Sunday, June 14, 2009

Adakah kamu mempunyai sesebuah Kitab (dari Allah) yang kamu baca dan pelajari?

Alhamdulillah, pagi ini anak-anakku sudah berlepas ke medan ilmu. Aku juga mahu mencari ilmu dan menyebar ilmu Allah yang maha luas ini, sebagai pengabdianku padaNya Tuhan Yang Maha Berilmu, Allah al-Aliim.

Alhamdulillah, segala pujian milik Allah, segala keagungan milik Allah dan segala perancangan milik Allah. Setiap sesuatu semua telah maktub(tertulis) kerana pena adalah makhluk pertama yang dicipta Allah. Apa yang hendak dikesalkan apa yang telah berlalu. Apa yang hendak dikecewakan apa yang telah berlaku. 2 minggu anak-anak bercuti, qalamku terhenti, blogku serasa sunyi dan hambar. Banyak perkara yang menghampakan berlaku jika ikutkan jiwa hamba yang sering alpa dan lupa, sepatutnya tidak perlu hampa kerana semua telah termaktub sejak azali. Malah Allah juga telah menulis rahmat ke atasNya. Wahai hamba .... jangan lupa disebalik kehampaan sebenarnya ada rahmat yang tersembunyi, rahmat tuhan yang tidak tergambarkan, yang tidak terfikirkan. Hamba ini tidak nampak rahmat itu lantaran hatinya yang buta diselubungi dosa-dosa yang juga tidak disedari. Astaghfirullah al-Azim. Izinkan hambaMu ini melakarkan kehampaan ini... Semoga Engkau mengampuni daku.

1. Tidak dapat menyertai rombongan pengantin Suhaib, anak saudaraku di Teluk Intan (pihak pengantin perempuan)
2. Tidak dapat meraikan pernikahan Uswah dan walimah mereka ( Suhaib dan Uswah 2 beradik). Perjalanan kami ke Johor Bahru hanya sekerat jalan sajaha, apabila suamiku krem di Air Keroh Melaka, dan keluarga yang terlalu sibuk mengurus kerja-kerja terakhir walimah menyarankan agar kami patah balik ke Kuala Lumpur kerana sebab-sebab kesihatan suami.
3. Tidak dapat menyertai pengantin Uswah ke Pulau Pinang ke majlis pihak suaminya.
4. Tidak dapat ke mana-mana bagi mengisi cuti anak-anakku. Kami terkurung dan terperap di rumah sahaja.
5. Suamiku sakit dan tidak mampu memandu pada saat-saat penting ini. Saat-saat semua ahli keluarga dan sanak saudara bergembira meraikan waliwah tersebut.

Semuanya menghampakan dan membuatku diserang ’kalau’. Kalau lah aku tahu memandu, kalaulah aku begini, kalaulah suamiku begitu..... Tapi semua tu bisikan syaitan. Lau mina ssyaithan.

Sunyi sangat, rindu sangat dengan mak, dengan abang-abang, kakak-kakak dan adik-adik. Tentu sahaja mereka sedang bergembira bertemu, berkumpul dengan penuh mesra bersulamkan senda gurau dan hilai tawa. Tapi aku ...............

Bagaimana hendakku alihkan kehampaan ini menjadi satu rahmat? Satu kebahagiaan dan ketenangan?

Orang-orang pernah mengungkapkan sebaik-baik teman sejati adalah buku. Jahiz (sasterwan Arab) menasihatkan supaya sentiasa membaca dan mengkaji agar dapat mengusir kesedihan. Katanya : Buku adalah teman sejati yang tidak akan memujimu dengan berlebihan, sahabat yang tidak akan menipumu dan teman yang tidak membuatmu bosan. Dia adalah teman yang sangat toleran yang tidak akan mngusirmu, tetangga yang tidak akan menyakitimu, teman yang tidak akan memaksamu mengeluarkan apa yang engkau miliki. Dia tidak akan memperlakukanmu dengan tipu daya, tidak akan menipumu dengan kemunafikan dan tidak akan membuat kebohongan.

Aku memiliki banyak kitab. Kitab yang kukumpul sejak belajar di Universiti Malaya lagi. Koleksi itu semakin meriah bila aku menyambung pelajaran di Universiti Al al-Bayt Jordan. Ada yang habis aku baca, ada yang tidak mampu kuhabiskan dan hanya sebagai sumber rujukan. Kebanyakan kitab-kitab ini tulisan ilmuan Islam Arab, mereka menulis beribu-ribu helai, malah berjilid-jilid. Al-’Atabi pernah mengulas sebuah buku uyang ditulis oleh ulama terdahulu, ”Seandainya bukan kerana banyaknya jumlah halaman pasti saya akan menyalinnya”

Ibnu al-Jahm mengatakan,"Jika perasaan mengantuk datang menyerang sebelum tibanya waktu tidur, perbuatan yang paling buruk adalah tidur melebihi keperluan, maka aku akan membaca salah sebuah buku dari buku-buku hikmah, lalu aku tersentak dengan beberapa faedah yang kudapati. Aku merasa memperolehi kemenangan setiap kali aku menemui apa yang aku perlukan dari buku tersebut, sesuatu yang menumbuhkan kebahagiaan yang sejati dalam hatiku dan menghujam menyedarkanku. Dentumannya bergema melebihi ringkikan keldai yang mengejutkan."

Pernah juga aku terbaca satu buku karangan Dr Aid al-Qarni, beliau mengajak kaum wanita dengan katanya, Jadilah wanita yang paling bahagia! Kerana kamu ada iman, Ada Islam dan kamu menutup aurat... . Di antara helaian buku tersebut dia menyarankan agar isilah masamu yang kosong dengan mengemas buku-buku, binalah library dalam rumah, atur lah buku-bukumu dengan susunan yang indah. Kuisi kesunyian ini bersama-sama anak-anakku dengan mengemas library di rumahku, menyusun atur buku tersebut, mengelap habuk-habuk yang selama ini bagai menjadi pakaiannya. Kasihan. Akhirnya... Waahh, lihat lah gambarnya....Koleksi buku-bukuku, Buku-buku dan kitab yang teratur memenuhi ruang dinding-dinding library rumahku...





Di sudut ini termuat tafsir karangan al-Alusi, Al-Qurtubi, Al-Zamakhsyari, Ibni Hajar, Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Al-Syaukani, Ibnu Katsir, Dr Wahbah al-Zuhaily dll.


Namun, kitab yang paling mulia dan paling tinggi ialah :

كِتَـٰبٌ أُنزِلَ إِلَيۡكَ فَلَا يَكُن فِى صَدۡرِكَ حَرَجٌ۬ مِّنۡهُ لِتُنذِرَ بِهِۦ وَذِكۡرَىٰ لِلۡمُؤۡمِنِينَ

(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad dari Tuhanmu). Oleh itu, janganlah ada perasaan bimbang dalam dadamu mengenainya, supaya engkau memberi amaran dengan Al-Quran itu (kepada orang-orang yang ingkar) dan supaya menjadi peringatan bagi orang-orang yang beriman.(al-A’araf : 2)

Dan aku yakin bahawa buku-buku dan kitab-kitab koleksi ku ini adalah huraian kepada kitab yang mulia itu. Semoga aku dapat memanfaatkannya. Inilah rahmat ilahi. Sepagian semalam aku meneliti surah al-Qalam dan aku menjumpai ayat ini.

أَمۡ لَكُمۡ كِتَـٰبٌ۬ فِيهِ تَدۡرُسُونَ

Adakah kamu mempunyai sesebuah Kitab (dari Allah) yang kamu baca dan pelajari?(al-Qalam :37)

Ayat ini mengetuk hatiku menguatkan azam untuk terus bermuamalah dengan al-Quran dengan apa cara sekalipun untuk kemantapan iman yang sering turun naik ini disamping memberi cahaya untuk ruang hatiku dan ruang rumahku. Madrasah pertama anak-anakku. Dialah kitab cahaya. Kitab seribu satu cahaya. Milik cahaya di atas segala cahaya. Nurun ala nurin.

1 comment:

Ummu Suhaib said...

mabruk! sgt terkesan dengan tulisanmu ini!..