Friday, May 22, 2009

Jangan Melanggar Suara hati



Hampir seminggu aku meneliti dan menyemak buku Esq karangan pak Ari. Aku bagai menemukan sebuah kekuatan. Dadaku berombak, sarat dengan penyesalan namun ada keazaman yang maha kuat mendesak-desak. Meneliti buku Pak ari memaksaku terus terusan membuka helaian-helaian tafsir dan karangan ulama tentang suatu Yang Maha Hebat iaitulah Allah SWT. Pak Ari memberikan pengertian yang mendalam kepadaku tentang SUARA HATI. Itulah rupa-rupanya fitrah yang Allah berikan kepada makhluknya. Dari suara hatilah aku dapat mengenal fitrah kemanusiaan ini. Dan ketika mana aku mula mengenali fitrahku yang sebenarnya mesti tunduk kepada tuhannya, aku semacam mahu rebah, menangis, sujud di hadapannya kerana sudah berapa lama dan sering kali aku melanggar suara hati ini..... Betapa selama ini kerasnya dan sombongnya aku, jauh sekali untukku mendengar suara hatiku yang sering berbisik tentang kelembutan NYA Allah al-Latif. Betapa selama ini goyahnya aku, tidak istiqamah dalam sabarku, sedangkan suarahatiku sering memujuk-mujukku membayangkan kesabaranNya Allah al-Sabur. Betapa selama aku ini sering melanggar suara hatiku untuk ikhlas menyintai tanpa syarat kerana aku pernah rasakan suara hati ini pernah berbicara kembalilah kepada al-Wadud Yang Maha Menyintai, tapi aku melanggarnya sehingga aku menderita sekian lama dan menangis sendirian apabila ada insan yang mengecewakan.

Benar kata Pak Ari, sememangnya otak mampu mencipta alasan yang logik atau diterima akal tetapi suara hati tidak akan pernah menipu.Ia sangat jujur untuk mengatakan kebenaran kerana ia adalah cerminan sifat Allah Yang Maha Benar.Dan Allah juga telah memberikan isyarat kebenaranNya melalui perintah solat iaitu doa ketika sujud yang bermaksud ”Maha Suci Allah Yang Maha Tinggu” ertinya untuk mencapai suatu ketinggian ia perlu dimulakan dengan hati yang suci dan jernih terlebih dahulu.

Lantas aku menjerit melalui suara hatiku, aku mesti dengar suara itu. KUN MA’ALLAH LAA TUBAALI. Aku mesti kembali kepada Allah, menyintaiNya sepenuhnya, dan menyayangi siapa pun tanpa syarat. Biarlah insan-insan itu menyakitiku, tidak adil denganku, menyiksa jiwa dan perasaanku, mematahkan semangatku, mengecewakanku, memusnahkan harapan tinggiku namun aku tetap teguh pasrah dan menyerahkanya semuanya dalam urusan Allah. Aku akan cuba mendengar suara hati ini yang sering membisikkan ”kembalilah kepada Allah al-Afuww (Yang Maha Pemaaf) namun Dia adalah al-Muntaqim (Maha Membalas Dendam). Aku serahkan kepadaMu Ya Allah. Engkau Maha Melihat apa yang telah menimpaku, Engkai Maha Mendengar segala doa dan rintihanku. Aku berazam Ya Allah untuk menyanyangi mereka tanpa syarat biarpun aku tak mendapat kasih sayang dan perhatian mereka kerana aku yakin hanya kasih sayangMu sahaja Yang Maha Indah. Dan sempurna” Tsabbit Qalbi Ya Rab, Tetapkan hatiku, pancarkan suara hatiku dengan nurMu Ya Nuur.

No comments: