Yahya Ayyash
Wajeehah
Muhammad Ibrahim Adham

Friday, September 11, 2009

Malam Sejuta Pesona



Malam yang mengujakan dan penuh misteri. Malam yang lebih hebat dari malam pertama pengantin. Mampukah kita berperasaan seperti itu dalam menanti kehadirannya dan merebutkannya. Bayangkan perasaan kita dan debaran ketika mahu menghadapi malam pertama seorang pengantin. Tentu bersemarak sejuta perasaan. Rasa bahagia, rasa cinta, rasa kasih, rasa rindu dan seribu lagi perasaan sehingga tidak mahu detik itu berlalu bukan... Namun ada satu malam yang sangat indah, Malah penuh berkat, penuh rahmat, penuh meriah, penuh keampunan dan lain-lain yang tidak terungkapkan.

Hanya mampu di katakan itulah dia Malam Sejuta Pesona.

Malam yang pasti mengintai kita dan orang-orang yang sedang fana dalam cinta bersama ramadhannya tentu ternanti-nanti dan tercari-cari bilakah akan muncul malam ini dan sudikah bertamu di taman hatinya ketika ia sedang tenggelam keasyikan sujudnya mendambakan cinta Ilahi.

Malam yang dijanjikan sebagai suatu malam yang dimuliakan oleh Allah melebihi malam-malam lainnya. Di antara kemuliaan malam tersebut adalah Allah mensifatinya dengn malam yang penuh keberkahan. Allah SWT berfirman :

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ (3) فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ (4)
“Sesungguhnya Kami menurunkannya (Al Qur’an) pada suatu malam yang diberkahi. dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.” (QS. Ad Dukhan [44] : 3-4).

Malam yang diberkahi, kerana turunnya al-Quran pada malam ini iaitulah lailatul Qadr. Allah Ta’ala berfirman,

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ 1
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan.” (QS. Al Qadar [97] : 1)

Malam yang dinamakan Allah dengan Lailatul Qadr. Makna Al Qadr ialah kemuliaan dan keagungan. Al-Qadr menurut keterangan Tafsir al-Qurthuby terhadap surat al-Qadr ialah :

Pertama: malam keputusan; atau malam penetapan. Dinamakan demikian kerana pada malam itu Allah Ta'ala menetapkan perintah-Nya yang Dia kehendaki, yang berupa kematian, ajal, rezki dan lainnya sampai malam al-qadr tahun berikutnya.
Kedua: maknanya adalah malam kemuliaan kerana keagungannya dan kemuliaannya, karena pada malam itu Allah Ta'ala menurunkan Kitab (al-Quran) yang memiliki kemuliaan, kepada Rasulullah SAW yang memiliki kemuliaan, kerana perbuatan-perbuatan ketaatan pada malam itu memiliki nilai yang agung dan pahala yang banyak, kerana pada malam itu para malaikat yang memiliki kemuliaan dan kepentingan turun ke bumi dan kerana pada malam itu Allah Ta'ala menurunkan kebaikan, berkah dan ampunan.
Ketiga: maknanya adalah malam yang sempit kerana pada malam itu bumi sesak dan sempit dengan para malaikat.

Malam yang diungkap Allah tentang keagungannya melalui pertanyaanNya pada ayat kedua dari surah al Qadr - "wama adraaka ma lailatul qadr".( Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu). Kata "wama adraaka" - litafkhimi sya'niha wa ta'dzimi qadriha" maksudnya adalah pertanyaan dalam bentuk pengagungan. Pemakaian kata ma daraaka dalam al Qur'an berkaitan dengan pertanyaan suatu objek yang menunjukkan perkara-perkara yang sangat hebat dan mempesonakan yang sulit dijangkau hakikatnya secara sempurna oleh alam fikir manusia.

Malam itu lebih baik dari seribu bulan (khairun min alfisyahrin). Firman Allah :

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ
“Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan

Maksudnya adalah apabila kita beribadah di malam itu dengan ketaatan, solat, membaca al Qur'an, zikir, do'a dan lainnya sama ganjarannya dengan beribadah selama seribu bulan. Dan dapat di bezakan dengan bulan-bulan yang di dalamnya tidak ada lailatul Qadr. Ada sebuah Hadith Rasulullah SAW, beliau bersabda:"Barangsiapa yang melaksanakan lailatul Qadr dengan keimanan dan mengharap pahala Allah Swt, niscaya diampuni dosa-dosa yang telah lalu".

Malam yang penuh meriah kerana para malaikat yang selalu beribadah kepada Allah SWT siang dan malam akan turun bersama malaikat Jibril dengan membawa kebaikan, keberkahan, kemulian dan rahmat. Mereka turun dengan membawa semua perkara yang merupakan ketentuan dan takdir dari Allah SWT. Keberkahan dan kemuliaan yang dimaksud disebutkan dalam firmanNya :

تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ ((4
Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan.

Yang dimaksud dengan urusan-urusan disini ialah segala perkara yang berhubungan dengan kehidupan makhluk seperti: hidup, mati, rezeki, untung baik, untung buruk dan sebagainya.

Malam yang turun para malaikat untuk melihat para hamba Allah SWT dalam menjalani segala bentuk ketaatan dan mendengar segala permintaan hamba yang ditujukan kepada Rabbnya.

Malam yang penuh kebajikan, rahmat sejak terbenam matahari sampai datangnya waktu fajar. Dalam kata lain, malam itu adalah malam kebaikan dan keselamatan seluruhnya, tak ada kejelekan didalamnya sampai terbit fajar. Di malam itu para malaikat termasuk malaikat Jibril mengucapkan salam kepada orang-orang beriman. Firman Allah :

سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ (5(
Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.” (QS. Al Qadar : 5)

Malam yang menumpahkan curahan kepemurahan Allah kepada hamba-hambaNya yang taat beribadat kepada-Nya dengan menganugerahkan kepadanya pahala-pahala yang banyak, dibukanya seluruh pintu kebaikan, didekatkannya para kekasih Allah, didengarkannya permohonan dan dijawabnya segala doa dan pengampunan supaya dengannya dia akan dapat masuk syurga.

Malam yang menggambarkan dan menghamparkan kasih sayang Allah dan rahmatNya yang menyeluruh kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. ketika mana Rasulullah diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka Baginda berasa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya panjang. Lalu baginda bermohon kepada Allah memberikan peluang di mana umatnya supaya dapat beramal dengan yang nilainya sama dengan amalan umat sebelum mereka. Maka Allah pun menawarkan malam ini yang mempunyai nilaian pahala seribu bulan kepada Rasulullah, para sahabat malah kepada seluruh umat baginda s.a.w. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama seribu bulan atau 83 tahun empat bulan. Subhanallah.

Malam yang dirahsiakan kehadirannya tetapi pasti ada dalam celahan Ramadhan agar kita sentiasa berusaha beribadah pada setiap malam Ramadan tanpa menumpukan pada satu malam saja. Ini kerana setiap malam pada Ramadan memiliki hikmah dan rahsia tersendiri. Namun dalil yang paling kuat mengenai malam ini iaitu Lailatul Qadar adalah hadis daripada Aishah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِى الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ
"Carilah sedaya-upaya kamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan."

Malam yang penuh misteri namun Allah perlihatkan tanda-tandanya. Di antara tanda yang sempat terlihat pada masa Nabi s.a.w ialah ketika baginda bersujud di waktu Subuh di atas tanah, tanah itu dibasahi dengan air, ertinya bahawa pada malam itu turun hujan sehingga baginda sujud di atas tanah yang berair.

Malam yang tenang dan hening. Malaikat menurunkan ketenangan sehingga manusia merasakan ketenangan tersebut dan merasakan kelazatan dalam beribadah, yang tidak didapatkan pada hari-hari yang lain. pada malam itu juga malaikat Jibril akan menyelami orang yang beribadat pada malam itu dan secara tiba-tiba sang abid akan rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak.

Malam yang keadaannya tidak dingin dan tidak panas. Udara dan angin sekitar terasa damai. Siangnya pula memancarkan cahaya matahari yang warnanya pucat. Sebagaimana dari Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda :

لَيْلَةُ القَدَرِ لَيْلَةٌ سَمْحَةٌ طَلَقَةٌ لَا حَارَةً وَلَا بَارِدَةً تُصْبِحُ الشَمْسُ صَبِيْحَتُهَا ضَعِيْفَةٌ حَمْرَاء
“Lailatul qadar adalah malam yang penuh kelembutan, cerah, tidak begitu panas, juga tidak begitu dingin, pada pagi hari matahari bersinar lemah dan nampak kemerah-merahan.” (HR. Ath Thoyalisi. Haytsami mengatakan periwayatnya adalah tsiqoh /terpercaya;

Malam yang ditemui oleh seseorang dengan izin Allah, ia akan melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita.

Malam yang didengari oleh seseorang dengan izin Allah ucapan salam dan kata-kata yang lain daripada malaikat.

Malam yang terlihat oleh seseorang dengan izin Allah segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.

Malam yang doa permohonannya makbul.

Malam yang mesti kita gapai sejuta pesonanya !!!

Malam yang pada setiap saatnya hendaklah kita memperbanyak berbagai amalan ketaatan samada solat tarawih, membaca al-Quran, sedeqah, zikir berdoa dan lain-lain.

Malam yang 'Aisyah RA mengatakan mengenainya : "Kebiasaan Rasulullah SAW jika telah masuk sepuluh akhir Ramadhan, beliau menghidupkan malamnya, membangunkan isterinya, bersungguh-sungguh (beribadah) dan mengencangkan sarungnya (tidak menggauli isterinya)." (HR. Bukhari dan Muslim 1174).

Malam yang 'Aisyah juga pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentangnya : "Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat anda jika aku mengetahui waktu lailatul qadr, apa yang aku ucapkan di malam itu?" Beliau menjawab: "Ucapkanlah: Allaahumma innaka 'afuwwun tuhibbul 'afwa fa'fu 'annii (wahai Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, Engkau suka memaafkan, maka maafkanlah daku)." (HR. Ibnu Majah dan at-Tirmidzi dengan sanad yang shahih)

Malam yang menyebabkan Rasulullah SAW senantiasa bersungguh-sungguh dalam ibadah pada sepuluh malam terakhir, tidak seperti dua puluh malam pertama. Sebagaimana yang dikatakan oleh ‘Aisyah RA:

كَانَ رَسُولُ اللهِ يَجْتـَهِدُ فِي الْعَشْرِ اْلأَوَاخِرِ مَا لاَ يَجْتـَهِدُ فِي غَيْرِهِ رواه مسلم
“Adalah Rasulullah SAW bersungguh-sungguh dalam beribadah pada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan hal yang tidak beliau lakukan pada malam yang lainnya.” (HR. Muslim).

Malam yang menyebabkan sahabat Rasulullah dan para salafus saleh juga memuliakan sepuluh malam terakhir ini serta bersungguh-sungguh di dalamnya dengan memperbanyak amal kebaikan.

Malam yang dianjurkan secara syar’i kepada seluruh kaum muslimin untuk mencontoh Rasulullah SAW dan para sahabatnya dalam menghidupkan malam-malam ini dengan beri’tikaf di masjid-masjid, solat, istighfar, membaca Al-Qur’an serta berbagai ibadah lainnya, agar mendapatkan kemenangan berupa ampunan dan pembebasan dari api Neraka.

Malam disunnahkan bagi seorang muslim untuk memperbanyak do’a pada detik-detik itu kerana do’a di waktu-waktu tersebut mustajab dan do’a yang diulang-ulang pada waktu tersebut adalah do’a yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah RA bahawasanya dia berkata: “Wahai Rasulullah, bagaimana jika saya mendapatkan lailatul qadr maka apa yang aku katakan?” Baginda bersabda: “Katakanlah:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
(Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampum, mencintai ampunan (maaf) maka ampunilah aku).” (HSR. Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Malam yang mesti kita rebut dengan bersungguh-sungguh dalam beribadah padanya kerana itu adalah kesempatan seumur hidup dan kesempatan itu tidak selalu ada. Seandainya seseorang beribadah kepada Allah selama lapan puluh tiga tahun lebih, maka lailatul qadr lebih baik dari itu, dan perkara tersebut merupakan keutamaan dan kurnia yang sangat besar. Kurnia apakah yang lebih besar dari itu. Sangatlah merugi orang yang tidak sempat mendapatkan pahala di waktu-waktu mulia dan musim-musim maghfirah disebabkan kelalaiannya dan ketidak seriusannya dalam beribadah.

Itulah Malam Sejuta Pesona yang mempesonakan orang-orang yang merindukannya lantas dia beribadah dan bertaqarrub kepada Allah SWT dengan penuh ketaatan dan khusyu', dengan penuh takut dan pengharapan lalu terpancar air mata taubat dan penyesalan, bangkit keazaman membersihkan hati demi ketakwaan. Ditegakkannya qiyam lail, dipanjangkan rantaian doa tulus, didendangkan zikrullah penuh kerinduan, dirayukan istighfar penuh ketundukan, ditinggalkan kesenangan dunia untuk I'tikaf di masjid. Sebolah-bolehnya dilakukan dengan penuh penyerahan jiwa bagai itulah persembahan dan bekalan terakhirnya untuk menuju malam pertama pertemuan hakiki yang Haqqul Yaqin dengan Penciptanya dan sebelum terpesonanya dia pada malam pertama di atas mahligai syurga. Allahu Akbar !

Mengenang Ramadhan Di Jordan

Banyak sudah yang dilupai pada hari-hari yang berlalu. Namun aku cuba recall balik setelah 10 tahun aku meninggalkan dataran Syam yang penuh kenangan. Aku ingin mengenang hari-hari tersebut, mudah-mudahan ada perkara yang perlu ku muhasabah dalam diri. Hari-hari itu adalah kurniaan Allah pada kita sang hamba. Hari-hari yang perlu diperingati sehingga memunculkan jiwa hamba yang nampak dengan mata kepala dan mata hatinya tanda-tanda kebesaran Sang Pencipta lantas sang hamba tunduk syukur dan akur dengan ketentuanNya lalu bersabar.


وَذَڪِّرۡهُم بِأَيَّٮٰمِ ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّ فِى ذَٲلِكَ لَأَيَـٰتٍ۬ لِّكُلِّ صَبَّارٍ۬ شَكُورٍ۬

Ingatkanlah mereka dengan Hari-hari Allah. Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur. (Ibrahim :5)


Kenanglah hari-hari itu. Hari, waktu, jam, saat, detik, pergiliran siang dan malam. Bukankah semua itu tanda-tanda kebesaran Allah. Kenanglah selagi ada hari untuk kita. Hanya ada di dunia ini sahaja. Di dunia sahaja ada hari, waktu dan ruang. Allah bebas dari masa dan ruang. Di akhirat nanti abadan abada. Kita di seru menghayati hari, bulan, tahun, detik saat kerana di sana terdapat tanda-tanda kebesaran Allah, malah mengingati hari-hari Allah adalah tanda hamba yang berakal dan bijak .


إِنَّ فِى خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَـٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّہَارِ لَأَيَـٰتٍ۬ لِّأُوْلِى ٱلۡأَلۡبَـٰبِ

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (190) Ali Imran

Sepanjang hampir empat tahun di Jordan. Namun secebis kenangan amat manis untuk dicatat ialah ketika berlabuhnya ramadhan dan aku melayani tetamu ini di bumi anbiya, Urdun….Kam Asytaqqu… 3 kali ramadhan di kejauhan 3 kali itu juga musim syita’ menyelubungi, sejuk yang amat menggigit. Dan yang paling mengujakan salji turun. Kalau kat Irbid tahanlah... tapi kat Mafraq (gurun)....seperti kapas-kapas yang berterbangan.



Salji memutih di lihat di celah-celah bangunan sakan (asrama) di jamiahku Al al-Bayt, Mafraq.

Terawikh di pelbagai masjid. di masjid jamiah, Irbid berimamkan Ma’mun al-Hafiz yang begitu gemersik suaranya, ramai sangat orang, bising pulak tu, sehingga imam memberi amaran, hudu’, hudu’, jangan bising, kalau bising lagi aku akan panggil polis. Berderailah ketawa sidang jemaah sekalian. Pernah sesuatu ketika al-Hafiz Ma’mun membacakan ayat-ayat Allah dalam solat, kami sekalian makmum merasa sangat tersentuh, terdengar sedu sedan dan rintihan yang tulus ikhlas dari rasa kehambaan. Mataku turut mengalirkan manik-manik jernih yang hangat ke pipi. Solat bersambung dengan doa-doa yang sarat dengan pengharapan oleh sang imam, tangisan kedengaran bergemuruh di kiri kananku, depan dan belakangku dan aku juga tenggelam dalam kefanaan dan kekerdilan seorang hamba yang bersalut dosa yang tak terhitungkan, tiba-tiba kami terdengar suara jeritan dari bawah ( jemaah wanita di tingkat atas, lelaki di bawah) satu tangisan yang diselubungi ketakutan yang amat sangat.... syuftun nnaarr !!!!!, syuftun nnaarrr!!!!!. Aku rasa sang lelaki ini meluru dari sof belakang menuju ke imam. Subhanallah.... bagai Allah menyingkap hijab dari mata pandangan mata kepalanya... mungkin menzahirkan gambaran neraka pada sehingga secara sepontan dia menjerit, Aku nampak api (neraka), aku nampak api. Dia sangat ketakutan kedengarannya. Wallahu a’alam.

Sepuluh malam terakhir qiam di masjid ini dengan mak cik-makcik Arab yang hebat-hebat, ada kalangan mereka yang tidak tidur langsung, mereka solat dan tilawah dam tak kurang juga mengobrol, malah menyelimuti kami banat Malizie (anak2 Melayu)yang berkerikot tidur kesejukan. Kemudian kami sahur bersama-sama mereka. Dapat seorang sebungkus makanan yang berisi khubuz( roti), tamar dll yang diberikan oleh pihak masjid.

Terawikh di kg badwi yang mengkalutkan, surau tu kecil je, atas bukit sikit, kami naik tangga di lorong yang sempit. Dalamnya usang dan buruk, jemaah boleh dikira, tak ramai. Bayangkan satu rakaat hanya satu ayat(ketika imam membaca surah selepas Fatihah), seingat aku imam baca surah alam nasyrah sahaja sudah dapat menghabiskan 8 rakaat terawikh. Bismillahirrahmanirrahim, Alam masyrah laka sodrak, allahu akbar ---- terus ruku, kelam kabut kami habiskan fatihah, nak tergelak pun ada. Astaghfirullah. Itu lah kali pertama dan terakhir kami solat di situ. Kami hanya pergi bertiga. Aku, adikku yati dan Mim ( adik ipar yati). Cadangan Mim la ni. Kak Ica, nak ikut kami solat kat surau tu tak, orng kata imam baca surah pendek-pendek sangat. Ye ke, jom kita cuba tengok... Kami pun pergilah.

Tahun-tahun yang seterusnya aku menghabiskan ramadhan ku di kampusku sendiri Jamiah al-Bayt Mafraq. Yang memenuhkan masjid adalah anak-anak Malaysia juga. Tahun 1997, 12 hari awal Ramadhan, Allah mengkabulkan doaku untuk berintim dengan Ramadhan di Makkah dan Madinah. Aku pergi dengan adindaku Ahmad Saifuddin. Kami bermusafir dari Jordan ke dua daerah mulia ini melalui jalan darat selama 2 hari.

Dan banyak lagi peristiwa yang tak mampu ku ungkap dengan aturan huruf yang bisu ini. Semoga hari-hari yang penuh kenangan ini menjadikan aku orang yang sabar dan bersyukur juga mengambil pelajaran darinyadengan meningkatkan amalan serta memperbaikinya dalam rangka mencapai misi pengabdian ini . Biarlah kenangan-kenangan itu samada pahit, manis, bahagia dan derita itu tersimpan dalam hati. Aku ingin membenarkan kalamullah dalam bicaraNya :

وَذَڪِّرۡهُم بِأَيَّٮٰمِ ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّ فِى ذَٲلِكَ لَأَيَـٰتٍ۬ لِّكُلِّ صَبَّارٍ۬ شَكُورٍ۬

Ingatkanlah mereka dengan Hari-hari Allah. Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur. (Ibrahim :5)

Allahumma Innaka Afuwwun Kareem. Tuhibbul afwa fa’fu anna.

Ya Allah Sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, Maha Mulia. Engkau menyukai kemaafan, ampunilah kami.